Apakah yang sanggup anda lakukan demi menyelamatkan telefon yang terjatuh atau hilang? Di Chhattisgarh sebuah negeri di Timur India, Rajesh Vishwas seorang penguasa mengosongkan air dalam sebuah kolam takungan bagi menyelamatkan Samsung Galaxy S23 Ultra milik beliau yang terjatuh ketika percubaan mengambil swafoto.
Watch | A food inspector posted in #Chhattisgarh Kanker district was suspended after he drained out around 21 lakh litres of water from a reservoir next to a dam to fish out his recently-bought Samsung phone. pic.twitter.com/jXWzwfGSI3
— The Indian Express (@IndianExpress) May 26, 2023
Sebanyak 2.1 juta liter air dipam keluar selama dua hari bagi mengurangkan ketinggian air sebanyak dua kaki bagi memudahkan telefon dicari di dasar kolam selepas percubaan awal mencarinya gagal. Peranti berjaya ditemukan tetapi mengalami kerosakan kerana S23 Ultra tidak direka untuk tenggelam sedalam 10 kaki selama beberapa hari.
Rajesh Vishwas kini digantung tugas kerana tindakan beliau membazirkan air yang boleh digunakan untuk tujuan pertanian. Beliau mengaku tidak bersalah kerana mendakwa air kolam takungan yang digunakan untuk orang berkelah dan bukannya pertanian.
Tetapi wakil kerajaan tempatan berkata beliau tidak mempunyai kuasa mengarahkan air dibuang serta dengan cuaca panas melampau di India sekarang air tersebut boleh digunakan oleh penduduk tempatan sekiranya perlu.
Susu ibu ialah susu yang terbaik untuk bayi yang baru dilahirkan. Selain menawarkan keperluan nutrien mereka, susu badan juga mempunyai antibodi bagi memastikan mereka sihat. Tetapi tidak semua ibu mampu menawarkan susu badan dan susu formula menjadi pengganti. Ianya juga mahal dan masih tidak setanding susu semula jadi.
BBy sebuah syarikat dari Amerika Syarikat mengumumkan kejayaan mereka menghasilkan susu ibu dalam bentuk serbuk. Sebelum ini terdapat beberapa usaha menghasilkan susu ibu dalam bentuk serbuk tetapi nutrien-nutrien penting hilang ketika diproses. Serbuk susu ibu BBy diproses menggunakan kondenser khusus yang dilengkapi sistem laser.
Dengan susu ibu disimpan dalam bentuk serbuk, ia membolehkan hospital menawarkan susu yang terbaik untuk bayi yang tidak mempunyai ibu atau yang ibunya tidak mampu menyusukan. Ia turut menjimatkan ruang simpanan di wad serta boleh disimpan lebih lama. Dalam bentuk serbuk, susu ini boleh bertahan sehingga enam bulan.
BBy sedang melakukan ujian di Amerika Syarikat bagi menawarkan susu ibu dalam bentuk serbuk ke 17 hospital. Susu yang didermakan oleh kaum ibu dikumpul setiap dua minggu untuk diproses menjadi serbuk. Apabila diperlukan, hanya air panas perlu ditambah dan ia kemudiannya boleh diberikan kepada bayi seperti susu biasa.
Pada penghujung minggu lepas, Menteri Komunikasi Dan Digital telah menyatakan Telegram gagal bekerjasama dalam mengawal kandungan lucah dan sebagainya, sekaligus mengatakan akan mengambil tindakan seterusnya. Lanjutan daripadanya, kini pihak Telegram telah mengeluarkan komen rasmi mereka kepada pihak Amanz.
Menurut Telegram, mereka aktif dalam membuang kandungan berbahaya pada platform mereka, termasuk penjualan bahan terlarang dan juga kandungan lucah awam. Telegram turut menyatakan moderator juga proaktif dalam memantau bahagian awam pada aplikasi tersebut, selain menerima laporan pengguna melalui aplikasi atau menggunakan emel abuse@telegram.org dalam usaha membuang kandungan yang melanggar terma dan syarat perkhidmatan. Telegram menambah, walaubagaimanapun mereka tidak akan sertai dalam sebarang penapisan politik.
Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan Digital telah menerima pelbagai aduan melibatkan Telegram, terutamanya salah-guna aplikasi tersebut melibatkan kandungan lucah, penipuan dan scam, serta penjualan barangan terlarang. Pihak Kementerian telah cuba menghubungi pihak Telegram, tetapi tidak menerima sebarang respon berkaitan dengannya.
Lanjutan daripadanya, Fahmi Fadzil mengatakan Telegram seperti tidak ikhlas untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam mengekang kandungan lucah dan berbahaya. Ia turut ditekankan, berbanding TikTok dan lain-lain platform, Telegram adalah yang paling membimbangkan buat masa ini.
Perang di Ukraine menunjukkan bagaimana dron komersial keluaran DJI boleh diubahsuai menjadi senjata yang cukup berbahaya. Ia boleh membawa bom tangan yang kemudian dijatuhkan ke dalam parit pertahanan musuh dan dron jenis FPV pula menjadi dron kamikaze. Maka kuasa besar dunia mula mengambil serius ancaman dron kecil dalam medan perang di masa hadapan.
THOR
Tactical High-power Operational Responder (THOR) ialah sebuah sistem pertahanan terkini yang diuji oleh Air Force Research Laboratory (AFRL) Amerika Syarikat yang berjaya menangkis sekumpulan dron dalam ujian yang dilakukan baru-baru ini. Jika Dewa Thor menghentam Thanos dengan kuasa kilat, THOR menghentam dron di udara menggunakan gelombang mikro berkuasa tinggi.
Sistem THOR menggunakan kuasa gelombang mikro berkuasa tinggi untuk membakar komponen dalaman sesebuah dron yang memasuki zon kawalannya. Ia berbeza dengan sistem anti dron High-Energy Laser Weapon System (HELWS) yang diuji tentera A.S dan Iron Beam yang digunakan oleh Israel bagi melakukan tugas yang sama.
Epirus Leonidas
Setiap THOR boleh dimasukkan ke dalam kontena 20 kaki bagi memudahkan ia dihantar ke medan perang menggunakan pesawat kargo tentera. Sejurus selepas tiba, ia boleh memulakan operasi mempertahan ruang udara daripada dron dalam masa tiga jam dengan hanya dua orang krew. Ianya jauh lebih besar berbanding sistem Epirus Leonidas yang menggunakan gelombang mikro berkuasa tinggi.
Maybank dalam satu kenyataan rasmi pada hari ini memaklumkan bahawa aplikasi perbankan mudah alih MAE telah dikemaskini dengan antaramuka baharu lebih segar. Ini sekaligus membolehkan para pengguna menikmati paparan butiran akaun dengan akses lebih mudah kepada pilihan perbankan melalui lapan butang akses pantas. Selain turut sama menyediakan ciri yang dipertingkatkan bagi tujuan pengalaman pada aplikasi yang lebih meluas.
Pembaharuan ini boleh dinikmati oleh semua pengguna peranti Android termasuklah Huawei bermula hari ini. Sementara itu pengguna iOS pula versi kemaskini akan tersedia bermula 30 Mei akan datang. Sila pastikan aplikasi MAE anda dikemaskini ke versi terkini bagi menikmati pembaharuan ini.
POGO FM merupakan salah satu aplikasi memfokuskan kepada audio, dimana ia menyediakan penawaran buku audio, podsiar, drama-audio dan sebagainya. Ia telah dilancarkan semula pada 2022 lepas, dan kini POGO FM mengumumkan akan menamatkan penawaran mereka pada penghujung bulan ini.
Sebab disebalik penamatan operasi ini tidak dinyatakan oleh POGO FM. Selepas 31 Mei 2023, POGO FM memaklumkan semua data akan dipadam dan tidak lagi akan ditawarkan. Para pengguna diminta untuk memuat-turun data mereka sebelum ia ditamatkan sepenuhnya.
Bagi pengguna tempatan yang inginkan kandungan berbentuk fiksyen dan cereka, boleh menyemak penawaran aplikasi lain untuknya, termasuk salah satunya adalah Cereka.
