Quantcast
Channel: Amanz
Viewing all 51640 articles
Browse latest View live

Sekitar Reruai Acer Di COMPUTEX Taipei 2023

$
0
0

Pada minggu lepas, Acer telah memperkenalkan sejumlah siri produk baru yang akan diperlihatkan di acara COMPUTEX Taipei yang berlangsung pada minggu ini. Kini, kami telah diberi peluang untuk melawat sendiri reruai Acer di acara tersebut, dan ini ialah diantara produk-produk baru yang diperlihatkan mereka.

Acer Swift Edge 16

Acer Swift Edge 16 ialah komputer riba terbaru dalam siri komputer riba produktiviti nipis dan ringan Acer Swift, dan merupakan salah satu daripada sekumpulan kecil komputer riba tersebut yang dikuasakan sepenuhnya oleh komponen CPU dan GPU keluaran AMD.

Ia merumahkan sebuah paparan skrin OLED bersaiz 16 inci dengan resolusi 3.2K (3200 x 2000) dan kadar segar semula 120Hz. Ia juga boleh mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan menjanjikan olahan warna yang jitu.

Acer Swift Edge 16 ini dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan AMD Ryzen 7 7840 yang terbaru, bersama dengan gabungan cip grafik AMD Radeon 780M untuk gaming dan produktiviti kreatif.

Ia juga dimuatkan dengan pilihan memori DDR5 sehingga 32GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 2TB untuk storan hampir tanpa had. Dari segi pilihan palam, komputer riba ini hadir dengan dua palam USB 3.2 Type-A, dua palam USB4 Type-C, HDMI 2.1 dan juga pembaca kad SD. Ia juga hadir dengan sokongan untuk teknologi internet nirwayar WiFi 7 dan menyokong sambungan internet pantas sehingga 5.8Gbps.

Dengan berat 1.23kg sahaja, ia juga mengekalkan status siri komputer riba ini sebagai salah satu daripada komputer riba paling ringan di pasaran.

Predator Triton 16

Siri komputer riba gaming Predator Triton ialah pilihan yang paling sesuai sekali untuk mereka yang mahukan prestasi gaming kelas premium, tetapi mahukan kemasan minimalis dan juga padat. Dengan Predator Triton 16, Acer dilihat mahu menggabungkan kesemua elemen ini dengan penawaran paparan skrin bersaiz 16 inci juga.

Komputer riba gaming ini hadir dengan paparan skrin IPS berbingkai bersaiz 16 inci pada resolusi 2560×1600 dengan kadar segar semula 240Hz dan nilai kecerahan 500 nit. Ia juga mampu mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan menyokong teknologi paparan NVIDIA G-SYNC yang menjanjikan pengalaman gaming yang lancar dan tiada isu carikan skrin.

Dari segi komponen pula, Predator Triton 16 hadir dengan pilihan cip pemprosesan Intel generasi ke-13 sehingga pilihan Intel Core i9 yang boleh dilewahjam ke 5.4GHz, dengan memori DDR5 sebanyak 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 2TB dalam konfigurasi RAID-0.

Predator Triton 16 juga hadir dengan pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 4070 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan apa sahaja permainan moden pada resolusi 1440p pada kadar segar semula dan juga tetapan yang tinggi.

Jika anda memerlukan sebuah komputer riba dengan palam yang banyak, Predator Triton 16 ini juga tampil dengan pilihan seperti dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam Thunderbolt 4 yang boleh digunakan untuk mengecas bateri komputer riba ini, satu palam HDMI 2.1 yang menyokong output ke paparan skrin beresolusi 4K dan pembaca kad MicroSD. Ia juga mempunyai sokongan untuk sambungan internet nirwayar WiFi 6E yang pantas.

Didalam rangka bersaiz 19.9mm ini ialah sistem penyejukan Vortex Flow yang menggunakan kipas penyejukan Aeroblade 3D generasi ke-5 dan juga cecair logam yang membantu dalam mengalirkan haba daripada bahagian komponen ke sistem penyejukan dengan lebih cekap.

Acer Connect Vero W6m

Apabila bercakap mengenai Acer, produk seperti penghala WiFi jarang sekali diperkatakan, tetapi itulah jenis produk terbaru yang diperlihatkan di reruai mereka juga. Acer telah memperkenalkan Acer Connect Vero W6m, penghala WiFi 6E pertama mereka yang juga dilihat menggunakan jenama Vero yang menggunakan bahan kitar semula PCR (Post Consumer Recyclable) didalam rangkanya.

Ia menyokong teknologi WiFi 6E Tri-band AXE7800 yang menyokong tiga frekuensi nirwayar, termasuklah 2.4GHz, 5.0GHz dan 6.0GHz dan mempunyai kelajuan penghantaran data secara tempatan sepantas 7.8Gbps. Perkakasan ini dikuasakan oleh sebuah cip pemprosesan MediaTek A53 dengan dua teras pada kelajuan 2GHz, memori terbina 1GB dan storan 4GB terbina.

Lebih menarik lagi, anda juga boleh menyambungkan penghala WiFi ini dengan unit-unit lain untuk memanjangkan lagi radius kawasan sambungan WiFi dengan satu ataupun tiga unit tambahan, sehingga 930m².

30 peratus daripada rangka penghala Acer Connect Vero W6m ini juga menggunakan bahan PCR yang dikatakan sebelum ini, dimana berkasnya juga menggunakan 100 peratus bahan kitar semula.

Penutup

Di acara COMPUTEX Taipei 2023 ini ia dapat diperlihatkan bahawa Acer tidak memfokuskan kepada hanya satu jenis produk sahaja, tetapi dilihat akan menawarkan sesuatu untuk orang ramai, tidak kira ianya adalah sebuah komputer riba kelas produktiviti ataupun gaming, malah, ia boleh dikatakan bahawa produk-produk yang tidak dijangka juga diperlihatkan di reruai mereka.


Microsoft Memberikan Penyelesaian Untuk Kamera Surface Pro X Gagal Berfungsi

$
0
0

Kamera web pada Microsoft Surface Pro X yang berhenti berfungsi dilaporkan sesetengah pengguna pada 23 Mei lalu selepas peranti dikemaskini. Selepas rungutan yang diterima bertambah, Microsoft menawarkan kemas kini sementara untuk menyelesaikan isu ini.

Kemas kini sementara ini sekadar mengaktifkan semula kamera pada komputer tablet ini tetapi mengorbankan beberapa ciri dan juga kualiti imej yang turut direndahkan. Penyelesaian sebenar akan diberikan di suatu masa yang belum lagi ditentukan.

