Quantcast
Channel: Amanz
Viewing all 51640 articles
Browse latest View live

Naver Menawarkan Alternatif Kepada ChatGPT Untuk Pelanggan Yang Risau Dengan Campur Tangan Amerika

$
0
0

Amerika Syarikat ialah negara terkaya di dunia dan seperti resam kehidupan duniawi, siapa ada wang dia punya kuasa. Maka A.S menggunakan kuasa mereka untuk mengarahkan hala tuju dunia dan mencampuri urusan negara lain. Ironi di sini ialah apabila urusan mereka dicampuri, mereka akan melalukan tindakan punitif menghalang akses kepada teknologi milik. Naver, gergasi teknologi Korea Selatan semalam mengumumkan mereka ingin menawarkan kecerdasan buatan (AI) kepada negara-negara yang risau dengan campur tangan A.S dalam dunia AI.

AI yang diperibadikan mengikut kehendak pelanggan-pelanggan di negara Arab yang dilihat sebagai sensitif oleh syarikat dari A.S dan juga negara-negara yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris. Ramai mungkin sudah mula menyedari majoriti AI dengan model LLM sedia ada hanya menyokong Bahasa Inggeris sahaja pada waktu ini sekaligus mengehadkan akses kepada penduduk bumi yang tidak memahaminya.

Naver juga menyasarkan pelanggan yang enggan data mereka dikongsi dengan Amerika Syarikat atas sebab-sebab tertentu. Ini adalah antara isu mengenai penggunaan ChatGPT kerana data peribadi dikongsi dengan syarikat tersebut. Akibatnya Samsung dan Apple mengharamkan penggunaan ChatGPT (serta aplikasi AI chatbot lain) di kalangan kakitangan untuk mengelakkan rahsia syarikat tertiris. Dalam kes Samsung tertiris sekali lagi.

Jawapan Naver kepada ChatGPT ialah HyperClova X yang menggunakan data tempatan serta menyokong Bahasa Korea. Samsung menjadi pelanggan pertama Naver dengan AI yang diperibadikan untuk digunakan kakitangan mereka sahaja. Pada waktu yang sama Naver mendapat bantuan Samsung untuk membangunkan cip AI kendiri yang membebaskan mereka daripada bergantung kepada cip keluaran syarikat lain seperti NVIDIA.


Redmi Note 12T Pro Hadir Dengan Skrin LCD 144Hz Dan Cip Dimensity 8200-Ultra

$
0
0

Barisan peranti pintar Redmi telah dikemaskini dengan satu lagi peranti baharu menerusi Note 12T Pro. Ia diposisikan sebagai sebagai sebuah peranti kelas pertengahan dengan reka bentuk yang sama seperti generasi sebelum ini.

Redmi Note 12T Pro menggunakan skrin LCD 6.51-inci FHD+ dengan kadar segar semula 144Hz. Ini dipadankan pula dengan cip MediaTek Dimensity 8200-Ultra, di samping turut menggunakan memori sehingga 12GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman sehingga 512GB UFS3.1.

Peranti juga mempunyai bateri 5080mAh dengan sokongan pengecasan pantas berwayar 67W. Dalam pada itu sistem tri kamera digunakan dengan sensor utama 64MP dan tiada harga jualan didedahkan setakat artikel ini ditulis.

ASUS Memperlihatkan Konsep Kad Grafik Tanpa Pin Palam Kuasa Konvensional

$
0
0

Computex 2023 sudah bermula sejak semalam dengan NVIDIA dan ARM merebut slot berita menarik untuk acara ini semalam. Hari ini kami rasakan giliran ASUS pula mencuri perhatian menerusi konsep kad grafik siri RTX 4000 yang tidak mempunyai pin palam kuasa konvensional. Sebaliknya kad grafik ini mempunyai bahagian tambahan terbina pada papan PCB untuk kuasa yang sebaris dengan bahagian sambungan PCIe Gen 4.0 x16.

Gambar : WCCFTECH

Menerusi rekaan ini, sambungan kad grafik kepada papan induk adalah lebih kemas tanpa wayar berselirat. Sebuah slot khas untuk PCIe Gen 4.0 x16 dan slot kuasa turut diperlihatkan pada papan induk konsep Z790 TUF Gaming mereka bagi menyokong kad grafik ini. Menurut laporan WCCFTECH, sistem kuasa menerusi slot ASUS ini boleh menawarkan kuasa sehingga 600W.

Gambar : WCCFTECH

Pada waktu ini kedua-dua kad grafik nir-palam kuasa dan papan induk yang menyokongnya masih sekadar konsep.

Kehadiran Vivo V29 Pro Diacah Secara Rasmi Dengan Skrin OLED 120Hz Dan Kamera 64MP

$
0
0

Sama ada sedar atau tidak, Vivo gemar menggunakan penjenamaan nombor ganjil pada peranti di bawah siri V. Sama seperti generasi baharu Vivo V29 Pro yang kini kehadirannya telah diacah menerusi laman web rasmi dengan rekaan yang masih samar-samar buat masa ini.

Namun begitu, sejumlah besar perkakasan dalaman peranti telah dikongsikan. Peranti ini akan dilengkapi skrin melengkung sejenis OLED 6.7-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Ini dipadankan juga dengan sistem tri-kamera yang menggunakan sensor utama 64-Megapixel. Dalam pada itu, kamera swafoto pula sebesar 50-Megapixel.

Bateri pula sebesar 5000mAh dan menyokong sistem pengecasan pantas 66W. Tidak ketinggalan, ia juga menawarkan pilihan memori 12GB dan storan dalaman 256GB. Namun masih timbul beberapa persoalan mengenai cip pemprosesan dan juga tarikh pelancaran rasmi peranti.

Rekod Dunia Jumlah Penonton Penstriman Tertinggi Kini Dipegang JioCinema

$
0
0

Rekod dunia jumlah penonton penstriman tertinggi dunia kini berpindah milik ke JioCinema di India selepas siaran langsung perlawanan akhir Liga Kriket Perdana India (IPL) semalam mencatatkan 33 juta penonton serentak.

Ia dengan mudah memintas rekod 25.3 juta penonton yang menstrim perlawanan kriket di Disney+ Hotstar pada Julai 2019. Rekod ini dicatatkan kerana perlawanan boleh distrim secara percuma oleh pengguna JioCinema.