Menjadi kebiasaan apabila mana-mana peranti yang melepasi pangkalan data SIRIM memberi petanda pelancaran di Malaysia semakin hampir. Semakan baharu kami telah menemui sebuah peranti baharu Vivo Y78 5G dengan kod nama V2244. Ia didaftarkan oleh VTalent Business Sdn Bhd sejak 25 Mei lepas, namun persoalan sekarang ialah tarikh pelancaran rasmi masih menjadi misteri.
Setakat ini peranti turut sama dijumpai menerusi laman web Vivo Global tanpa harga jualan didedahkan. Ia merupakan peranti 5G yang dijana cip Snapdragon 695. Ini dipadankan pula dengan skrin melengkung berlubang sejenis AMOLED 6.78-inci beresolusi FHD+.
Sistem kamera pula terdiri dengan 64MP OIS + 2MP + 2MP di belakang bersama sensor 16MP bagi tujuan swafoto. Peranti ini juga mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sistem pengecasan pantas 44W. Selain turut sama menyokong NFC, port USB-C dan bluetooth 5.1 bagi melengkapinya
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan kemaskini lanjut daripada pihak Vivo sendiri bagi melihat penawaran penuh untuk peranti di pasaran Malaysi pula. Kami di Amanz akan turut menyediakan kemaskini mengenainya untuk perkongsian bersama.
Di Computex 2023 pagi ini, demo NVIDIA Omniverse Avatar Cloud Engine (ACE) telah diperlihatkan oleh CEO Jensen Huang. Menerusi ACE, pemain boleh berbicara dengan watak permainan (NPC) secara masa nyata menggunakan suara. Tiada koyak dialog dan tiada pilihan terhad diberikan dalam demo yang diperlihatkan sebentar tadi.
ACE menggabungkan kecerdasan buatan (AI) NVDIA NeMo, NVIDIA Riva dan NVIDIA Ominiverse Audio2Face. NeMo ialah model bahasa rasa (LLM) yang boleh menghasilkan dialog dengan suara yang realistik bagi menjawab soalan yang diberikan oleh pemain.
Riva pula memahami percakapan pemain secara masa nyata untuk NeMo memahami konteks perbualan. Kemudian akhir sekali Audio2Face akan memadankan audio suara yang dihasilkan oleh NeMo dengan animasi wajah watak NPC. Dengan ACE proses menghasilkan kandungan permainan dipermudahkan menggunakan AI NVIDIA.
Demo kedai ramen di atas dihasilkan oleh NVIDIA dengan kerjasama Convai yang menggunakan kepakaran mereka menghasilkan watak AI dalam permainan video dan dunia maya. Walaupun demo nampak cantik dan realistik, nada percakapan watak, dialog dan animasi yang dipaparkan nampak agak “mati” untuk sebuah permainan pada tahun 2023.
Walaupun penggunaan AI tidak lagi dapat dielakkan dengan Ubisoft turut menggunakan sistem seakan sama, penulis manusia masih lagi perlu untuk menghasilkan dialog yang lebih menarik pada waktu ini.
Hari yang sangat sibuk kerana Computex 2023 diteruskan dengan pengumuman keluarga baharu CPU dan GPU di bawah keluarga ARMv9.2 oleh ARM pagi ini. Tiga CPU terkini Cortex-X4, Cortex-A720, dan A520 ialah tiga CPU terkini yang bakal digunakan oleh SOC terkini tahun 2023. Turut diumumkan ialah GPU Immortalis-720, Mali-G720 dan Mali-G620.
Cortex-X4 memberikan peningkatan prestasi sehingga 15% berbanding Cortex-X3 tetapi menjimatkan penggunaan kuasa sehingga 40%. Sementara itu Cortex-A720 menawarkan penjimatan kuasa sehingga 20% manakala Cortex-A520 pula penjimatan sehingga 22%. Lebih menarik ialah konfigurasi kluster teras 1+5+2 (Cortex-X4, Cortex-A720 dan Cortex A520) pada SOC mercu tahun ini berbanding 1+4+3 pada Snapdragon 8 Gen 2 misalnya.
Kesemua CPU ini hanya menyokong sistem 64-bit selari dengan industri yang mula menghentikan sokongan aplikasi 32-bit sejak dua tahun kebelakangan ini. Kesemua CPU ini direka untuk digunakan bukan sahaja untuk telefon pintar tetapi juga PC.