Penyelesaian sementara lain yang boleh diambil pemilik ialah mengembalikan Surface Pro X versi perisian sebelum kemas kini terkini. Menurut Microsoft isu disebabkan oleh perisian pemandu Qualcomm yang tidak serasi dengan versi terkini Windows.

6 Daripada 10 Telefon Pintar Mercu Premium Paling Laku Q1 2023 Adalah iPhone

$
0
0

Menurut Canalys, 6 daripada 10 telefon pintar mercu premium paling laku pada suku pertama 2023 adalah iPhone. Telefon pintar mercu premium adalah peranti yang dijual pada harga $500 (~RM2300) dan ke atas. Empat peranti teratas ialah iPhone 14 Pro Max, iPhone 14 Pro, iPhone 14 dan iPhone 13. Di tangga kelima ialah Samsung Galaxy S23 Ultra.

Ini diikuti pula oleh iPhone 14 Plus, Samsung Galaxy S23, iPhone 12, Samsung Galaxy S23 Plus dan Samsung Galaxy Z Flip4 yang melengkapi senarai 10 peranti mercu premium paling laku. Xiaomi 13 dan Huawei Mate 50 adalah dua peranti dalam senarai 15 paling laku yang tidak dikeluarkan oleh Samsung atau Apple.

Jelas dalam kategori ini Apple dan Samsung masih lagi dilihat sebagai jenama premium sebenar. Peranti keluaran China masih belum mampu menarik minat pengguna atau mungkin tidak mampu melarikan diri daripada imej sebagai peranti yang berkualiti. Yang pasti Xiaomi di landasan yang betul sejak bekerjasama dengan Leica. Adakah peranti milik ada ada dalam senarai 15 peranti mercu premium paling laku ini?

Realme Mengesahkan Kehadiran C53 Ke Pasaran Malaysia Pada 6 Jun

$
0
0

Realme dalam kenyataan rasmi hari ini mengesahkan kehadiran peranti baharu di bawah siri C pada 6 Jun akan datang. Dikenali sebagai Realme C53, ia diposisikan dalam segmen peranti kelas asas yang juga menampilkan ciri Mini Capsule terbina. Hal ini selari dengan perkongsian Realme yang mengesahkan bahawa kesemua produk siri C pada tahun ini akan menampilkan ciri tersebut.

Dari aspek rekaan, peranti mempunyai panel belakang berkilat dengan dua pilihan warna sama ada hitam atau emas. Ini dipadankan pula dengan sistem dwi-kamera di belakang dengan tubuh keseluruhannya berkotak dan rata. Namun persoalan mula timbul mengenai perkakasan dalaman peranti pula yang masih menjadi rahsia.

Samsung Dilaporkan Ingin Menghasilkan Cip XR Kendiri

$
0
0

Suatu ketika dahulu Samsung mempunyai beberapa produk set kepala realiti maya (VR) dan juga realiti terimbuh (AR) di bawah keluarga Odyssey. Tetapi usaha ini dihentikan beberapa tahun yang lalu kerana kurangnya sambutan dari pengguna. Tetapi awal tahun ini, Samsung mengesahkan mereka bekerjasama dengan Google dan Snapdragon untuk membangunkan set kepala realiti diperluas (XR).

Menurut laporan Korean Economic Daily, Samsung juga ingin menghasilkan cip XR kendiri dalam masa terdekat. Antara yang sedang diperhalusi ialah sama ada membangunkan sebuah cip XR baharu ataupun mengubahsuai cip Exynos sedia ada. Kesemua perancangan ini masih di peringkat awal menurut sumber dengan maklumat lebih terperinci tidak didedahkan.

Qualcomm adalah syarikat dengan pegangan pasaran cip XR terbesar pada waktu ini. Cip Snapdragon AR2 Gen 1 mereka misalnya digunakan pada peranti seperti Meta Quest 3 dengan kerjasama dengan Meta telah ditandatangani selama beberapa tahun. Perniagaan cip Samsung sedang mengalami kerugian kerana lambakan stok, kurangnya permintaan untuk cip Exynos dan situasi ekonomi dunia pasca pandemik.

Ulasan ASUS ROG Ally – Prestasi Bukan Segalanya

$
0
0

Pada 1 April yang lepas, ASUS telah mengacah peranti gaming terbaru mereka, ASUS ROG Ally ke internet. Ramai yang menjangkakannya sebagai sebuah jenaka April Fool’s, tetapi beberapa hari kemudian, mereka mengesahkan bahawa ia adalah sebuah peranti gaming yang mereka benar-benar sedang bangunkan.

Tidak lama kemudian, mereka mengumumkan kerjasama bersama AMD untuk membangunkan sebuah cip pemprosesan khusus AMD Ryzen Z1 untuk peranti tersebut yang membantu dalam memberikan peranti ini prestasi yang hebat dalam penggunaan kuasa yang rendah.

Baru-baru ini kami telah diberi peluang untuk mencuba sendiri peranti ASUS ROG Ally ini untuk sendiri, dan ini adalah pandangan awal saya mengenainya.

Spesifikasi

ASUS ROG Ally
Skrin7.0″ Full HD(1920×1080) IPS, 120Hz, Sesentuh
CPUAMD Ryzen Z1 Extreme
GPUAMD Radeon RDNA3
RAM16GB LPDDR5-5200 
Muatan Dalaman512GB PCIe Gen4 
Kamera UtamaTiada
I/O1x USB4
1x PCIe
1x pembaca kad microSD
Bateri40 Wh (4 Sel)
Pengecasan 65W
SIM/TelefoniTiada
WiFi802.11a/b/g/n/ac/6e
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanTiada
Harga Jualan$699 (AMD Ryzen Z1 Extreme

ASUS ROG Ally hadir dengan dua penawaran cip pemprosesan, iaitu AMD Ryzen Z1 dan juga AMD Ryzen Z1 Extreme. Dua perbezaan ketara yang diperlihatkan pada cip pemprosesan ini ialah cip AMD Ryzen Z1 hadir dengan gabungan cip pemprosesan 6 teras dan 12 bebenang kuasa dan cip grafik AMD RDNA 3 dengan 4 teras CU, manakala cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 Extreme hadir dengan 8 teras dan 16 bebenang kuasa dan cip grafik RDNA 3 dengan 12 teras CU.

Dari segi penawaran memori pula, kedua-dua model ini hadir dengan memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 512GB. Dari segi prestasi perkomputeran, tidak banyak perbezaan yang dapat diperlihatkan di antara kedua-dua model ini, tetapi dari segi prestasi grafik, model dengan cip AMD Ryzen Z1 Extreme dijangka hadir dengan kemampuan mengolah grafik yang lebih tinggi.