JioCinema memenangi hak eksklusif menayangkan IPL tahun lalu dengan bayaran $5 bilion sehingga 2027. Hak menayangkan IPL akan kunci kepada kejayaan Disney+ Hostar pada peringkat awal platform dilancarkan. Tetapi selepas hak jatuh ke JioCinema, Disney+ HotStar kehilangan 4.6 juta pelanggan di India dan Asia Tenggara pada suku yang lalu.

ASUS ROG Matrix GeForce RTX 4090 Dilengkapi Penyejuk Logam Cecair

$
0
0

Siri ROG Matrix jarang sekali ditawarkan kepada umum kerana ia dilihat sebagai produk edisi terhad untuk golongan peminat tegar yang juga mempunyai wang yang boleh dibelanjakan. Di Computex, ASUS ROG Matrix GeForce RTX 4090 telah diperlihatkan dengan ia merupakan kad grafik dengan sistem penyejuk logam cecair. Ini menjadikannya kad pertama ASUS dengan penyejuk yang turut digunakan pada PlayStation 5.

Logam cecair digunakan sebagai bahan antaramuka terma (TIM) bagi membolehkan haba dipindahkan dengan lebih efisien dari cip GPU ke plat sistem penyejuk. Plat sistem penyejuk yang sama disambungkan kepada RAM dan cip VRM pada papan induk.

Dengan sistem penyejukan yang yang lebih efisien, cip RTX 4090 yang digunakan oleh ROG Matrix ini juga beroperasi pada kelajuan lebih tinggi berbanding kad stok. ASUS berkata ia boleh beroperasi pada suhu hanya 60 darjah Celsius walaupun pada TDP 450W.

Bagi meningkatkan lagi kemampuan penyejukan, ASUS ROG Matrix GeForce RTX 4090 turut menggunakan sistem penyejukan cecair dengan radiator sebesar 360mm. Ini disejukkan pula oleh tiga kipas 120mm ROG MF-12S ARGB dengan sistem RGB terbina. Harga masih belum diumumkan oleh ASUS tetapi ia pastinya lebih mahal berbanding kad RTX 4090 biasa yang harganya melangkaui $1600 sebuah.

Cip Pemprosesan MediaTek Seterusnya Akan Menggunakan CPU ARM Cortex-X4

$
0
0

Minggu ini adalah minggu acara Computex 2023 berlangsung dan banyak perkara menarik telah diumumkan seperti cip MediaTek akan menggunakan GPU NVIDIA dan ARM memperkenalkan CPU dan GPU keluarga ARMv9.2 antara yang menarik bagi pengguna telefon pintar.

MediaTek pada hari yang sama turut mengumumkan yang cip pemprosesan mereka seterusnya akan menggunakan teknologi daripada ARM. Melalui laman Weibo rasmi mereka MediaTek memberitahu yang cip baharu ini akan memanfaatkan CPU Cortex-X4, Cortex-A720 CPU dan GPU Immortalis-G720 GPU.

Cip ini dijangka mungkin adalah Dimensity 9300 yang akan bersaing dengan Snapdragon 8 Gen 3. Dengan CPU Cortex-X4 ia memberikan peningkatan prestasi sehingga 15% dan menjimatkan tenaga sehingga 40%. Sementara itu Cortex-A720 menawarkan penjimatan kuasa sehingga 20% manakala Cortex-A520 pula penjimatan sehingga 22%. Sementara itu GPU Immortalis-G720 pula dikatakan mempunyai sekurang-kurangnya 10 teras dengan peningkatan prestasi sehingga 15%.

Lebih menarik ialah konfigurasi kluster teras 1+5+2 (Cortex-X4, Cortex-A720 dan Cortex A520) pada SOC mercu tahun ini berbanding 1+4+3 pada Snapdragon 8 Gen 2 misalnya. Cip ini juga hanya menyokong sistem 64-bit dan tidak lagi menyokong sistem 32-bit yang tidak lagi akan disokong oleh sistem operasi Android.

Besar kemungkinan akan dilancarkan pada separuh kedua 2023 kerana inilah yang selalu dilakukan MediaTek untuk SoC yang digunakan peranti awal tahun 2024.

Rekaan Xiaomi MIX Fold3 Tertiris Dengan Kamera Lensa Leica

$
0
0

Peranti skrin boleh-lipat mempunyai isu terlalu tebal untuk kebanyakan pengguna. Hanya Huawei Mate X3 berjaya menyelesaikan isu ini dengan ia hanya sedikit lebih tebal berbanding sebuah iPhone 14 Pro Max. Hari ini Digital Chat Station meniriskan rekaan Xiaomi Mix Fold3 yang pasti akan memberikan persaingan kepada Huawei sebagai peranti skrin boleh-lipat ternipis.

Imej yang dikongsi menunjukkan peranti mempunyai sisi tubuh yang berkotak dan nipis. Dalam dilihat juga kamera utama menggunakan lensa Leica dengan salah satunya adalah dari jenis zum periskop. Sistem audio Harman Kardon bersama dengan pemancar infra merah turut bakal disertakan.

Tiada maklumat lain mengena peranti tetapi pasti ia akan menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2 seperti Vivo X Fold2. Seperti biasa pelancaran global masih lagi misteri kerana dua MIX Fold sebelum ini hanya untuk pasaran China.


Monitor Ultra Lebar ASUS ROG Swift OLED PG49WDCD Menyokong Kadar Segar Semula 144Hz

$
0
0

ASUS ROG Swift OLED PG49WDCD merupakan sebuah monitor gaming ultra lebar lengkung sebesar 49-inci baharu. Skrin OLED yang digunakan bukan sahaja menyokong warna 10-bit malahan mempunyai kadar segar semula 144Hz.

Resolusi maksimum yang disokong pula ialah resolusi 5120 x 1440 dengan keterangan maksimum 1000 nits yang melepasi piawaian VESA DisplayHDR 400. Menurut ASUS lagi, terdapat ruangan haba dan lapisan Graphene yang dibina khas di belakang panel bertujuan memastikan monitor ini sentiasa sejuk tanpa memerlukan kipas yang bising.

Sebagai monitor gaming, ia juga menyokong Adaptive Sync dan AMD FreeSync Premium Pro bagi mengelakkan isu grafik terkoyak sewaktu sesi permainan video. Dalam pada itu, masa tindak balas pula serendah 0.03 ms.

Turut disertakan ialah port DisplayPort 1.4, HDMI 2.1 dan USB Type-C yang boleh mengecas semula peranti yang disambungkan sehingga 90W melalui USB Power Delivery. Tiada harga jualan didedahkan sewaktu artikel ini ditulis.