Sementara itu GPU Immortalis-G720 mempunyai 10 teras yang memberikan peningkatan purata prestasi sehingga 15% dan penjimatan tenaga juga sehingga 15%. Tetapi pada waktu yang sama memberikan peningkatan prestasi HDR sehingga dua kali ganda. ARM turut berkata GPU ini akan menyokong ray tracing tetapi dengan lebih baik.
GPU Mali-G720 dan Mali-G620 pula ialah percubaan menawarkan prestasi grafik lebih tinggi pada peranti seperti komputer riba, set kotak TV, dan peranti boleh-pakai. Perbezaannya dengan Immortalis ialah Mali-G720- dilengkapi 6-9 teras manakala Mali-G620 pula menawarkan sehingga 5 teras memproses untuk peranti yang tidak memerlukan kemampuan grafik tertinggi.
Cip pertama menggunakan keluar ARMv9.2 akan diumumkan pada penghujung tahun ini dengan Qualcomm dan MediaTek pasti antara dua pengeluar terawal menggunakannya pada SOC mereka kelak.
Umum sedia tahu Xiaomi mempunyai pelbagai pilihan peranti pintar dan aksesori edisi terhad yang tersendiri. Ini sekaligus menjadikan setiap satu daripada produk tersebut menawarkan beberapa perubahan estetik berbanding edisi biasa.
Terbaharu Xiaomi berkolaborasi dengan Disney dengan menawarkan peranti Civi 3 Disney 100th Anniversary Edition. Ia diperkenalkan bersempena meraikan ulang tahun ke-100 Disney namun penawaran peranti hanya terhad di China menerusi pelancaran yang dijadualkan berlangsung sekitar awal bulan Jun hadapan.
Rekaan kotak bungkusan telah diperlihatkan dengan tona warna kelabu digunakan bersama watak kartun terkenal Mickey Mouse yang menghiasinya. Namun persoalan mula timbul mengenai rekaan pada peranti pula yang masih menjadi rahsia. Pun begitu kita boleh menyasarkan ia akan diubahsuai dengan kemasan unik, selain turut disertakan berkas khas yang mungkin dilengkapi beberapa aksesori menarik.
Dalam pada itu antaramuka dan ikon utama juga sudah semestinya lebih segar dengan kemaskini baharu. Melihat imej yang tular, peranti mungkin menggunakan antaramuka dengan gabungan warna merah dan hitam. Di samping sejumlah ikon yang juga direka semula dengan comel serta ceria.
Xiaomi juga dijangka mengekalkan perkakasan dalaman yang sama. Ini bermakna skrin 6.55-inci AMOLED 120Hz, cip Dimensity 8200-Ultra, kamera utama 64MP (OIS) + 8MP + 2MP, kamera swafoto 32MP dan bateri 4500mAh kelak akan digunakan pada peranti ini. Perubahan yang dibuat mungkin hanya pada gabungan memori dan storan sahaja.
Umum mengetahui bahawa HUAWEI merupakan jenama yang sentiasa hadir dengan peranti yang mempunyai ciri berkuasa, khususnya fungsi fotografi yang menarik dan mengagumkan. Namun, apa yang menghalang kebanyakan pengguna dari membeli peranti keluaran HUAWEI adalah kekurangan aplikasi yang boleh dimuat turun menerusi HUAWEI AppGallery.
Oleh itu, bagi menyelesaikan masalah ini, HUAWEI telah melakukan kemas kini terhadap HUAWEI AppGallery mereka, dengan menambah lebih banyak aplikasi popular untuk dimuat turun pengguna. Selain itu, salah satu penambahbaikan yang dilakukan adalah integrasi Petal Search di dalam HUAWEI AppGallery, memudahkan pengguna mencari aplikasi yang ingin dimuat turun. Antara aplikasi popular yang menjadi pilihan rakyat Malaysia hari ini adalah seperti Shopee, Grab Superapp, Maybank2U MY, TikTok, dan juga aplikasi aplikasi media sosial lain.