ASUS ROG Ally ini juga hadir dengan sistem penyejukan baru yang dinamakan Zero Gravity Thermal System yang terdiri daripada bongkah dan paip haba yang mengalirkan haba ke dua kipas penyejuk yang akan mengalirkannya ke bahagian atas peranti ini dan memastikan bahagian belakang peranti ini kekal sejuk walaupun dalam sesi permainan yang lama.

Rekaan

Walaupun peranti konsol dengan kemampuan PC gaming dilihat hanya menjadi popular dengan pengenalan peranti Steam Deck, ASUS mengatakan bahawa ASUS ROG Ally telah mula dibangunkan bermula dengan rekaannya sejak lima tahun dahulu.

Dari iterasi ke iterasi, ASUS mengatakan bahawa mereka telah mula membangunkan rekaan untuk peranti ini selama lima tahun untuk memastikan bahawa pengguna selesa memegangnya untuk jangka masa yang lama, dan juga supaya semua butang-butang pada peranti ini mudah diakses oleh pengguna.

ASUS ROG Ally dimuatkan dengan sebuah paparan IPS bersaiz 7 inci beresolusi Full HD dan kadar segar semula 120Hz, yang lebih tinggi berbanding dengan peranti konsol sama seperti Steam Deck dan juga AyaNeo 2. Paparan ini juga mempunyai fungsi sesentuh yang cukup berguna untuk mengakses peranti ini jika tidak mahu menggunakan alat kawalan.

Bercakap mengenai alat kawalan, peranti ROG Ally ini menggunakan susun atur pengawal Xbox termasuklah lokasi pengawal analognya, dan ini cukup berguna khususnya apabila anda sedar bahawa peranti ini menggunakan Windows 11 sebagai sistem operasinya.

Satu lagi kelebihan peranti ini hadir melalui kebolehan pengguna untuk mengakses bahagian dalam peranti ini, di mana komponen-komponen seperti storan SSD dan pengawal permainan boleh ditukar, dan sistem penyejukan ROG Ally ini juga boleh dinyahpasang untuk menukar bahan penyejukan yang lebih baru sekiranya diperlukan.

Dari segi penawaran palam, ROG Ally hadir dengan palam USB 4 Type-C untuk tujuan pengecasan yang disekalikan dengan palam PCIe yang dimanfaatkan bersama untuk disambungkan kepada aksesori kad grafik luaran ROG XG Mobile yang merumahkan kad grafik berkuasa seperti NVIDIA GeForce RTX 4080/4090 dan juga sejumlah palam-palam yang lain yang membolehkan anda menggunakan konsol ini sebagai sebuah komputer yang berkuasa.

Ia juga hadir dengan slot storan MicroSD yang membolehkan anda untuk mengembangkan storan dalaman sekiranya diperlukan dan palam audio 3.5mm yang boleh digunakan untuk disambungkan kepada fon telinga berwayar sekiranya diperlukan.

Kesemua palam-palam ini juga dimuatkan di bahagian atas peranti ini, supaya anda boleh memegangnya di atas permukaan meja tanpa perlu risau mengenai keperluan menggunakan mana-mana palam tersebut.

Rekaannya yang ringan pada 608g juga membolehkan peranti ini untuk bukan sahaja dibawa kemana-mana di dalam beg anda, tetapi juga cukup ringan untuk dimainkan dengan selesa tidak kira di mana anda berada, dan anda tidak perlu risau tentang rasa lenguh sewaktu sesi gaming yang panjang.

Sokongan Perisian

Seperti konsol seperti AyaNeo 2, GPD Win dan sebagainya, ASUS ROG Ally menggunakan sistem operasi Windows 11 dan ini membolehkan pengguna untuk memasang sejumlah besar platform gudang permainan seperti Steam, GoG, Epic Games Store, Ubisoft Connect dan sebagainya.

Untuk memudahkan lagi penggunaan peranti ini, ASUS juga menawarkan perisian Armory Crate SE. Armory Crate ialah perisian yang merumahkan pelbagai jenis kawalan untuk komponen dan aksesori ASUS sebelum ini, dan dengan Armory Crate SE, ia juga digunakan untuk mengakses permainan-permainan yang dipasang dengan cepat dan mudah, dan juga untuk mengakses pelbagai tetapan peranti ini.

Anda juga boleh menetapkan mod prestasi, mengubah tetapan butang kawalan, menambah dan membuang permainan-permainan yang anda mahu dalam senarai permainan, kawalan pencahayaan untuk peranti-peranti ini dan juga aksesori ASUS ROG yang menyokong teknologi pencahayaan Aura Sync yang disambungkan kepada konsol ini.

Fungsi Command Center pula membolehkan pengguna untuk mengaktifkan atau menyahaktifkan fungsi seperti mod prestasi, penggunaan pengawal permainan terbina, pemantauan prestasi peranti, pengehad FPS, pertukaran resolusi automatik dan juga Radeon Super Resolution.

Gabungan perisian-perisian ini memberikan ASUS ROG Ally ini satu kelebihan dari segi sokongan untuk permainan-permainan yang berbeza, tidak seperti Steam Deck yang hanya boleh menggerakkan permainan-permainan pada platformnya sahaja, ataupun permainan-permainan yang dimuat-turun bersama perisian pelagak (emulator) yang lain.

Penggunaan sistem operasi Windows 11 juga membolehkan ASUS ROG Ally ini digunakan sebagai sebuah komputer, dan ini bermaksud bahawa pelbagai aplikasi lain seperti Netflix dan sebagainya boleh dimuat-turun melalui Microsoft Store, dan boleh menjadikan peranti ini sebagai sebuah alat multimedia yang cukup baik sekali.

Sayang sekali peranti ini tidak mempunyai sebuah slot kad SIM terbina yang membolehkannya disambungkan ke internet tanpa WiFi, tetapi mungkin ia adalah sesuatu yang akan difikirkan oleh mereka untuk iterasi peranti yang akan datang.

Pengalaman Pengguna

Jika bercakap mengenai prestasi gaming semata-mata, saya boleh katakan bahawa ASUS ROG Ally tampil dengan kemampuan untuk menggerakkan permainan-permainan komputer pada resolusi 720p dan Full HD yang sangat baik sekali.

Tetapan yang dipilih juga dilihat memberi perbezaan dari segi kualiti olahan grafik dan juga kadar segar semula yang diperlihatkan, tetapi secara lazimnya untuk beberapa permainan yang kami uji, kami boleh menggerakkan beberapa permainan moden seperti Doom Eternal, dan Wolfenstein 2: The New Colossus, pada resolusi 720p dan tetapan pertengahan pada kadar segar semula 60FPS tanpa masalah.