MSI Stealth 16 Mercedes-AMG Motorsport Limited Edition Diumumkan Secara Rasmi

$
0
0

MSI Stealth 16 Mercedes-AMG Motorsport Limited Edition telah diumumkan di acara COMPUTEX 2023 pada hari ini. Pengenalan ini merupakan jalinan kerjasama diantara MSI dan Mercedez-AMG Motorsport bagi menghasilkan sebuah komputer riba permainan premium, di samping perkakasan canggih yang mampu memberikan prestasi serba baik.

Dari segi kemasan, komputer riba ini lengkap dengan tubuh daripada bahan aloi magnesium bertujuan memastikan kerangka yang kekal teguh dan juga ringan. Ia bertambah menarik apabila mempunyai logo Mercedes-AMG Motorsport pada bahagian belakang, yang mana diposisikan bersebelahan dengan penjenamaan MSI.

Dalam pada itu, logo yang sama berkenaan turut boleh ditemui pada paparan skrin, bezel utama dan bahagian belakang komputer riba. Turut disertakan pada komputer riba ini adalah pakej aksesori menarik terdiri dengan tetikus berwayar, pemacu USB dan beg eksklusif yang juga bertemakan Mercedez-AMG Motorspott.

Untuk spesifikasi, MSI Stealth 16 menggunakan skrin OLED UHD (3840 X 2400 piksel) sebesar 16-inci. Ini dipadankan pula dengan pilihan CPU sehingga Intel Core i9-13900H dan GPU sehingga Nvidia GeForce RTX 4070. Sokongan memori pula maksimum 64GB DDR5-5200 RAM dan storan terbina 2 TB NVMe SSD.

Seterusnya komputer riba juga mempunyai bateri 99Wh dengan sistem pengecasan 240W. Pilihan I/O pula pula terdiri dengan 1x Type-C (USB3.2 Gen2 / DP), 1x Type-C (USB / DP / Thunderbolt 4), 1x Type-A USB3.2 Gen2, 1x Micro SD, 1x HDMI 2.1 dan 1x RJ45.

Aplikasi Maybank MAE Kini Menyokong Pembayaran QR Di Singapura, Indonesia Dan Thailand

$
0
0

Maybank menerusi kenyataan rasmi mengumumkan bahawa aplikasi perbankan mudah alih MAE kini menyokong transaksi QR DuitNow rentas sempadan, termasuklah di Singapura, Indonesia dan Thailand.

Maybank

Ini bermakna mana-mana pengguna yang melancong ke negara tersebut boleh membuat pembayaran QR secara terus kepada peniaga yang mana kadar tukaran mata wang akan dipaparkan secara automatik. Dalam pada itu, kemudahan ini turut membenarkan pelancong dari luar negara membuat pembayaran nirtunai di Malaysia dalam nilai matawang ringgit menggunakan aplikasi pembayaran yang menyokong.

Had transasksi harian adalah sehingga RM1,000, atau bersamaan dengan RM1000 dalam mata wang asing. Bagaimanapun pengguna masih boleh menukar had ini menerusi tetapan aplikasi. Perlu diingatkan, pengguna juga perlu membuat pengesahan untuk mana-mana pembayaran yang melebihi RM250.

Sila pastikan aplikasi MAE telah dikemaskini ke versi terkini bagi menikmati pembaharuan ini.

Ulasan Tecno Phantom V Fold – Versi Ekonomi, Ada Kompromi

$
0
0

Harga peranti skrin boleh-lipat di Malaysia boleh mencecah RM8888 sebuah seperti yang dapat dilihat pada Huawei Mate X3. Di penghujung spektrum yang satu lagi wujud pula Tecno Phantom V Fold yang merupakan peranti skrin boleh-lipat dari jenis skrin besar paling murah di pasaran sekarang. “Murah” di sini adalah relatif kepada peranti dalam kelasnya kerana setiap V Fold di Malaysia dijual pada harga RM5399 sebuah.

Jadi apakah kekurangan dan apa pula kelebihan yang ada pada V Fold? Ulasan ini akan cuba menjawab kesemua persoalan ini dari perspektif kami yang sudah menggunakan kesemua peranti skrin boleh-lipat yang telah dilancarkan setakat ini.

SPESIFIKASI

Tecno Phantom V Fold
SkrinLuar – 6.42″ AMOLED, LTPO 120Hz
Dalam – 7.85″ AMOLED LTPO 120Hz
PemprosesDimensity 9000+
Cip1 X 3.2 GHz Cortex X2
3 X 2.85 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikMali-G710 MC10
RAM12 Gigabyte LPDDR5X
Muatan Dalaman512GB UFS 3.1
Kamera Utama50 MP, f/1.9 (Sudut Lebar)
13 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar)
50 MP, f/2.0 (Telefoto) 2x Zum Optical
4K 60p
Kamera Depan32 Megapixel f/2.5 (Depan)
16 Megapixel f/2.5 (Dalam)
FHD 60p
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 45W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap jari terbina sisi
Harga JualanRM5399 (12/512 GB)

SKRIN

Skrin luar 6.42″ adalah dari keluarga AMOLED LTPO dengan sokongan kadar segar semula 10-120Hz bergantung pada aplikasi yang dibuka. Ia mempunyai nisbah skrin yang sama dengan Magic Vs yang menjadikan penggunaannya sangat selesa. Tiada isu langsung untuk menaip atau membuka aplikasi biasa. Oleh sebab itu kami jarang sekali merasakan perlu menggunakan skrin dalaman yang besar.

Kerana dari keluarga AMOLED, panel memaparkan warna yang nampak hidup dan juga masih senang melihat skrin di bawah cahaya matahari yang terik. Terdapat bezel yang agak nipis dan lubang kamera di bahagian atas.

Di bahagian dalam pula skrin oleh 7.85″ AMOLED juga dari jenis LTPO 10-120Hz seperti pada skrin luar. Ini adalah satu kelebihan V Fold berbanding Magic Vs yang hanya menggunakan skrin 90Hz di bahagian dalam. Skrin ini juga mempunyai satu lubang kamera pada “pintu” kanan. Tecno masih belum bersedia menggunakan kamera bawah skrin seperti Samsung.

Kedua-dua skrin menyokong paparan HDR. Tetapi Kami sedari hanya Prime Video dan YouTube menyokong mod HDR pada V Fold. Disney+ Hotstar dan Netflix boleh memaparkan kandungan HDR sahaja.

