Quantcast
Channel: Amanz
Viewing all 51640 articles
Browse latest View live

YouTube Akan Tamatkan Ciri Stories Pada Penghujung Jun 2023

$
0
0

YouTube kini memaklumkan yang mana mereka akan menamatkan ciri YouTube Stories pada 26 Jun 2023. Selepas tarikh berkenaan, tiada lagi perkongsian ke YouTube Stories akan ditawarkan, sementara kandungan yang telah dikongsikan pada YouTube Stories akan luput sekitar 7 hari selepas tarikh tersebut.

YouTube Stories
YouTube Stories

Sebelum ini, YouTube telah mulakan ujian untuk ciri ini sekitar tahun 2017 lepas, dan diperluaskan kepada semua dengan lebih 10,000 pelanggan pada tahun 2018. Ia membolehkan pengguna berkongsi video ringkas 30 saat, yang akan ditawarkan pada platform sehingga 7 hari sebelum ia luput dan hilang. Ciri ini diperkenalkan selari dengan pengenalan ciri lebih kurang sama pada pelbagai platform sosial lain.

YouTube mengatakan pengguna boleh menggunakan beberapa fungsi alternatif pada platform berkenaan dalam terus melakukan perkongsian, termasuk YouTube Communities, dan juga YouTube Shorts.


Neuralink Menerima Kebenaran Memulakan Ujian Implan Pada Otak Manusia

$
0
0

Neuralink akhirya menerima kebenaran daripada Agensi Makanan dan Dadah Kebangsaan (FDA) Amerika Syarikat untuk memulakan ujian klinik implan otak pada manusia. Syarikat milik Elon Musk ini mengumumkan implan otak yang menurut mereka membolehkan antaramuka antara otak manusia dan komputer secara terus.

Dengan wujudnya implan pada otak, insan lumpuh boleh berjalan semula dengan isyarat pada otak dihantar terus kepada kaki walaupun tanpa sambungan saraf tunjang. Ia turut dilihat membolehkan insan berinteraksi dengan komputer tanpa peranti fizikal dan hanya menggunakan gelombang otak.

Kebenaran untuk memulakan ujian klinikal manusia diberikan selepas ia dilaporkan telah ditangguh kerana beberapa isu yang muncul pada ujian pada primat dan haiwan makmal sebelum ini. Isu mengenai keselamatan bateri yang dipasang pada otak juga menyebabkan kelulusan tidak diberikan.

Teknologi implan otak tidak eksklusif kepada Neuralink. Firma Synchron sudah memulakan ujian pada manusia untuk implan Stendrode mengawal peranti tahun lalu. Implan otak École Polytechnique Fédérale de Lausanne (EPFL) dari Switzerland pula membolehkan beberapa insan lumpuh kembali berjalan juga tahun lalu.

Nreal Menukar Nama Kepada Xreal Dan Melancarkan Peranti Paparan Spatial

$
0
0

Apple akan melancarkan set kepala realiti terimbuh (AR) mereka beberapa minggu sahaja lagi. Tetapi dalam dua AR, Nreal ialah syarikat yang telah melancarkan produk mereka seperti Air sejak beberapa tahun yang lalu dengan ia boleh digunakan terus pada sebuah telefon pintar. Nreal kini menjenamakan semula diri mereka menjadi Xreal. Pada waktu yang sama dua produk baharu Xreal Beam yang memberikan kemampuan paparan spatial pada kaca mata AR.

Xreal Beam kelihatan seperti sebuah iPod dengan output USB-Cuntuk kaca mata Xreal Air. Dengan Beam, Air mempunyai kemampuan paparan spatial sebenar. Katakanlah Air digunakan untuk menonton video pada skrin maya sebesar 140-inci, pergerakan pemakai dikesan secara 6 DoF. Dengan ini apabila mereka bergerak ke hadapan, skrin maya gergasi tadi akan semakin hampir dan sebaliknya pula berlaku jika mereka bergerak ke belakang.

Menurut Xreal, Beam membolehkan paparan spatial turut disokong pada konsol seperti Nintendo Switch. Sokongan paparan spatial juga boleh dilakukan secara nirwayar. Setiap Beam boleh beroperasi selama empat jam sebelum perlu dicas. Harga jualan masih belum diumumkan.