Sekiranya anda ingin berjinak-jinak menggunakan HUAWEI AppGallery, mungkin ini merupakan alasan yang sesuai untuk anda mencuba HUAWEI P60 Pro. Hanya dengan tiga cara mudah ini, anda boleh merasai pengalaman menggunakan HUAWEI AppGallery:
Dapatkan HUAWEI P60 Pro dari HUAWEI Experience Store atau laman web rasmi HUAWEI
Buka AppGallery dan muat turun aplikasi yang anda ingin gunakan
HUAWEI P60 Pro dan aplikasi yang dimuat turun sedia untuk digunakan.
HUAWEI P60 Pro – Penawaran Terbaharu Dari HUAWEI
Selain dari HUAWEI AppGallery yang telah dipertingkatkan, HUAWEI kini turut hadir dengan peranti terbaru mereka iaitu HUAWEI P60 Pro. Peranti ini didatangkan dengan pelbagai fungsi menarik, antaranya sistem kamera Ultra-Lighting XMAGE. Fungsi sistem Ultra-Lighting XMAGE ini menawarkan 10x zum hibrid, penstabilan imej optik dan kebolehan menangkap gambar dalam suasana gelap dan malap yang memberangsangkan.
Selain itu, rekaan HUAWEI P60 Pro ini juga tidak kurang hebatnya apabila ia hadir dengan rekaan Rococo Pearl yang kelihatan cukup mewah dan elegan. Kerangka badan peranti ini dihiasi dengan corak seakan marmar putih yang bersinar, menjadikannya kelihatan cukup unik dan menyerlah. Namun sekiranya anda bukan peminat warna putih, anda turut boleh memilih warna minimalis Black.
Bercakap dari segi ketahanan skrin dan bateri pula, HUAWEI P60 Pro dilengkapi dengan kaca Kunlun. Penggunaan kaca Kunlun ini mampu menyelamatkan anda dari berbelanja lebih dalam membaikpulih skrin, sekiranya anda terjatuhkan peranti tanpa sengaja. Menurut HUAWEI, kaca Kunlun ini dikatakan mampu memberi 10 kali daya tahan pada skrin peranti, menjadikan tidak mudah retak dan pecah. HUAWEI P60 Pro ini turut memuatkan bateri sebesar 4815 mAh, dengan sistem pengecasan pantas 88W HUAWEI SuperCharge.
Usaha HUAWEI dalam menambah baik HUAWEI AppGallery mereka ini sedikit sebanyak telah memberi peluang kepada pengguna setia mereka untuk memuat turun lebih banyak aplikasi. Dipadankan pula bersama HUAWEI P60 Pro, ia pasti dapat memberikan pengalaman pengguna yang cukup baik.
Oleh itu, jika anda peminat peranti HUAWEI, HUAWEI P60 Pro ini adalah antara pilihan telefon yang baik kerana ia bukan sahaja mempunyai sokongan kamera yang memuaskan, malah kini tersedia dengan lebih banyak aplikasi untuk dimuat turun. Oleh itu, dapatkannya sekarang sementara stok masih ada.
HUAWEI P60 Pro ini telah tersedia untuk pasaran Malaysia dengan harga RM4,699 untuk model 8GB + 256GB dan RM5,499 untuk model 12GB + 512GB. Anda boleh memiliki peranti ini menerusi HUAWEI Experience Store, laman web rasmi HUAWEI dan juga kedai atas talian HUAWEI.
Selain sistem kecerdasan buatan (AI) NVIDIA ACE, adikomputer NVIDIA DGX GH200 turut diumumkan oleh Jensen Huang sebentar tadi. Ia adalah sistem adikomputer pertama di dunia dengan memori GPU sebesar 144 Terabyte. Ini sekaligus menjadikannya komputer pertama dunia dengan memori melangkaui 100 TB.
Menurut NVIDIA DGX GH200 mengandungi sistem 256 NVIDA Grace Hopper Superchip yang diumumkan tahun lalu dengan setiap satunya dilengkapi GPU dengan memori sebesar 480 GB LPDDR5. Sambungan menggunakan NVLink-C2C membolehkan memori dikongsi antara Grace Hopper Superchip dengan pantas. Menurut NVIDIA mempunyai 7x lebih banyak lebar jalur berbanding PCIe Gen5.