Pada minggu pertama tiada garis lipatan yang ketara dapat kami lihat di skrin dalaman. Yang kami sedari ialah engsel pada V Fold adalah agak keras di peringkat awal. Semasa membuka skrin, pengguna akan terkejut kerana ia seperti mempunyai spring yang menolaknya terbuka dengan pantas. Sangat canggung perasaannya kerana ia tidak berlaku pad Z Fold2, Find N2 dan Magic Vs yang kami ulas untuk Amanz sebelum ini.

Selepas sekitar dua minggu engsel ini mula terasa lebih longgar. Aksi skrin terbuka mengejut hilang secara magis. Ini juga tempoh yang diperlukan untuk garis lipatan skrin mula kelihatan dengan agak ketara. Semua peranti skrin boleh-lipat dari jenis “Fold” mempunyai isu ini berdasarkan pengalaman kami.

Maka bolehlah disimpulkan belum ada pengeluar peranti yang mampu menyelesaikan isu kesan lipatan walaupun peranti jenis ini sudah hampir memasuki tahun ke-lima ia dilancarkan kepada umum.

Skrin V Fold mempunyai dua isu yang kami rasakan perlu disentuh kerana kami kategorikan sebagai agak serius. Pertama sekali ialah haptik yang terasa murah kerana menggelikan jari. Terasa seperti sistem haptik sebuah telefon kelas permulaan. Tidak sesuai langsung untuk peranti berharga RM5399.

Isu kedua mod keterangan skrin automatik V Fold yang berfungsi perlahan. Waktu yang diambil untuk menyedari berlaku perubahan keterangan sekeliling adalah sekitar 2-3 saat sebelum mengambil masa 2-3 saat lagi untuk peranti mengubah keterangan skrin. Kerana terlalu lambat kami matikan sahaja mod keterangan skrin automatik ini sepanjang tempoh ulasan.

BIOMETRI

Pengimbas cap jari sisi yang digunakan adalah pantas dan agak konsisten. Lokasinya yang terbina pada butang kuasa memudahkan lagi ia dicapai oleh jari kami semasa memegangnya. Sistem biometri wajah juga pantas asalkan dalam keadaan terang. Tiada pengimbas infra merah digunakan maka ia tidak boleh digunakan pada waktu malam.

REKAAN

Rekaan V Fold sebenarnya tidak sama dengan Z Fold4 atau Magic Vs. Dalam keadaan terlibat masih terdapat sedikit rongga kosong antara skrin. Tidak sebesar pada Z Fold4 tetapi juga tidak rapat sepenuhnya seperti pada Magic Vs. Sungguhpun begitu ia masih lagi terasa nipis dalam tangan serta kocek seluar.

Butang. kuasa merangkap pengimbas cap jari diletakkan pada sisi kanan bersama dengan butang laras audio. Kedua-dua butang diletakkan pada “pintu” kanan skrin boleh-lipat. Oleh itu apabila dibuka kedudukan butang tidak berubah. Ini berbeza dengan rekaan Magic Vs yang meletakkan butang laras audio pada “pintu” kiri yang menyebabkan berlaku kekeliruan apabila butang ini tiba-tiba berada di sebelah kiri apabila skrin dibuka.

Talam SIM diletakkan pada bahagian bawah pintu kiri bersama salah satu kekisi speaker . Pada sisi bertentangannya terdapat sebuah lagi kekisi speaker. Akhir sekali port USB-C untuk pengecasan diletakkan di bahagian bawah pada pintu kanan peranti.

Pada bahagian engsel terdapat tekstur kasar yang membolehkan jari disangga dengan lebih kemas apabila dipegang. Dalam tangan peranti selesa dipegang dalam keadaan tertutup dan juga terbuka. Panel belakang juga mempunyai kemasan seakan kulit yang lembut meningkatkan lagi keselesaan peranti ketika digunakan.

Sistem tri-kamera utama diletakkan dalam sebuah bonggol kamera berbentuk bulat. Kerana saiznya yang besar dan ia juga agak tinggi, peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja. Tecno memberikan sebuah kerangka plastik yang mempunyai corak seakan gentian karbon. Kerangka ini terlalu nipis untuk benar-benar menyerap hentakan sekiranya peranti terjatuh.

Pada bahagian belakang terdapat bonggol besar berbentuk bulat yang meletakkan tiga kamera – 50MPsudut lebar f/1.9, 13MP ultra sudut lebar f/2.2 dan 50MP telefoto f/2.0 yang menyokong zum optikal 2x serta zum digital sehingga 20x. Bonggol ini adalah cukup besar sehingga menyebabkan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Dua kamera swafoto yang digunakan pula sebesar 16MP f/2.5 yang di dalam dan 32MP f/2.5 di bahagian luar.

Galaxy Z Fold4 vs Phantom V Fold

Bateri pula sebesar 5000 mAh yang merupakan kapasiti yang sama besar dengan Magic Vs. Pengecasan yang disokong hanyalah secara berwayar pada kuasa maksimum 45W. Tiada bicu audio, pemancar infra merah atau slot untuk kad mikro SD disertakan pada peranti mercu ini.

Satu lagi perkara yang lebih kami rasakan ketiadaannya ialah sebarang penarafan kalis air. Dengan kata lain jika anda menggunakan V Fold, pastikan akan menyimpan peranti dengan segera jika terperangkap dalam hujan. Adalah lebih baik jika sokongan sekurang-kurangnya IPX8 seperti yang dilakukan Samsung dan Huawei tetap ini adalah ciri yang sering dikorbankan demi menjimatkan kos pengeluaran.

PERISIAN DAN PENGALAMAN PENGGUNAAN

Sistem operasi HiOS 13 Fold yang berasaskan Android 13 digunakan. Ini adalah kali pertama kami mengulas peranti Tecno maka kami tidak tahu apakah perbezaannya dengan versi biasa dan tahap kelancarannya. Kita mulakan dengan berita baik terlebih dahulu. Proses melancarkan aplikasi adalah pantas begitu juga dengan proses bertukar antara aplikasi yang dibuka. Terdapat antaramuka multi-tugas yang kemas khususnya dalam mod tablet. Sehingga 9 aplikasi dapat dilihat dengan jelas pada skrin multi-tugas bagi memudahkan pilihan.