Malah saya akan katakan bahawa kebanyakan permainan yang anda akan mainkan pada peranti ini akan digerakkan pada resolusi dan kadar segar semula tersebut, walaupun skrin paparan ini mampu menyokong kadar segar semula sehingga 120FPS. Ini bukanlah satu masalah yang besar, dan saya selalu katakan bahawa untuk gaming pada peranti dengan skrin bersaiz kecil ini, keperluan resolusi tinggi tidaklah begitu penting.

Saya akan katakan bahawa dalam semua permainan yang saya mainkan, seperti Doom, A Plague’s Tale, Honkai Star Rail dan sebagainya, saya jarang sekali mengalami isu seperti kadar bingkai yang tersekat ataupun isu lengah masa dalam permainan.

Malah, peranti ini juga tidak menghadapi isu panas, di bahagian pemegang dan pengawal permainan, di mana ia cukup bagus sekali untuk sesi gaming ringkas ataupun berjam-jam lamanya. Sistem penyejukan yang digunakan oleh ASUS untuk peranti ROG Ally ini cekap dalam mengalirkan haba dari komponen SoC ke lubang pengudaraan di bahagian atas peranti ini, dan digabungkan dengan jumlah penggunaan kuasa yang rendah SoC AMD Ryzen Z1 Extreme ini pada 30W sahaja, ia tidak mengejutkan bahawa peranti ini boleh dipegang untuk jangka masa lama tanpa masalah.

Lebih elok lagi, pengguna juga diberi akses mudah kepada bahagian dalam konsol ini, di mana pengguna boleh menaiktarafkan storan SSD terbina jika mereka mahu, dan juga menukar pengawal analog apabila diperlukan.

Malah, ROG Ally ini juga boleh digunakan sebagai komputer biasa sekiranya anda membeli sebuah dermaga yang menyokong sambungan HDMI, DisplayPort dan sebagainya, dan menyambungnya ke paparan skrin.

Jika anda mahukan prestasi yang jauh lebih hebat lagi, dan mempunyai wang untuk memilikinya, anda juga boleh menyambungkan peranti ini ke kad grafik XG Mobile, yang memberi anda akses kepada sebuah kad grafik kelas premium (NVIDIA GeForce RTX 3080/4080) yang boleh menjadikan peranti ini sebagai sebuah komputer desktop kelas berkuasa.

Walaupun begitu, sepanjang saya menggunakan konsol ROG Ally ini, isu saya dengan peranti secara lazimnya ialah berkenaan UI (antaramuka) dan juga UX (pengalaman penggunaan). Saya katakan ini kerana ROG Ally ialah sebuah peranti yang dikuasakan oleh sistem operasi Microsoft Windows 11.

Ini membolehkan ROG Ally untuk menggerakkan pelbagai jenis platform permainan tanpa masalah, tetapi ia juga tampil dengan isu-isunya sendiri. Pertama ialah rekaan antaramuka sistem operasi ini yang tiada perbezaannya dengan komputer desktop ataupun komputer riba. Isu di sini ialah ROG Ally mempunyai paparan sesentuh bersaiz 7.0 inci yang tidak mempunyai skala yang tepat untuk menggunakan antaramuka seperti ini.

Isunya bagi saya ialah mengakses menu sistem operasi ini, dan menatal pelbagai tetapan sistem operasi ini adalah lebih sukar dengan paparan skrin sekecil ini. Malah, apabila menggunakan papan kekunci digital untuk mengakses beberapa tetapan seperti untuk memasukkan kata laluan WiFi, mencari perisian dan sebagainya, ia agak sukar untuk memasukkan input pada peranti ini.

Microsoft telah mengatakan bahawa mereka akan membangunkan antaramuka Windows 11 untuk peranti konsol seperti ROG Ally ini, tetapi sehingga hari tersebut hadir, anda akan perlu hidup dengan antaramuka yang sedikit leceh ini.

Satu lagi isu UI/UX pada peranti ini hadir melalui perisian Armory Crate SE. Cara ASUS menggunakan perisian ini juga sebenarnya adalah cukup baik, kerana anda boleh mengakses permainan-permainan yang dipasang pada peranti ini dengan cepat dan mudah daripada home screen peranti ini. Tetapan peranti seperti kadar lewah jam, kadar segar semula skrin, tetapan butang dan kemas kini peranti ini juga semuanya dapat diakses dari Armory Crate dengan cepat dan mudah.

Cuma isunya untuk masa ini, khususnya apabila ROG Ally ini masih belum dijual di pasaran lagi ialah ia juga hadir dengan beberapa isu antaramuka dan pengalaman penggunaannya sendiri. Pertama ialah jika anda membuka lebih dari satu perisian gudang permainan seperti Steam dan Xbox Store, anda tidak dapat mengakses desktop peranti ini menggunakan butang pintasan yang terbina di dalamnya kerana ia hanya akan mengulangi tetingkap gudang-gudang digital ini dan Armory Crate SE sahaja, walaupun ia mampu melakukannya sebelum ini.

ASUS dilihat mengeluarkan sejumlah kemas kini untuk perisian tersebut, tetapi sewaktu saya menulis ulasan ini, perkara ini masih lagi salah satu isu terbesar untuk saya yang masih berlaku.

Perkara seterusnya mungkin bukan satu isu yang besar, tetapi dalam pengalaman saya bermain dengan ROG Ally ini juga, hanya satu perisian permainan boleh diaktifkan pada satu-satu masa, di mana peranti ini akan meminta anda untuk menutup permainan sebelumnya sebelum anda memainkan permainan baru.

Pada konsol-konsol moden seperti PlayStation 5 dan Xbox Series, anda boleh membiarkan permainan-permainan untuk “tidur” di latar belakang sewaktu memainkan permainan baru, tetapi sayangnya ia bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan pada peranti ini pada masa ini.

Audio

ASUS ROG Ally hadir dengan pembesar suara stereo terbina, dan menyokong teknologi Dolby Atmos yang menjanjikan pengalaman pendengaran yang cukup baik sekali. Pembesar suara terbina pada peranti ini cukup lantang sekali, tetapi tidak sehingga audionya pecah, menjadikan ROG Ally ini sebuah peranti multimedia yang baik bukan sahaja untuk tujuan gaming, tetapi untuk menonton dan mendengar kandungan juga.

Bateri

Konsol ASUS ROG Ally hadir dengan bateri sebesar 40Wh yang mana ASUS menjanjikan penggunaan selama 4 jam dengan satu pengecasan yang penuh. Jangkaan ini bukanlah tidak benar, tetapi hanya jika anda menggunakan peranti ini untuk tujuan seperti melayari laman web ataupun untuk menonton video melalui aplikasi Netflix.