Nothing Phone (2) Akan Dilancarkan Pada Bulan Julai

$
0
0

Nothing Phone (2) disahkan akan dilancarkan pada bulan Julai ini oleh Carl Pei dalam temubual bersama Forbes. Peranti yang amat dinantikan ini sudahpun disahkan akan menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1 dengan panel belakangnya sudah diacah beberapa minggu yang lalu.

Walaupun bukan sebuah peranti mercu sebenar, Phone (2) dinantikan kerana mempunyai rekaan yang inovatif dan unik jika dibandingkan dengan telefon pintar lain di pasaran. Phone (1) yang dilancarkan tahun lalu mendapat pujian walaupun sekadar sebuah telefon pintar dengan Snapdragon 778G. Pei turut mengatakan Phone (1) sudah terjual hampir 750,000 setakat ini.

Apabila disoal mengapa cip Snapdragon 8 Gen 2 tidak digunakan pada Phone (2), Pei mengatakan cip 8+ Gen 1 sudah terbukti kemampuannya dan pada waktu ini lebih murah sekaligus mengurangkan kos untuk mengeluarkan peranti yang menggunakannya.

Turut didedahkan ialah bateri 4700 mah akan digunakan yang merupakan peningkatan daripada 4599 mah pada Phone (1). Bilakah tarikh sebenar pada bulan Julai ini peranti akan dilancarkan? Jawapan akan diketahui dalam masa terdekat.

Xiaomi Civi 3 Dilancarkan Dengan Dwi-Kamera Swafoto 32MP OIS

$
0
0

Xiaomi Civi 3 dilancarkan di China semalam dengan ciri unik dwi-kamera swafoto dan juga dwi lampu flash di bahagian hadapan. Jelas sekali Civi 3 ialah peranti yang memberikan kepentingan kepada kemampuan swafoto dan swavideo.

Peranti hadir dengan skrin 6.55″ AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Ini dipadankan pula dengan cip Dimensity 8200 Ultra, memori sehingga 16GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 1TB UFS 3.1 dan bateri 4500 mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W.

Kamera hadapan terdiri daripada lensa sudut 32MP sudut lebar dengan OIS dan 32MP ultra sudut lebar. Di belakang pula lensa sudut lebar 64MP dengan OIS dipadankan dengan lensa ultra sudut lebar 8MP dan makro 2MP. Peranti boleh melakukan rakaman video sehingga 4K.

Ciri lain yang menarik ialah skrin Civi 3 mempunyai keterangan puncak 1500 nits. Panel belakang peranti turut mempunyai rekaan dwi-tona yang agak cantik. Sistem operasinya pula ialah MIUI 14 berasaskan Android 13. Harga jualan Xiaomi Civi 3 bermula daripada RMB 2499 (~RM1637) sebuah. Peranti ini tidak akan ke pasaran Malaysia tetapi seperti yang pernah dilihat sebelum ini akan dijenamakan semula sebelum ke pasaran global.

Twitter Sedang Membangunkan Ciri Memuat Turun Video

$
0
0

Berkongsi video ke media sosial adalah suatu kelaziman. Kerap kali video yang tular di platform A ingin dikongsi ke laman B secara natif. Di Twitter misalnya wujud bot yang menolong pengguna memuat turun video. Dalam masa terdekat, pengguna bot ini tidak lagi akan diperlukan kerana ciri muat turun video sedang dibangunkan oleh Twitter.

Andrea Conway yang merupakan seorang perek di Twitter berkongsi tangkapan layar antaramuka baharu pemain video untuk lama media sosial ini. Terdapat pilihan untuk memuat turun video, menukar kelajuan, dan mengaktifkan sari kata. Tidak diketahui sama ada ciri ini akan diberikan kepada semua atau eksklusif kepada pelanggan Blue sahaja.

Dengan Twitter membenarkan video sehingga 2 jam dimuat naik oleh pelanggan Blue, sudah timbul isu cetak rompak dimana filem Super Mario Brothers dan John Wick 4 dimuat naik sepenuhnya secara haram. Jika ciri muat turun video ini diberikan kelak, mungkin Twitter boleh menjadi platform video cetak rompak.