HiOS menyokong sepenuhnya Google Mobile Services (GMS). Maka tidak ada masalah untuk anda menggunakan perkhidmatan Google. Kami perlu letakkan perenggan ini kerana ada yang bertanya adalah V Fold mempunyai GMS. Semua aplikasi popular boleh dimuat turun menerusi Play Store dan dipasang.

Dalam mod tablet, terdapat taskbar kecil di bawah yang memaparkan lima pintasan pantas kepada aplikasi pilihan dan tiga lagi ikon untuk aplikasi yang baru sahaja digunakan. Ini sedikit sebanyak memudahkan proses menukar aplikasi dengan pantas. Tetapi taskbar HiOS tidak sebaik taskbar Samsung One UI 5.1 yang menunjukkan lebih banyak aplikasi yang dibuka. Ia juga sentiasa dipaparkan di bahagian bawah skrin. Dari segi kepantasan, perisian Samsung masih lagi tidak boleh dikalahkan oleh pengeluar telefon boleh-lipat pengeluar lain.

Mod gestur yang disokong adalah amat pelbagai. Gestur lima jari secara automatik menukar aplikasi dalam mod skrin penuh ke tingkap kecil yang terapung. Melancarkan mod dua aplikasi dilancarkan serentak juga semudah menatal satu jari ke bawah dari bahagian tengah-tengah skrin. Pasangan dua aplikasi yang ingin dilancarkan serentak juga boleh disimpan cuma diakses menerusi skrin multi-tugas dengan ikon diletakkan di bahagian atas.

Harus diakui gestur yang disokong adalah amat bagus tetapi kami merasakan animasi yang dipaparkan dalam tutorial bertukar terlalu pantas untuk kami mempelajarinya. HiOS juga mempunyai pelbagai tetapan lain yang memastikan semua aplikasi boleh digunakan pada skrin lipat yang besar dan mod yang membolehkan aplikasi dari skrin luar dibuka terus pada skrin dalam (dan berbalik). Dari segi sokongan ciri ia setanding dengan Magic Vs tetapi di belakang Z Fold4.

Tetapi implementasi kesemua ciri ini yang mengecewakan kami. Untuk mod melancarkan dua aplikasi serentak dalam dua tingkap misalnya, animasi mengambil masa sehingga dua saat. Saiz tingkap juga tidak boleh diubah. Jika anda mencubanya juga, secara automatik salah satu aplikasi tadi akan ditutup.

Isu tidak lancar ini juga kami sedari apabila membuka aplikasi dari skrin luar ke dalam. Ia mengambil masa sehingga dua saat sebelum aplikasi boleh digunakan. Ia mengingatkan kami kepada pengalaman menggunakan Z Fold generasi pertama. Dengan HiOS 13 Fold berasaskan Android 13, isu ini sepatutnya tidak timbul kerana Android 13 mempunyai kesemua ciri Android 12L yang menyokong peranti skrin boleh-lipat.

Anda mahukan Flex Mode yang ada pada N2 Flip, Z Flip4, Z Fold4 dan Find N2? Ia tidak ada pada V Fold. Malahan skrin V Fold tidak boleh dibuka ke bentuk L kerana engsel tidak membenarkannya. Mahu letakkan peranti dalam mod separuh terbuka dan menonton video pada skrin luar tanpa tongkat seperti pada Z Fold4? Maaf ini juga tidak disokong. Ketiadaan dua ciri standard Androd 12L ini memilukan.

Mana Flex Mode?

Kurang masuk akal peranti dengan MediaTek Dimensity 9000+, dan 12GB RAM mempunyai isu sela masa. Find N2 Flip yang kami ulas dan menggunakan cip yang sama memberikan pengalaman yang lebih lancar. Kerana isu ini kami meningkatkan jumlah RAM ke 21GB secara maya menerusi ciri MemFusion. Isu yang sama masih kami hadapi. Bercakap mengenai MemFusion, pengguna boleh menambah memori maya sebanyak 3, 6 atau 9 GB jika diperlukan.

Jika Tecno ingin bersaing dengan pengeluar lain dalam segmen peranti skrin boleh-lipat, perisian mereka perlu ditambah baik kerana pengalaman penggunaan V Fold kadang-kala seperti menggunakan peranti dengan cip kelas pertengahan Snapdragon 695 atau Dimensity 720.

PENANDA ARAS

Cip Dimesity 9000+ adalah cip yang berada dalam kelas yang sama dengan Snapdragon 8+ Gen 1. Ia digunakan juga pada Oppo Find N2 Flip. Seperti yang telah kami katakan di atas, pengalaman penggunaan V Fold adalah kurang lancar. Tetapi bagaimana pula skor yang dicatatkan dalam ujian sintetik GeekBench 6, Antutu 3D dan 3D Mark?

Berikut adalah markah penanda aras Tecno Phantom V Fold dibandingkan dengan Oppo Find N2 Flip (Dimensity 9000+), Galaxy Z Fold4 (Snapdragon 8+ Gen 1), Honor Magic Vs (Snapdragon 8+ Gen 1,) OnePlus 11 (Snapdragon 8 Gen 2), dan iPhone 14 Pro Max (Apple A16 Bionic)

Geekbench 6

  • Tecno Phantom V Fold – 1238/3776
  • Honor Magic Vs – 1276/3822
  • Oppo Find N2 Flip – 1028/3088
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 1422/3764
  • OnePlus 11 – 1495/4805
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

Antutu 3D

  • Tecno Phantom V Fold – 994,304
  • Honor Magic Vs – 804,494
  • Oppo Find N2 Flip – 756,646
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 980,346
  • OnePlus 11 – 1,104,135
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

Wild Life Extreme

  • Tecno Phantom V Fold – 2567
  • Honor Magic Vs – 2651
  • Oppo Find N2 Flip – 2617
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 2798
  • OnePlus 11 – 3712
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

Markah ujian penanda aras yang dicatatkan adalah tinggi lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan N2 Flip. Tetapi prestasi multi-tugasan dan kelancaran membuatkan pengalaman tidak setara markah. Peranti juga mudah menjadi panas. Kami sedari ia menjadi panas apabila digunakan sebagai hotspot WiFi. Dari segi pengalaman permua pula, COD Mobile, PUBG Mobile dan Asphalt 9 boleh dimainkan pada tetapan tinggi cuma peranti akan menjadi sedikit panas selepas sesi permainan video yang agak panjang.