Untuk membolehkan NVIDIA DGX GH200 beroperasi, ia memerlukan gentian optik sepanjang 241 kilometer, dilengkapi 2112 kipas penyejuk 60mm yang menghembus pada kadar 70,000 kaki padu udara seminit dan sistem mempunyai berat keseluruhan 18,000 kilogram.
Prestasi NVIDIA DGX GH200 pula adalah lebih 2 kali ganda berbanding sistem DGX H100 yang digunakan oleh pelanggan mereka seperti Micorosoft untuk melatih model bahasa raya (LLM) GPT3. Dengan prestasi yang lebih pantas, proses melatih AI generasi seterusnya akan memecut dengan lebih laju.
Kerisauan mengenai tiada kemudahan mengecas adalah yang teratas di kalangan pengguna kenderaan elektrik (EV). Jarak perjalanan maksimum EV masih rendah tidak dibantu oleh kurangnya pengecas di lebuh raya. Gentari menyelesaikan isu ini menerusi perkhidmatan EV Charge Go yang membawa pengecas ke kenderaan pengguna.
Malaysian businesses : We have exciting news to share! EV Charge Go is here to revolutionize the way you can conveniently power your fleet at trade shows, exhibitions, or during customer engagement events such as test drives or track days. pic.twitter.com/91EYQ64twC
EV Charge Go meletakkan sebuah pengecas EV di dalam sebuah van Proton Exora. Ia boleh menawarkan pengecasan pada kuasa 30Kwh dan 60Kwh. Perkhidmatan ini hanya sekadar sebuah projek rintis selama tiga bulan untuk melihat permintaan di kalangan pengguna EV tempatan.
Ia dilihat sebagai cara untuk menawarkan pengecas elektrik ketika melakukan aktiviti pameran kenderaan dan juga sesi ujian di litar untuk kenderaan EV. Dalam kedua-dua situasi ketiadaan pengecas fizikal adalah isu awal yang diutarakan oleh penganjur. Oleh itu EV Charge Go hanya ditawarkan kepada syarikat yang ingin mengujinya dan bukan lagi untuk pemilik kenderaan individu pada waktu ini.
Perkhidmatan oleh Gentari ini mirip dengan perkhidmatan stesen minyak mudah alih PETRONAS ROVR pada tahun 2019 yang diletakkan di belakang lori. Persamaan idea tidaklah mengejutkan kerana Gentari adalah anak syarikat PETRONAS.
Suunto menerusi salah satu kemaskini di media sosial rasmi mula mengacah kehadiran peranti boleh-pakai baharu. Melaluinya Suunto Vertical bakal diperkenalkan dengan ketersediaan di Malaysia bermula 9 Jun akan datang.
Semakan kami menerusi laman web rasmi Suunto Malaysia bagaimanapun telah menemui harga jualan rasmi yang terdiri dengan beberapa pilihan harga bergantung pada jenis binaan. Misalnya seperti Suunto Vertical dengan tubuh keluli tahan karat dijual pada RM2,799, sementara itu Suunto Vertical Titanium Solar pula boleh didapati pada RM3,799 seutas.
Suunto Vertical Stainless Steel
Suunto Vertical dipasarkan sebagai seutas jam tangan tahan lasak yang sesuai dengan aktiviti luar. Skrin adalah sebesar 1.4-inci dengan resolusi 280 x 280 piksel yang bukan sahaja menggunakan kaca Sappire dengan sokongan kalis calar. Malahan turut sama dilengkapi kerangka gentian kaca bersama bezel keluli tahan karat.
Pelbagai sensor kesihatan dan kecergasan terbina turut boleh ditemui pada jam tangan ini. Ia penting bagi membolehkannya menjejak pelbagai data kesihatan harian seperti kadar degupan jantung, jumlah kalori dibakar, pola waktu tidur dan tahap tekanan. Seterusnya lebih 95 mod sukan terbina pula membenarkan pengguna untuk kekal aktif termasuk turut boleh digunakan untuk menyelam.
Suunto Vertical Titanium Solar
Bateri disertakan boleh digunakan sehingga dua bulan dalam mod jam tangan pintar. Menariknya lagi apabila penggunaan sehingga satu tahun turut boleh dinikmati, namun hanya pada variasi yang mempunyai sokongan solar terbina.