Fujifilm X-S20 Kini Boleh Dipratempah Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM6888

$
0
0

Fujifilm kini menawarkan kamera nircermin kompak baharu menerusi X-S20 dengan fokus terhadap mereka yang tidak biasa dengan kawalan manual, namun mahukan hasil rakaman berkualiti tinggi. Ia juga sesuai digunakan untuk merakam vlog menerusi mod khusus diberikan, selain mempunyai sistem autofokus pengesanan berasaskan AI bagi tujuan memberi fokus yang stabil untuk rakaman gambar serta video pegun.

Fujifilm X-S20 menggunakan sensor 26.1 Megapixel XTrans CMOS 4 yang digabungkan dengan cip pemprosesan imej X-Processor 5. Video pula boleh dirakama sehingga 6.2K/30p 4:2:2 10-bit, pada masa sama pilihan rakaman 4K/60P dan 1080/240P juga disertakan. Di samping itu, pengguna juga dikatakan boleh merakam output video RAW sebagai Apple ProRes RAW 12-bit pada resolusi sehingga 6.2K/29.97FPS.

Kamera ini juga boleh disambungkan ke komputer riba menggunakan kabel USB-C untuk digunakan sebagai kamera web. Tiada sebarang perisian atau aplikasi tambahan diperlukan untuk tujuan berkenaan. Lebih menariknya apabila tetapan penggambaran boleh diselaraskan dan mod Film Simulation tersedia sewaktu digunakan untuk penstriman langsung. Bicu audio 3.5mm dam mikrofon terbina juga boleh ditemui sebagai pelengkap kepada kamera ini.

Fujifilm X-S20 sudah boleh dipratempah di Malaysia dengan harga bermula RM6,888 untuk tubuh sahaja. Ia kemudiannya meningkat kepada RM7,388 bersama kanta 15-45mm Kit dan RM8,888 pula berserta kanta 18-55mm Kit. Anda yang berminat boleh membuat pratempahan bermula sekarang dengan hadiah sehingga RM3,285 diberi secara percuma.

Google Menambah Jumlah Paparan Iklan Di Play Store Hari Ini

$
0
0

Selepas berlangsung acara Google I/O 2023 tahun ini dalam fikiran saya terus berfikir “yeah syukur, senang kerja”. Pada masa yang sama saya turut resah dan gelisah. Mana tidaknya Google berikan kita sebagai pengguna percuma mengakses ciri-ciri hebat sesebuah sistem kecerdasan buatan

Perkara yang saya takutkan itu juga semakin menghampiri apabila tiba masanya hari ini pengguna bertuah peranti Android akan menerima hadiah bermula hari ini.

Google ada mengumumkan kemaskini kepada Play Store melalui sesi video khas. Video ini menjelaskan yang Play Store akan menerima tambahan kandungan iklan.

Apa yang menjengkelkan di sini adalah rekaan ini Google hasilkan agar sukar dibezakan. Jika anda sedari “Suggested for you” kini memaparkan saiz ikon aplikasi yang lebih besar dan kini ada sehingga 4 iklan berbanding satu berbanding sebelum ini.

Dengan kemaskini secara tidak langsung pengguna akan melihat perubahan kepada Play Store dan lebih sukar mencari aplikasi yang kini sohor kini.


Magic Compose Boleh Diuji Hari Ini Untuk Guna AI Balas Mesej

$
0
0

Jika anda terlampau sibuk bekerja dan perlukan fokus perkara pertama anda boleh lakukan adalah sekarang. Tetapi kalau anda juga kerja seperti saya iaitu memerlukan Internet dan telefon sepanjang masa. Jika anda pengguna RCS lagilah ciri Magic Compose untuk digunakan bersama Google Message boleh diuji bermula hari ini.

Pertama sekali anda perlukan peranti Android yang boleh menjalankan semua perkhidmatan digital Google, RCS aktif dan melanggan kepada Google One.

Google turut menyatakan yang untuk menggunakan Magic Compose kad SIM Amerika Syrikat diperlukan dan kemudian akhir sekali hidupkan Magic Compose.