Ini mungkin sebab mengapa skor V Fold lebih tinggi berbanding N2 Flip. Semasa mengulas N2 Flip tiada isu peranti menjadi panas. Mungkinkah Oppo merendahkan kelajuan cip mereka demi mengelakkan isu ini?

TELEFONI Dan GPS

Rangkaian 5G boleh disokong dengan baik dan terdapat juga sokongan VoLTE dan VoWiFi jika syarikat telekomunikasi anda menawarkannya. Panggilan suara adalah jelas tanpa sebarang masalah sambungan. Masalah yang kami sedari hanya satu iaitu kadang kala SMS tidak sampai. Ini menimbulkan isu ketika cuba mengaktifkan Disney+ HotStar, WhatsApp dan Grab yang memerlukan kod pengaktifan SMS.

Adakah ini masalah syarikat telekomunikasi ataupun telefon kami tiada jawapannya. Yang kami tahu proses meminta SMS perlu dilakukan beberapa kali sebelum ia secara rawak boleh pula diterima dengan selamat.

Prestasi GPS pula seperti lampu lip lap di Hari Raya. Kejap elok kejap gagal secara total. Kami gunakan V Fold minggu lalu apabila Kuala Lumpur mengalami kesesakan lalulintas yang teruk kerana hujan di petang hari. Apabila Waze dibuka kadang kala lokasi tidak dapat dijejak dengan pantas (sehingga 5 saat).

Terlepas simpang? Ikon kereta dalam Waze tidak berubah untuk menunjukkan lokasi sebenar selama 5 saat lagi. Ada sela masa sebelum lokasi sebenar kereta dapat dipaparkan dalam aplikasi. Bagi sebuah peranti mercu, prestasi GPS V Fold tidak memuaskan.

KAMERA

Sistem kamera adalah agak lengkap kerana kamera utama terdiri daripada 50MP sudut lebar f/1.9, 13MP ultra sudut lebar f/2.2 dan 50MP telefoto f/2.0 yang menyokong zum optikal 2x serta zum digital sehingga 20x. Dua kamera swafoto yang digunakan pula sebesar 16MP f/2.5 yang di dalam dan 32MP f/2.5 di bahagian luar.

Perisian kamera mempunyai semua ciri perlu seperti Potret, landskap, mod malam dan lensa AR. Terdapat juga mod skrin luar digunakan sebagai viewfinder untuk merakam gambar swafoto dan swavideo. Tetapi sekali perisian Tecno menyebabkan pengalaman penggunaan kamera tercemar. Proses menukar antara lensa sudut lebar, ultra sudut lebar dan zum optikal mengambil masa

Gambar yang diambil nampak lembut kerana semua lensa tidak mempunyai OIS. Oleh sebab itu imej yang terhasil tidak tajam walaupun dalam keadaan pencahayaan yang baik. Gambar yang terhasil juga sedikit kuning berbanding situasi sebenar.

Bolehlah dirumuskan kemampuan kamera V Fold adalah sederhana. Masih tidak setanding V Fold4, Find N2 atau Magic Vs. Majalah kami rasakan ia tidak sebaik N2 Flip pada waktu ini. Jika V Fold 2 dilancarkan, Tecno perlu menyertakan OIS pada sekurang-kurangnya satu lensa.

Ini pula hasil tangkapan kamera dalam mod zum 1x, 2X, 15x dan 20x. Hasil tangkapan baik sehingga sekitar 5X zum sahaja. Melangkui tahap ini imej yang terhasil mula pecah. Zum digital adalah sehingga 2x sahaja maka kemampuan zum adalah terhad. Ini tidak dibantu oleh lensa yang tidak mempunyai sistem OIS.

BATERI

Hayat bateri adalah sehingga 16 jam dan SOT pula hampir 7 jam. Prestasi bateri yang menyedihkan kerana bateri sebesar 5000 mAh. Pada Magic Vs dengan bateri yang sama, SOT sehingga 10 jam boleh dicapai secara konsisten. Kami rasakan cip Dimensity 9000+ yang kerap menjadi panas adalah sebab mengapa bateri V Fold tidak bertahan lama.

Masa untuk mengecas semula bateri adalah sekitar 60 minit. Walaupun tidak pantas, pengecas ini diberikan dengan setiap pembelian. Satu lagi ciri yang kami suka ialah terdapat sistem penggera yang berbunyi apabila bateri dicas 100%. Ini adalah ciri yang kami harap diberikan pada peranti lain kerana boleh mengelakkan bateri mengalami kerosakan dengan pantas.

AUDIO

Speaker stereo dibekalkan tetapi tanpa sebarang sistem tambahan seperti Dolby Atmos. Audio juga sekadar sederhana seperti prestasi kamera. Ianya lantang dan jelas. Sekurang-kurangnya pada tetapan tertinggi bunyi masih elok.

PESAING

Tecno Phantom V FoldSamsung Galaxy Z Fold4Honor Magic Vs
Luar – 6.42″ LTPO OLED, 120Hz
Dalam – 7.85″ LTPO OLED, 1290Hz, HDR10+
Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz
Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
Luar – 6.45″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.9″ OLED, 90Hz, HDR10+
Dimensity 9000+ (4nm)
1 X 3.2 GHz Cortex X2
3 X 2.85 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Mali-G710 MC10Adreno 730Adreno 730
12 GB LPDRR512 GB LPDRR512 GB LPDRR5
512 GB UFS 3.1256/512/1000 GB UFS 3.1512 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50MP, f/1.9 Sudut Lebar
50MP, f/2.0 Telefoto, 2X Zum Optikal
13MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama
50MP, f/1.8 Sudut Lebar, OIS
10MP, f/2.2 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS
12MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama
54MP, f/1.9 Sudut Lebar, OIS
8MP, f/2.4 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS
50MP, f/2.0 Ultra Sudut Lebar
Kamera Hadapan
32-MP f/2.5
16-MP f/2.6
Kamera Hadapan
10-MP f/2.2
4-MP f/1.8 (UDC)
Kamera Hadapan
16-MP f/2.6
16-MP f/2.6
Tidak kalis airIPX8Tidak kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 45W)4400 mAh (Berwayar 25W)5000 mAh (Berwayar 66W)
Harga RM 5399RM 6799 (12/256GB)
RM 7299 (12/512GB)
RM 8299 (12/1000GB)
Harga RM 5999

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Tecno Phantom V Fold
  • 1x Kerangka plastik.
  • 1x Pengecas 45W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Tecno Phantom V Fold ialah telefon skrin boleh-lipat jenis Fold yang paling mampu milik di pasaran Malaysia. Ia menawarkan skrin yang lebar di luar membolehkan ia digunakan dengan selesa tanpa perlu dibuka terlebih dahulu. Rekaannya juga menarik kerana panel belakang yang mempunyai kemasan seperti sebuah kamera analog klasik. Dengan Dimensity 9000+ dan 12GB RAM, ia juga boleh menjalankan pelbagai aplikasi popular dengan pantas.