Apabila digunakan untuk tujuan memainkan permainan-permainan kegemaran anda, peranti ini boleh hidup selama sejam ke dua jam bergantung kepada permainan yang dimainkan, dan apa yang menariknya ialah jika jangka hayat bateri adalah mencukupi, ia boleh menggerakkan permainan-permainan ini pada tetapan dan kadar segar semula yang tinggi.

Melalui promosi yang dilakukann oleh ASUS, ia dilihat bahawa ROG Ally ialah sebuah peranti yang sepatutnya digunakan bersama-sama dengan aksesori pengecas Power Delivery 65W mereka. Jika anda mempunyai power bank dengan sokongan teknologi pengecasan tersebut, secara teknikalnya anda juga boleh mendapatkan jangka hayat permainan yang cukup lama sekali tanpa sebarang masalah.

Cuma ya, dengan bateri yang terbina sahaja, anggaran jangka hayat peranti ini tidaklah selama apa yang diuar-uarkan oleh ASUS.

Dalam Kotak

Di dalam kotak ASUS ROG Ally yang dibekalkan kepada kami, ini adalah kandungan yang diperlihatkan buat masa ini. Kandungan ini berkemungkinan akan bertukar apabila peranti ini dijual secara rasmi kelak.

  • 1x ASUS ROG Ally
  • 1x pengecas Power Delivery 65W

Penutup

ASUS ROG Ally ialah konsol permainan PC hibrid yang ditunggu-tunggu orang ramai apabila ASUS mengesahkan kewujudannya secara rasmi pada awal bulan April. Dari segi binaan, prestasi dan juga sokongan perisian permainan, saya tidak teragak-agak untuk katakan bahawa ia ialah konsol permainan terbaik dalam segmen ini.

Cuma saya berharap bahawa ASUS akan memperbaiki antaramuka dan beberapa isu yang terkandung dalam Armory Crate SE untuk memperbaiki lagi mutu pengalaman pengguna mereka yang berminat untuk membeli konsol ini.

Jika ada satu kelebihan yang tidak dapat dinafikan ialah dengan kehadiran rasmi peranti ini di Malaysia, mereka yang membelinya akan mendapat sokongan daripada ASUS Malaysia dari segi waranti dan juga pembaikan peranti yang jauh lebih mudah dan baik.

Jika anda sanggup mengimport konsol ROG Ally ini apabila ia dilancarkan pada bulan Jun ini, saranan saya ialah untuk tunggu dahulu sehingga pihak ASUS memperbaiki isu berkaitan antaramuka, pengalaman pengguna dan juga bateri peranti ini.

Walaupun saya mengakhiri ulasan ini, saya pasti bahawa pihak ASUS masih lagi akan hadir dengan banyak lagi kemas kini perisian untuk memperbaiki mutu konsol ini sebelum ia tiba ke tangan para pelanggan yang saya jangka tidak sabar untuk menggunakan peranti ini.

Buat masa ini, ASUS Malaysia masih belum mengesahkan tanda harga peranti ini, tetapi kita tau bahawa model ini, yang dikuasakan oleh AMD Ryzen Z1 Extreme hadir dengan tanda harga $699 di Amerika Syarikat, yang mana ia masih lagi di bawah tanda harga RM4000 dan akan mula dijual di pasaran tempatan bermula bulan Julai ini, bergantung kepada bekalan stok global.

Pro

  • Prestasi mengagumkan
  • Rekaan dan binaan peranti yang padat dan mudah dibawa kemana-mana
  • Mudah digunakan
  • Menyokong lebih dari satu gudang permainan digital
  • Tidak panas
  • Kualiti audio yang merdu
  • Akses kepada komponen yang mudah

Kontra

  • Jangka hayat bateri tidak seperti yang dikatakan
  • Isu antaramuka dan pengalaman pengguna yang boleh diperbaiki lagi

Moto G Stylus 5G 2023 Kini Rasmi – Skrin LCD 120Hz Dan Cip Snapdragon 6 Gen 1

$
0
0

Moto G Stylus 5G 2023 dilancarkan secara rasmi sebagai sebuah peranti kelas pertengahan dengan 5G terbina. Melaluinya, peranti ini menggunakan cip Snapdragon 6 Gen 1 yang juga digabungkan dengan pilihan memori 6GB RAM dan storan dalaman 256GB.

Peranti juga mempunyai skrin yang besar bersaiz 6.6-inci LCD FHD+ sejenis rata denga kadar segar semula 120Hz. Ini dipadankan juga dengan kamera swafoto 16MP yang diletakkan dalam lubang kecil di bahagian tengah panel hadapan.

Seterusnya terdapat juga sokongan stylus terbina yang cukup terkenal untuk peranti di bawah siri ini. Turut disertakan adalah sistem dwi-kamera utama 50MP + 8MP (ultra-lebar) dan kapasiti bateri 5000mAh yang menyokong sistem pengecasan 20W.

Peranti ini dijual pada harga $399 (~RM1,841) dengan pilihan warna, sama ada Cosmic Black dan Rose Champagne.

Razer Hammerhead Pro HyperSpeed Kini Di Malaysia Pada Harga RM999

$
0
0

Razer Hammerhead adalah siri TWS gaming Razer yang memfokuskan kepada audio dengan dentuman bass dan sambungan sela masa rendah untuk pengalaman bermain permua yang penuh imersif. Sudah ada banyak variasi TWS ini dilancarkan termasuk dengan Hammerhead HyperSpeed edisi Xbox dan PlayStation 5.

Terbaru Razer telah melancarkan Razer Hammerhead Pro HyperSpeed pula. Ia adalah TWS mercu 2023 mereka dengan sokongan lampu RGB Razer Chroma, audio THX, tambatan pantas, sambungan sela masa HyperSpeed dan menyokong sambungan ke mana-mana peranti.

TWS ini menggunakan pemacu audio 10mm dengan kuasa 5mW. Turut tersedia adalah sokongan pembatalan hingar aktif hibrid sehingga 10 tahap yang dijayakan dengan teknologi mikrofon pembatalan hingar persekitaran.

Hammerhead Pro HyperSpeed turut menggunakan Bluetooth 5.3 untuk tambatan pantas, sambungan sela masa rendah dan turut menyokong penyesuai untuk digunakan bersama Xbox, PlayStation 5, Nintendo Switch tanpa membeli TWS edisi khas mereka.

