Razer turut memperknalkan set fon kepala permainan baharu Kraken V4 Pro di acara RazerCon 2024. Antara yang menarik perhatian tentunya hab kawalan OLED dengan lebih 20 pilihan penyesuaian termasuk tetapan audio, maklum balas sistem haptik, hayat bateri dan lain-lain. Ia juga membolehkan sambungan serentak kepada tiga sumber audio dibuat melalui port USB-C dan bicu audio 3.5mm. Seterusnya memudahkan pengguna bertukar ganti diantara peranti seperti PC dan PlayStation dengan mudah.

Sokongan Razer Sensa HD Haptics terbina juga meningkatkan lagi fungsi fon kepala dengan sokongan maklum balas pelbagai arah yang tepat. Bermakna pengguna boleh merasai pengalaman permainan seolah-olah yang mereka gambarkan adalah nyata. Turut disokong ialah beberapa permainan popular seperti Final Fantasy 16, Stalker 2: Heart of Chornobyl dan Silent Hill 2 untuk pengalaman bermain lebih imersif yang biasanya sejajar dengan tema permainan itu sendiri.

Pad telinga 40mm disertakan menggunakan bahan kulit khusus bagi memastikan getaran dihantar dengan berkesan untuk pengalaman audio yang lebih baik. Selain itu mempunyai Audio Spatial THX yang membolehkan pengguna menikmati pengalaman audio maya daripada kesemua arah. Razer HyperClear Super Wideband Mic pula digunakan untuk pengalaman audio lebih jelas dan berkualiti khususnya digunakan untuk sesi permainan.

Kraken V4 Pro juga dikatalan boleh berfungsi dengan baik bersama Razer Freyja yang dilihat padanan cukup menarik. Harga juala rasmi adalah $399.99 (~RM1,646) tanpa butiran mengenai ketersediaan di Malaysia buat masa ini.