Tetapi pada semua peranti “mampu milik” terdapat beberapa kompromi di sini. Perisian tidak cukup matang membuatkan penggunaan terasa perlahan. Ini tidak dibantu oleh tiadanya ciri standard peranti skrin boleh-lipat seperti Flex Mode, mod skrin automatik yang pantas, dan pertukaran aplikasi antara skrin dalam/luar yang pantas. Kekurangan turut dirasakan pada kamera yang perlahan, serta GPS yang bermasalah. Hayat bateri pendek juga menjadi satu lagi kekurangan yang sukar dimaafkan kerana kapasitinya yang besar.

Di Malaysia Tecno Phantom V Fold dijual pada harga RM5399 tetapi pada waktu ini boleh dibeli pada harga RM4999 sepanjang tempoh promosi. Walaupun “mampu milik” berbanding Z Fold4, Mate X3, dan Magic Vs kami tidak menyarankan anda membelinya pada waktu ini. Kesemua kompromi yang kami senaraikan tadi membuatkan V Fold terasa seperti sebuah peranti kelas pertengahan dengan cip Snapdragon 695.

Tidak masuk akal membayar hampir RM5000 sedangkan ada peranti mercu lain yang lebih baik pada harga mampu milik seperti OnePlus 11. Jika anda ingin juga peranti skrin boleh-lipat, kami sarankan Magic Vs yang mengimbangi prestasi yang memuaskan, rekaan yang mantap dan harga yang walaupun mahal (RM5999) tetapi masih membuatkan pembelian berbaloi.

Pro

  • Skrin luar dan dalam LTPO 120Hz
  • Dimensity 9000+ berkuasa membolehkan banyak aplikasi digunakan tanpa isu.
  • Rekaan lebih nipis berbanding Z Fold4.
  • Pelbagai ciri gestur yang berguna.
  • Peranti selesa digunakan sebelah tangan.
  • Speaker stereo lantang.

Kontra

  • Tidak kalis air.
  • Tiada ciri boleh lipat biasa seperti Flex Mode.
  • Perisian yang tidak menawarkan penggunaan seakan peranti mercu.
  • Kamera perlahan.
  • Hayat bateri yang tidak setanding kapasiti.

Pakar Dan Ahli Akademik Bersetuju AI Meningkatkan Risiko Kepupusan Manusia

$
0
0

Adakah kecerdasan buatan (AI) boleh menyebabkan kepupusan spesis manusia. Dalam cereka fiksyen The Terminator dan The Matrix, AI telah menghapuskan manusia sehingga mereka menjadi spesis terancam. Realiti ini masih belum berlaku tetapi sudah wujud beberapa pendapat daripada golongan akademik yang meramalkan fiksyen ini boleh menjadi kenyataan.

Hari ini 135 pakar dalam AI dan ahli akademik dari universiti-universiti ternama menurunkan tanda tangan bersetuju bahawa AI membawakan risiko kepada kepupusan dengan ia perlu menjadi keutamaan global seperti wabak dan juga perang nuklear.

Antara yang menandatangani kenyataan ini ialah Sam Altman (CEO OpenAI), Demis Hassabis (CEO DeepMind), Emad Mostaque (CEO Stability AI) serta beberapa ketua jabatan dari universiti ternama seperti Stanford, MIT, Harvard, UC Berkeley, Cambridge dan Cornell.

Impak AI sudahpun dapat dilihat dengan penulis kehilangan kerja, artis karyanya dicuri dan wujud insiden jawapan yang diberikan AI penuh kepalsuan. Kenyataan mengenai risiko AI kepada manusia ini mirip dengan kenyataan yang ditandatangani oleh 11,00 saintis pada tahun 2019 mengenai seksa yang bakal dihadapi jika perubahan iklim tidak ditangani dengan segera.

Shopee Kemaskini Polisi – Penjual Kena Pastikan Kadar Penghantaran Lewat Dibawah 5%, Berbanding 15% Sebelumnya

$
0
0

Shopee kini memaklumkan kemaskini pada polisi perkhidmatan khusus untuk penjual, dimana kadar penghantaran lewat atau Late Shipment Rate (LSR) perlulah dikekalkan dibawah kadar 5% bermula tarikh 3 Julai 2023 kelak.

Buat masa ini, Shopee menetapkan kadar LSR kepada 15%, dimana apabila melangkaui kadar berkenaan, penjual akan diberikan satu mata penalti. Sekiranya mata penalti capai tahap yang tinggi, maka penjual berkenaan akan dihadkan beberapa ciri-ciri selama 28 hari.

Dengan langkah ini, Shopee menyasarkan platform mereka menawarkan pengalaman dan piawaian lebih baik kepada para pembeli, sekaligus mengelak penghantaran yang lewat dilakukan oleh para penjual. Mungkin langkah ini juga diperlukan dalam memastikan Shopee kekal sebagai antara platform edagang yang dituju – apatah lagi dengan persaingan yang diterima dari pihak Lazada dan juga TikTok.

Pixel Watch 2 Akan Hadir Dengan Cip Snapdragon W5+ Gen 1 Dan Bateri Lebih Baik

$
0
0

Menurut laporan 9to5 Google, Google Pixel Watch 2 akan dilancarkan tahun ini serentak dengan siri Pixel 8. Maklumat yang diketahui setakat ini ialah Pixel Watch 2 akan berubah dari cip Exynos pada model sulung ke cip Snapdragon W5+ Gen 1 yang lebih berkuasa. Ini mungkin langkah yang bijak kerana antara isu dengan Pixel Watch asal ialah penggunaan cip yang sudah berusia.

Cip Snapdragon W5+ Gen 1 mempunyai CPU sekunder berkuasa rendah khusus untuk mengawal sistem Always on Display (AOD). Ini akan memastikan Pixel Watch 2 boleh beroperasi sehingga 24 jam walaupun degan AOD diaktifkan. Selain itu jam tangan pintar ini juga akan dilengkapi sensor FitBit Sense 2 yang boleh menjejak pelbagai data kesihatan pemakai dengan lebih tepat.