Ketahanan bateri adalah mencapai 6.5 jam dengan pengecasan USB-C atau nirwayar. Kawalan dan tetapan semuanya boleh dilakukan dengan aplikasi Razer. Razer Hammerhead Pro HyperSpeed dijual di Malaysia pada harga RM999.


Carta Peranti Terbaik Amanz – Mei 2023

$
0
0

Bulan Mei sampai ke penghujungnya hari ini dan tiba masanya untuk cara peranti terbaik Amanz dikemaskini dengan beberapa ulasan yang telah diterbitkan. Pada bulan Mei 2023, hanya enam telefon pintar baharu diulas kerana ia bulan yang boleh dianggap sebagai tidak begitu popular untuk melancarkan peranti baharu. Secara keseluruhan 30 telefon pintar telah diulas setakat bulan ini.

Tiada perubahan pada kedudukan lima peranti di atas. Hanya Huawei P60 Pro yang diulas bulan ini berjaya memasuki kedudukan 10 peranti terbaik 2023 setakat ini. Seperti biasa gunakan carta ini sebagai petunjuk untuk pembelian peranti anda yang seterusnya. Jumpa anda di penghujung Jun pula.

KedudukanPerantiSkor UlasanHarga
1Samsung Galaxy S23 Ultra9.8RM5,699
2Xiaomi 13 Pro9.7RM5,699
3OnePlus 11 5G9.5RM3,299
4Honor Magic Vs9.3RM5,999
5Xiaomi 139.3RM3,499
6Honor Magic5 Pro9.1RM4,299
7Vivo X90 Pro9.0RM4,999
8Vivo X908.8RM3,699
9Huawei P60 Pro8.6RM4,699
10iQOO Z7X8.5RM999
11Oppo Find N2 Flip8.5RM3,999
12Redmi Note 12 Pro+8.5RM1,599
13ASUS ROG 7 Ultimate8.5RM4,999
14RedMagic 8 Pro8.3RM3,699
15iQOO Z78.2RM1,299
16Samsung Galaxy A548.2RM1,899
17Poco F5 Pro8.2RM2,099
18Tecno Phantom V Fold8.0RM5,399
19Poco X5 Pro7.8RM1,299
20Realme 10 Pro Coca Cola Edition7.8RM1,399
21Poco F57.8RM1,699
22Oppo A98 5G7.6RM1,399
23OnePlus Nord CE 3 Lite7.5RM1,099
24Oppo Reno8 T 5G7.3RM1,799
25Realme 10 4G7.3RM999
26Infinix Note 12 20237.0RM799
27Honor X9a6.5RM1,499
28Oppo A78 5G6.5RM1,099
29Redmi 12C6.2RM599
30Realme C556.0RM699

Monitor ASUS ROG Strix XG259QN Dilancarkan Dengan Kadar Segar Semula Sehingga 380Hz

$
0
0

Acara Computex 2023 turut memperlihatkan pengenalan untuk monitor baharu ASUS ROG Strix XG259QN. Ia merupakan sebuah monitor gaming dengan skrin LCD 24.5-inci yang juga menyokong kadar segar semula sehingga 380Hz secara lewah jam. Resolusi maksimum yang disokong pula ialah 1080P (FHD), selain turut melepasi piawaian VESA DisplayHDR 400 bertujuan penghasilan semula warna lebih bermaya.

Dalam pada itu, ia juga menyokong AMD FreeSync Premium Pro bagi mengelakkan isu grafik terkoyak sewaktu sesi permainan video. Pengalaman ini bertambah baik dengan gabungan teknologi ASUS Extreme Low Motion Blur Sync (ELMB SYNC) dan Variable Refresh Rate (VRR) yang juga bantu memastikan paparan visual cukup lancar dengan masa tindak balas serendah 0.01ms.

Turut disertakan ialah port DisplayPort 1.4, HDMI 2.0, port USB 3.2 dan bicu aurio 3.5mm yang cukup bagi memenuhi keperluan pelbagai sambungan peranti. Tiada harga jualan didedahkan sewaktu artikel ini ditulis.

Google Tamatkan Sokongan Chromecast Generasi Pertama

$
0
0

Google Chromecast adalah dongel HDMI yang mengubah televisyen dungu ke televisyen pintar. Cuma dengan Chromecast fungsi asas diberikan iaitu menyiarkan kandungan daripada telefon pintar pengguna ke skrin TV.

Chromecast pertama dilancarkan pada tahun 2013 dan turut dijual di Malaysia. Kini selepas 10 tahun akhirnya Google mengumumkan yang mereka akan menamatkan sokongan Chromecast generasi pertama. Ini bermakna tiada lagi kemas kini perisian akan diberikan dan tiada lagi khidmat bantuan untuk pelanggan.

Google menyatakan yang Chromecast ini masih boleh digunakan cuma ada potensi penurunan prestasi dari semasa ke semasa akan dialami. Teknologi Chromecast juga sekarang sudah sedia terbina pada banyak televisyen dan kotak TV maka dongel ini tidak lagi diperlukan kecuali jika anda masih menggunakan televisyen dungu.

Di Amanz kami menggunakan dongel seperti Chromecast with Google TV dan kotak TV Mecool KM7 Plus yang bukan sahaja dilengkapi dengan Chromecast tetapi sistem operasi yang baik.

Alternatif Twitter, Bluesky Kini Mempunyai Lebih 100,000 Pengguna

$
0
0

Bluesky adalah satu lagi pesaing Twitter yang telah tiba pada tahun ini. Menariknya platform media sosial ini dibangunkan oleh Jack Dorsey iaitu pengasas dan bekas CEO Twitter. Platform ini menawarkan pengalaman penggunaan seumpama Twitter seperti mengikuti akaun, menghantar perkongsian, membalas atau kongsi semula sesuatu.

Bluesky sehingga hari ini masih lagi dalam ujian beta tertutup. Mereka yang ingin menggunakannya juga memerlukan kod jemputan. Walaupun begitu baru-baru ini platform media sosial baharu ini telah mempunyai 101,579 pengguna ketika artikel ini ditulis. Selain itu Bluesky turut mempunyai lebih 3.2 juta perkongsian telah dilakukan oleh 58,032 pengguna.

Menjadikan platform ini lebih menarik untuk digunakan adalah Bluesky menggunakan protokol AT iaitu teknologi Bluesky tersendiri. Pengguna bebas memilih algoritma secara terbuka dan tidak tertakluk kepada sesuatu penyedia perkhidmatan tersebut sendiri dan mengubah hos tanpa kehilangan identiti atau kandungan.

Buat masa ini masih tidak pasti bila Bluesky akan dilancarkan kepada umum. Jika dilancarkan nanti adakah anda ingin mencubanya atau akan kekal sahaja dengan Twitter?