Jangan ketawa tetapi tidak seperti tajuk yang kami gunakan, mesin Kurtsystem sebenarnya bukan sebuah roller coaster untuk kuda beriadah selepas berlumba. Sebaliknya Kurtsystem ialah sebuah mesin yang digunakan untuk melatih kuda lumba berlatih tanpa seorang joki di belakangnya. Video di bawah tular di Reddit minggu ini membuatkan ramai tertanya-tanya apakah fungsinya.
Sistem ini dicipta oleh Mehmet Kurt, seorang pelatih kuda dari Turkiye. Pada peringkat awal Kurtsystem terdiri daripada sebuah kereta dengan ruang di hadapan untuk seekor kuda. Menurut Kurt, kuda muda menghadapi kejutan ketika memulakan latihan untuk menjadi kuda lumba. Kesilapan penunggang ketika melatih kuda muda boleh menyebabkan ia mengalami kecederaan yang boleh menghancurkan potensi.
Dengan Kurtsystem latihan dilakukan secara berperingkat dengan pada awalnya mesin ini menarik kuda perlahan-lahan untuk berlari dalam litar berbentuk bujur. Ia menggalakkan kuda untuk selesa berlari di atas litar dan dengan pemberat menggantikan joki pada pelana. Kuda muda akan menjalani latihan selama berbulan-bulan menggunakan Kurtsystem sebelum berpindah ke joki manusia secara perlahan-lahan.
Terdapat sistem menjejak kesihatan dan prestasi pada setiap Kurtsystem yang boleh melatih 10 ekor kuda serentak. Seorang atendan mengawal Kurtsystem untuk menekan butang kecemasan jika berlaku kecemasan dengan sistem akan berhenti perlahan-lahan untuk mengelakkan kecederaan.
Kos membina Kurtsystem mencecah $25 juta (~RM115 juta) tetapi dengan harga kuda lumba dengan baka yang baik boleh mencecah puluhan juta juga, ia mungkin pelaburan masa depan yang boleh menguntungkan pelatih.
Siri Honor90 akhirnya dilancarkan secara rasmi menerusi sebuah acara pelancaran di China, hari ini. Sebanyak dua model diumumkan dengan sejumlah ciri dan fungsi yang hampir sama, namun masih terdapat perbezaan kecil yang diberikan. Sungguhpun begitu secara umumnya peningkatan yang diberi pada kedua-dua peranti dilihat lebih menarik berbanding sebelum ini.
Kita mulakan dengan Honor90 Pro, ia menggunakan skrin OLED sebesar 6.78-inci FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Ini digabungkan lagi dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1, memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman 512GB. Ini merupakan peningkatan lebih baik berbanding Honor80 Pro yang hanya menawarkan pilihan memori sehingga 12GB RAM.
Peranti juga diberi peningkatan pada sistem kamera utama yang kini menggunakan sensor utama 200MP, kemudian diikuti dengan sensor 32MP (telefoto) dan 12MP (ultra lebar/makro). Dalam pada itu, ia juga mempunyai dwi-kamera swafoto dengan tetapan 50MP (potret) + 2MP (kedalaman). Rakaman video sehingga 4K turut boleh dibuat menerusi kedua-dua belah kamera berkenaan.
Seterusnya bateri 5,000mAh yang digunakan juga lebih besar berbanding 4,800mAh pada model terdahulu. Dalam masa sama, sistem pengecasan turut ditambahbaik yang mana kini mencapai 100W bertujuan memendekkan lagi proses pengecasan semula peranti.
Beralih kepada Honor90 pula, skrin sebesar 6.7-inci OLED FHD+ digunakan yang juga menyokong kada segar semua 120Hz. Cip Snapdragon 7 Gen 1 digunakan sebagai tunjang utama, dalam pada itu pilihan memori pula mencapai 16GB RAM dan storan dalaman 512GB.
