Minggu lepas Meta Orion diperlihatkan sebagai sebuah cermin mata realiti gabungan (MR) yang menggunakan iPhone untuk membekalkan kuasa memproses. Kini dalam laporan Bloomberg, Apple kini sedang mempertimbangkan hala tuju set kepala keluaran mereka yang berbeza dengan Vision Pro.
Hala tuju pertama ialah sama seperti Meta Orion dimana cermin mata pintar disambung kepada sebuah iPhone yang akan melakukan kesemua keperluan pemprosesan. Dengan ini cermin mata yang lebih ringan dan kecil dapat dibangunkan serta pada waktu yang sama mengurangkan kos untuk membelinya berbanding Vision Pro.

Strategi kedua ialah sekali lagi mengikut langkah Ray-Ban X Meta dimana cermin mata pintar hanya dilengkapi kamera dan mempunyai kemampuan memahami arahan suara yang diberikan pengguna. Terdapat juga strategi ketiga dimana kamera diletakkan pada sebuah AirPods dengan ia memahami keadaan sekeliling. Dengan bantuan AI, AirPods mampu menawarkan pengalaman sama strategi kedua tetapi tanpa sepasang cermin mata.

Strategi seterusnya ialah meneruskan pembangunan Vision Pro tetapi pengurangan kos dilakukan dengan skrin beresolusi lebih rendah, dan juga komponen lebih mampu milik. Akhir sekali ialah strategi mengharapkan teknologi berubah secukupnya untuk merealisasikan impian sepasang cermin mata AR dengan paparan terus pada cermin, serta bateri, kamera, kemampuan menjejak pergerakan dan pemproses dimasukkan ke dalam sebuah peranti yang masih kelihatan seperti cermin mata biasa.
Apple perlu mencari arah tuju yang terbaik dalam waktu terdekat kerana pada ketika ini Vision Pro tidak akan dapat mencapai sasaran mereka disebabkan kos yang tinggi serta kekangan teknologi.