Grab JustSave Menawarkan Penjimatan Menerusi Perkongsian Kenderaan

$
0
0

Grab memperkenalkan perkhidmatan baharu dinamakan JustSave yang bukan sahaja membenarkan pengguna berkongsi kenderaan dengan penumpang lain yang menuju ke destinasi yang sama. Malahan membantu pemandu memperoleh pendapatan tambahan dengan menerima lebih banyak tempahan dalam satu masa serta perjalanan.

Pendekatan yang digunakan sedikit berbeza dengan Grabshare, di mana pengesahan tempahan hanya akan dibuat sekiranya permintaan berjaya dipadankan. Kemudian hanya seorang penumpang dibenarkan bagi setiap tempahan, dengan maksimum dua tempahan keseluruhannya bagi setiap perjalanan. Dalam pada itu, Grab juga akan mengunci laluan bagi mengelakkan perubahan yang boleh menjejaskan perjalanan.

Namun jika terdapat mana-mana penumpang yang membatalkan tempahan semasa pemandu dalam perjalanan, maka individu tersebut akan dikenakan bayaran pembatalan. Yuran tersebut akan diberikan sepenuhnya kepada pemandu sebagai pampasan untuk masa yang telah terbuang. Sementara itu, baki tempahan untuk penumpang lain pula tidak akan terjejas dan masih kekal seperti yang ditempah pada awalnya.

Kos tambang juga lebih rendah dengan penjimatan sehingga 20% berbanding 30% pada GrabShare. Buat masa ini, ia hanya boleh diakses di beberapa kawasan Lembah Klang seperti KLCC, Mid Valley Bangsar, Sentral Brickfields dan One Utama/First Avenue pada waktu puncak di antara jam 2 petang – 9.59 malam.

Jenama Dizo Di Bawah Realme Mungkin Telah Dimatikan

$
0
0

Semua pengeluar peranti sekarang ingin mempunyai ekosistem produk tersendiri. Samsung dengan SmartThings, Apple dengan HomeKit, Google dengan Google Home, dan Realme dengan Techlife.

Terbaru salah satu jenama di bawah realme Techlife iaitu Dizo dilaporkan telah mati. Baru-baru ini Abhilash Panda selaku CEO Dizo telah meletakkan jawatan dan selepas aplikasi Dizo dikemaskini pengguna tidak lagi boleh log masuk ke akaun masing-masing sehingga banyak produk tidak lagi boleh digunakan.

Bukan itu sahaja ramai pengguna turut melaporkan yang semua emel laporan dan bantuan khidmat pelanggan juga tidak lagi diterima. Malah sumber ada menyatakan yang ramai pekerja Dizo turut telah meletakkan jawatan.

Antara produk di bawah Dizo ini adalah aksesori audio, barangan AIoT, barangan penjagaan diri sendiri, peranti boleh-pakai dan pelbagai aksesori. Barangan Dizo yang turut dijual di Malaysia. Buat masa ini masih tiada sebarang informasi sama ada turut akan terkesan ataupun tidak.

Masalah ini berlaku dilihat sebulan selepas realme Techlife dijenamakan semula kepada Narzo. Ketika itu nasib produk Dizo masih belum diketahui selain menurut realme yang pengguna boleh mengikuti akaun Twitter realme India untuk kemas kini informasi barangan AIoT.

Jadi adakah ini bermakna Techlife menjadi Narzo dan Dizo menjadi Realme? Sama-sama kita nantikan maklumat rasmi nanti.

Nilai Twitter Sekarang Dianggar Hanya 33% Daripada Nilai Asal $44 Bilion

$
0
0

Elon Musk mengambil alih Twitter dengan bayaran $44 bilion pada Oktober tahun lalu. Selepas menjadi pemilik baharu, pelbagai perubahan drastik dilakukan seperti membuang 75% tenaga kerja dan merombak calit biru legasi. Ini semua mendatangkan impak kepada nilai syarikat yang Musk sendiri berkata kini hanya sekitar $20 bilion pasca pembelian.

Twitter

Kini firma pelaburan Fidelity mengatakan nilai syarikat kini adalah sekitar $15 bilion atau bersamaan hanya 33% nilai asal yang dibayar oleh Musk. Nilai Twitter terus jatuh kerana ketidakstabilan yang disebabkan oleh perubahan mendadak yang dilakukan. Antara usaha untuk memulihkan imej syarikat ialah pelantikan Linda Yaccarino sebagai CEO menggantikan beliau awal bulan ini.

Musk ingin mengubah Twitter menjadi sebuah aplikasi super dan bukan sekadar sebuah platform media sosial sama seperti WeChat. Ini adalah di bawah projek jangka panjang X.com beliau yang sudah dimulakan sebelum menubuhkan PayPal.


Spesifikasi Penuh Realme C53 Tersenarai Di Laman Web Malaysia

$
0
0

Realme C53 bakal dilancarkan di Malaysia pada 6 Jun nanti. Peranti kelas asas ini turut adalah alternatif kepada Realme C55 kerana menawarkan ciri Mini Capsule seumpama Dynamic Island pada iPhone 14 Pro. Baru-baru ini laman web Realme Malaysia telah mendedahkan sepenuhnya spesifikasi peranti ini.

Realme C53 hadir dengan skrin 6.74″ 90Hz dengan takuk kecil, dijana cip 12nm dengan kuasa mencapai 1.82GHz dan GPU ARM Mali-G57. Memori adalah 6GB RAM LPDDR4X dengan sokongan memori maya dan storan dalaman pula adalah 128GB.

C53 menggunakan konfigurasi kamera AI 50 Megapixel dan kamera swafoto 8 Megapixel. Realme turut menjanjikan ciri kamera premium seperti mod malam dan penuras istimewa. Bateri peranti adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan USB-C 33W.

Menariknya di laman web Realme peranti ini disenaraikan untuk menjalankan Realme UI T Version berasaskan Android 13. Masih tidak jelas versi apakah sistem operasi ini kerana tidak disenaraikan di mana forum atau laman web Realme.

Buat masa ini harga jualan masih belum diumumkan lagi. Tetapi di Shopee sudah ramai penjual menjual peranti ini pada harga diskaun iaitu sekitar bawah RM600. Sama-sama kita nantikan 6 Jun nanti untuk maklumat lanjut.