Honor90 juga memuatkan sensor utama 200MP, namun tiada sokongan untuk sensor telefoto. Sebaliknya hanya dilengkapi dengan 12MP untuk ultra-lebar dan 2MP pula bagi tujuan kedalaman. Perbezaan turut boleh dilihat pada kamera swafoto yang hanya memuatkan sensor 50MP bagi tujuan rakaman gambar selfie. Bateri juga masih sebesar 5000mAh, namun sistem pengecasan pula hanya sekadar 66W.
Harga jualan kesemua peranti bermula RMB3299 (~RM2145) (12GB/256GB), RMB3599 (~RM2340) (16GB/256GB) dan RM3899 (~RM2536) (16GB/512GB) untuk Honor90 Pro. Sementara itu, variasi standard pula ditawarkan bermula RMB2499 (~RM1625) (12GB/256GB), RMB 2799 (~RM1821) (16GB/256GB) dan RMB2999 (~RM1,951) (16GB/512GB.)
Hampir dua minggu lalu kami laporkan MediaTek akan menggunakan GPU keluaran NVIDIA pada cip keluaran mereka. Di Computex hari ini berita ini disahkan dengan MediaTek akan menggunakan SoC hasil kerjasama mereka ini bagi kegunaan sektor automotif. Berita ini mungkin mengecewakan mereka yang berharap SoC ini akan digunakan pada peranti mudah alih.
Dengan bantuan GPU NVIDIA, SoC MediaTek akan mengawal sistem info hibur kenderaan dengan kemampuan menstrim video serta permainan video secara langsung. Kuasa memproses SoC ini bukan sahaja boleh mengawal pelbagai sistem standard di dalam kenderaan tetapi juga mengawal sistem sekuriti serta kecerdasan buatan yang diperlukan.
Hasil kerjasama ini diharap membolehkan platform Dimensity Auto yang diumumkan sebelum ini dapat mengambil sebahagian pasaran SoC untuk sistem info hibur kenderaan dengan nilai pasaran $12 bilion pada tahun 2023.
Siri Honor 90 dan Honor 90 Pro dilancarkan hri ini dengan tumpuan diberikan kepada sistem kamera yang menyokong zum digital sehingga 30x dan dijana cip kelas mercu. Mari bandingkannya dengan Oppo Reno10 Pro+ dan Poco F5 Pro dengan spesifikasi setanding.
MySejahtera kini menambah sebuah lagi ciri baharu pada aplikasi mereka, dalam menjadikan ia sebagai sebuah hab sehenti dalam mendapatkan pelbagai maklumat kesihatan seseorang. Ciri baharu ini lebih ditujukan kepada bakal jemaah Haji.
Melalui ciri baharu ini, kini pengguna boleh menyemak paparan sijil vaksinasi digital untuk Menincococcal Vaccine (MCV) yang diperlukan untuk bakal jemaah Haji, selari permintaan kerajaan Arab Saudi.
Paparan vaksin digital ini akan disediakan selepas selesai pemeriksaan di fasiliti kesihatan dengan sistem Myvas.
Sijil digital ini boleh disemak dengan klik pada Rekod Kesihatan, pilih Vaksinasi, dan pilih MCV. Kemaskini baharu ini tersedia untuk para pengguna MySejahtera seluruh negara.
Untuk pelbagai pengeluar telefon, ia telah menjadi untuk memperkenalkan dua variasi telefon boleh-lipat, iaitu yang boleh dibuka seperti buku, dan juga telefon boleh katup seperti cangkerang. Namun, ia menjadi kejutan ramai apabila Google hanya memperkenalkan satu versi telefon boleh-lipat sahaja baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pereka bentuk produk perkakasan Google kini berkongsi mereka turut membangunkan satu lagi model telefon boleh-lipat, tetapi membatalkannya kerana ia tidak mencapai tahap yang dikehendaki.
Walaubagaimanapun, ia tidak dinyatakan bagaimanakah rekaan telefon berkenaan. Google buat masa ini hanya menawarkan satu telefon lipat sahaja, dinamakan Pixel Fold.
Mengikut pasaran, versi “Fold” kebiasaannya membawakan tanda harga yang sedikit tinggi berbanding versi “Flip”. Mungkinkah sekiranya ada “Pixel Flip” ia akan dapat ditawarkan kepada pengguna lebih meluas, dan mendapatkan lebih pegangan pasaran berbanding jenama lain?