Tahun lalu Pixel Watch tidak begitu mendapat sambutan walaupun rekaannya cukup menarik. Dengan Google kembali menggandakan usaha menyokong Wear OS dengan bantuan Samsung, Pixel Watch 2 mungkin mempunyai harapan menjadi jam tangan pintar pilihan pengguna Android.


Apple Music Classical Kini Tersedia Untuk Pengguna Android

$
0
0

Apple sebelum ini telah memperkenalkan sebuah aplikasi khusus memfokuskan kepada lagu-lagu klasik. Pada awal pengenalan beberapa minggu lepas, ia hanya terhad kepada pengguna platform Apple sendiri, tetapi kini ia diperluaskan.

Bermula hari ini, aplikasi Apple Music Classical turut ditawarkan untuk para pengguna peranti Android. Seperti biasa, pengguna masih perlukan langganan Apple Music untuk menikmati lagu-lagu melalui aplikasi ini.

Terdapat lebih 5 juta lagu klasik melalui penawaran aplikasi Apple Music Classical ini, termasuk sokongan untuk menikmati lagu pada kualiti nirhilang, serta sokongan Dolby Atmos melaluinya untuk beberapa lagu terpilih secara terhad.

Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun aplikasi Apple Music Classical hari ini di Play Store, dan menikmatinya pada peranti Android anda.

WhatsApp Pada Multi Peranti Mula Diberikan Kepada Pengguna iPhone

$
0
0

WhatsApp memberikan ciri Companion Mode yang membolehkannya digunakan sehingga lima peranti serentak beberapa minggu yang lalu. Tetapi ciri ini terhad kepada pengguna Android sahaja. Hari ini menurut WABetaInfo, ciri ini mula diaktifkan kepada pengguna iPhone.

Namun begitu, ciri ini diberikan secara berperingkat kerana kami masih belum dalam mengakses sungguhpun WhatsApp telah dikemaskini ke versi paling terkini. Dengan Compaion Mode, WhatsApp boleh digunakan pada peranti Android dan iOS yang lain sama seperti mengkasesnya pada versi web.

Satu peranti masih perlu menjadi peranti induk dengan ia boleh memberikan kod QR yang perlu diimbas peranti lain bagi mengakses Companion Mode. Peranti ini juga satu-satunya yang boleh melakukan sandaran data dengan ciri ini tidak boleh diakses pada peranti lain.

Samsung Galaxy F54 5G Akan Dilancarkan Pada 6 Jun

$
0
0

Samsung Galaxy F54 5G akan dilancarkan pada 6 Jun ini. Ia sebuah lagi peranti kelas pertengahan daripada mereka yang dilengkapi cip Exynos 1380. Tarikh pengumuman pelancaran dilakukan Samsung menerusi laman rasmi mereka di India semalam.

Berdasarkan imej promosi yang telah dikongsi, Galaxy F54 mempunyai banyak persamaan dengan Galaxy A54 yang baru sahaja dilancarkan pada bulan Mac. Perbezaan antara kedua-dua model ialah Gaalxy F54 akan dilengkapi kamera sebesar 108MP yang lebih besar daripada 50MP pada Galaxy A54.

Galaxy F54 juga disahkan akan menyokong  Nightography, Astrolapse, Single Take, dan Fun Mode pada kameranya. Untuk maklumat lebih lanjut kita hanya perlu menanti sekitar seminggu sahaja lagi sebelum peranti dilancarkan.

NVIDIA Ialah Sebuah Lagi Syarikat Yang Mencapai Nilai Pasaran $1 Trilion

$
0
0

NVIDIA berjaya memasuki “Kelab Trilion” selepas nilai pasaran mereka mencecah nilai $1 trilion semalam. Ini meletakkan NVIDIA sebaris dengan Apple, Microsoft, Amazon dan Alphabet yang juga adalah syarikat teknologi yang berjaya mencapai nilai pasaran yang tinggi ini. Selepas bursa utama ditutup, nilai NVIDIA kini adalah sekitar $990 bilion.

Nilai saham NVIDIA meningkat semalam selepas syarikat meramalkan permintaan untuk cip kecerdasan buatan (AI) mereka akan meningkat di suku akan datang. Mereka baru sahaja mengumumkan NVIDIA DGX GH200 di Computex dengan ia adalah komputer pertama dengan memori GPU sebesar 144 Terabyte.

Cip NVIDIA H100 mereka adalah cip yang paling popular di pasaran sekarang untuk melatih pelbagai model AI dengan Microsoft merupakan antara pelanggan. NVIDIA kini bukan lagi dikenali sebagai syarikat yang mengeluarkan cip grafik untuk permainan video tetapi juga cip untuk superkomputer serta sistem swapandu kenderaan elektrik pintar.

Apple Reality Pro Akan Menggunakan Skrin Micro OLED Dengan 4000 PPI

$
0
0

WWDC akan berlangsung dalam masa beberapa hari sahaja lagi dan maklumat mengenai set kepala Apple Reality Pro mula tertiris secara perlahan-lahan. Hari ini penganalisa teknologi skrin Ross Young mendedahkan set kepala AR ini akan menggunakan skrin 1.41″ Micro OLED dengan kepadatan pixel 4000 PPI yang amat tinggi. Sebagai perbandingan skrin 4K 6.5″ pada Sony Xperia 1 V sekadar mempunyai kepadatan pixel 643 PPI sahaja.

Young turut berkata Apple menyasarkan skrin boleh mencecah keterangan 5000 nits yang juga amatlah tinggi. Kerana spesifikasi komponen yang canggih ini, harga jualan Reality Pro versi pertama dijangka mencecah $3000 sebuah. Apple melihat teknologi realiti terimbuh (AR) sebagai masa depan syarikat.

Kesemua percubaan untuk mempopularkan AR dan VR setakat ini menemui jalan buntu. Meta yang paling awal menawarkan dunia metamesta kepada orang ramai kini berhadapan dengan isu kurangnya sambutan daripada pengguna. Seperti Apple, Meta akan melancarkan set Meta Quest 3 dalam masa terdekat yang dilaporkan lebih ringan dan nipis.

Masih wujudkah permintaan untuk set kepala oleh orang ramai dalam pasaran yang kini mempunyai obsesi dengan kecerdasan buatan? Hanya masa akan menentukannya.

Viewing all 51640 articles
Browse latest View live