DOSM – Di Malaysia 96% Isi Rumah Mempunyai Akses Internet Dan 99.3% Mempunyai Telefon Bimbit

$
0
0

Secara keseluruhan kadar capaian internet dalam kalangan isi rumah pada tahun lalu (2022) menunjukkan peningkatan sebanyak 96% berbanding tahun sebelumnya. Data ini diperoleh menerusi laporan tinjauan Penggunaan dan Capaian ICT Oleh Individu & Isi Rumah 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ringkasan laporan itu mendapati terdapat peningkatan 97.4% penggunaan internet oleh individu di Malaysia pada tahun 2022, yang mana ia berlaku disebabkan wujudnya kemajuan capaian internet diantara pengguna dalam dan luar bandar dengan masing-masing menunjukkan peningkatan 98.3% dan 94.5%.

Tinjauan sama turut mendedahkan penggunaan internet dalam kalangan lelaki menunjukkan kadar yang lebih tinggi iaitu 98.8%, dibandingkan dengan wanita (95.9%). Selain itu, sebanyak 99.7% responden yang dikenal pasti sebagai pengguna internet tertinggi adalah dalam kumpulan umur 20 hingga 24 tahun. Manakala rakyat Malaysia berumur 60 dan ke atas pula merekodkan tahap peratusan terendah 85.5% berbanding lain-lain.

Perincian kajian mendapati penggunaan internet yang melibatkan rangkaian sosial menjadi antara aktiviti paling popular yang meningkat kepada 92.5% pada tahun tersebut. Kemudian diikuti pula dengan aktiviti lain seperti muat-turun kandungan (93.5%) carian maklumat mengenai barangan/perkhidmatan (92.5%), muat-turun perisian/aplikasi (89.1%) dan juga membuat panggilan telefon melalui Internet/ VoIP (85.2%).

Seterusnya peratusan keseluruhan capaian perkhidmatan dan peralatan ICT yang lain turut menunjukkan pola naik turun. Misalnya seperti capaian komputer dengan 88.3% direkodkan pada 2021 dan meningkat kepada 91.3% pada 2022. Ia diikuti pula dengan jumlah terkini capaian televisyen yang juga meningkat kepada 99.2% (2022).

Sementara itu jumlah terkini untuk capaian telefon talian tetap menunjukkan penurunan kepada 27.3%, kemudian diikuti juga dengan radio (99.1%), siaran TV berbayar (76.9%) dan telefon bimbit (99.3%).

Beberapa Mac Baharu Mungkin Dilancarkan Minggu Depan

$
0
0

Berita WWDC 2023 setakat ini didominasi oleh kemungkinan pelancaran Apple Reality Pro. Tetapi Mark Gurman yang kerap menawarkan maklumat awal mengenai produk Apple di Bloomberg kini mengatakan beberapa buah Mac baharu turut akan dilancarkan di acara yang sama.

Beliau tidak mengatakan berapa jumlah sebenar Mac yang akan dilancarkan. Tetapi sebelum kedengaran ura-ura MacBook Air 15″ dengan cip M2 sedang dibangunkan oleh Apple. Mac lain yang mungkin akan diperihatkan ialah Mac Pro dan juga iMac dengan cip M2. Bagi yang menantikan Mac baharu dengan cip M3, ia dijangka dilancarkan pada separuh kedua 2023 kelak.

Mac Pro adalah satu-satunya produk Apple yang masih belum bertukar ke cip Apple Silicon. Sebagai produk profesional, sebuah Mac pro dengan cip yang lebih berkuasa berbanding Intel Xeon amat dinantikan. Kesemua persoalan akan terjawab di WWDC pada 6 Jun hadapan.

ASUS Vivobook Go 15 (E1504F) Ditawarkan Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM2299

$
0
0

ASUS hari ini memperkenalkan Vivobook Go 15 ke pasaran tempatan untuk kegunaan kerja produktiviti harian. Dijual dengan harga jualan bermula RM2,299 (8GB) dan RM2,499 (16GB) sebuah, komputer riba ini boleh dibeli bermula sekarang menerusi pengedar sah ASUS di seluruh Malaysia.

ASUS Vivobook Go 15 menggunakan skrin sebesar 16.5-inci dengan pilihan panel sama ada IPS LCD atau TN yang juga menyokong resolusi FHD. Ini dipadankan pula dengan CPU AMD Ryzen 5 7520U dan GPU AMD Readeo 610M yang digunakan sebagai tunjang utama komputer riba.

Pilihan memori pula 8GB/16GB dengan gabungan storan dalaman sehingga 512GB M.2 NVMe PCie 3.0 SSD. Ia juga mempunyai kapasiti bateri 42Wh dan menyokong pengecasan 45W, dalam pada itu juga memuatkan kamera HD bersama pengatup khusus bagi tujuan privasi.

Sokongan pembesar suara terbina juga menyokong sistem audio ASUS SonicMaster dan DTS Audio Processing untuk pengalaman lebih baik. Selanjutnya pilihan I/O pula terdiri dengan 1 x USB 2.0 Type-A, 1 x USB 3.2 Gen 1 Type-C, 2 x USB 3.2 Gen 1 Type-A, 1 x HDMI 1.4, 1 x bicu audio 3.5mm dan 1 x DC-in.

Semua Penumpang SIA Boleh Menikmati WiFi Percuma Bermula Julai

$
0
0

Saya sudah agak berusia dan penerbangan rentas benua yang memakan masa puluhan jam bukan sahaja membosankan tetapi menyakitkan badan. Ada sistem hiburan dalam pesawat (IFE) yang ditawarkan tetapi kandungannya mungkin tidak menarik. Lebih baik kalau boleh melayari web tetapi caj WiFi dalam kabin pesawat membuatkan kami mengimbau memori buruk membayar internet mengikut jumlah MB digunakan ketika zaman dial-up.

Jika anda tidak lagi mahu kebosanan terperangkap dalam tin aluminium di udara, Singapore Airlines (SIA) akan menawarkan WiFi kepada semua penumpang tanpa mengira kelas bermula Julai ini. Ia walau bagaimanapun hanya ditawarkan kepada penumpang yang merupakan ahli KrisFlyer. Mereka hanya perlu mendaftar untuk menggunakan WiFi ketika melakukan pembelian tiket atau ketika proses pemeriksaan masuk.

Penumpang yang bukan ahli KrisFlyer boleh mendaftar dalam pesawat menggunakan WiFi pesawat menerusi peranti pintar mereka. Sebelum ini perkhidmatan WiFi percuma diberikan kepada penumpang kelas Suites, kelas pertama, dan kelas perniagaan sahaja. Sementara itu ahli KrisFlyer di kelas ekonomi premium dan ekonomi diberikan WiFi percuma sehingga tiga jam.

Perkhidmatan WiFi percuma boleh digunakan dalam semua pesawat SIA kecuali pada tujuh pesawat Boeing 737-800 NG.

Viewing all 51640 articles
Browse latest View live