Google turut memberitahu yang data-data permesejan pengguna tidak akan digunakan untuk melatih sistem kecerdasan buatan di sebalik Google Messages. Kemudian hanya 20 mesej serentak setiap masa sahaja Google boleh tampung. Magic Compose juga disulitkan secara menyeluruh.

Dengan ciri baharu ini sebaik sahaja RCS diterima tidak kira dalam bentuk fail atau pautan anda boleh gunakan Google Messages untuk tolong balas mesej tadi. Tetapi kalau setakat ingin balas “malas”, “tak”, “lum” lupakan niat untuk menggunakannya. Tetapi jika ada mesej penting dan anda perlu hantar secepat mungkin anda kini perlukan kata kunci penting sahaja seperti “balas mesej, draf emel, terima produk untuk tujuan ulasan. draf haruslah pendek”.

Kaedah maklum balas yang Google Messages boleh jawab juga nampak menarik. Ia seakan Artifact yang boleh memberi ringkasan artikel panjang dalam nada berbeza. Aplikasi ini boleh membalas mesej dalam nada Remix, Excited, Chill, Shakespeare, Lyrical, Formal, dan Short.

Spesikasi OnePlus 12 Tertiris – Kamera 64MP Baharu?

$
0
0

Sudah lama orang tidak datang ke saya dan tanya adakah jenama OnePlus masih elok atau relevan? Malah saya pula yang tanya mereka adakah pernah cuba dan lihat OnePlus 11? Peranti ini adalah model terbaik pernah OnePlus hasilkan sejak OnePlus 7.

Kali ini jika anda dengar nama OnePlus, cari model mercu yang terkini kerana itulah peranti harian anda. Terbaru spesifikasi OnePlus 12 puls tertiris.

Peranti ini dikatakan sepatutnya dilancarkan pada Disember 2023 dengan tahun 2022 fokus sepenuhnya kepada OnePlus 11. OnePlus 12 dikhabarkan akan hadir dengan skrin yang mungkin menggunakan teknologi sama iaitu 6.7″ QHD OLED 120Hz.

Peranti akan dijana cip Snapdragon Gen 3, kamera 50 sudut-lebar + 50MP ultra sudut-lebar + 64MP sensor utama periskop baharu. Bateri pula 5000mAh dan dikatakan akan mengekalkan pengecasan pantas 100W. Kini tinggal untuk tahu apakah ciri perisian, fotografi yang akan menjadikan OnePlus juara sekali lagi?

Cara Menggunakan Quick Share & Samsung Wallet Di Samsung Galaxy A54

$
0
0

Samsung Galaxy A54 5G merupakan peranti kelas pertengahan yang mampu memberikan anda pengalaman yang memuaskan ketika menggunakannya. Dengan harga yang berpatutan dan sesuai dengan prestasinya, peranti ini menawarkan pelbagai keistimewaan seperti jaminan keselamatan selama 5 tahun, 4 kali kemaskini Android OS dan 2 tahun jaminan percuma. 

Seperti siri Galaxy yang lain, Samsung Galaxy A54 5G menawarkan aplikasi Quick Share sebagai medium untuk penghantaran gambar dan Samsung Wallet untuk melakukan pembayaran secara nirtunai dengan mudah dan pantas. Sekiranya anda masih belum pernah menggunakan aplikasi-aplikasi ini, mari ketahui lebih lanjut tentang apa yang boleh anda lakukan dengan Samsung Galaxy A54 5G anda mulai hari ini.

Ingin berkongsi gambar dengan pantas? Gunakan Quick Share

Jika sebut tentang gambar, perkara yang wajib terlintas dalam minda pastilah tentang kualiti gambar yang baik dan storan yang mencukupi. Namun, adakah anda pernah terfikir tentang cara bagaimana untuk berkongsi gambar tanpa menganggu kualiti asli dan yang paling penting, mampu untuk berkongsi gambar yang diambil dengan pantas kepada maksimum lapan penerima dalam satu-satu masa?

Buat yang gemar mengambil gambar bersama-sama rakan, anda tidak perlu lagi risau tentang itu. Kini anda dapat berkongsi kesemua gambar sekaligus  melalui aplikasi Quick Share di peranti Samsung anda. Dengan menggunakan fungsi pemindahan fail secara nirwayar seperti Quick Share ini, anda akan dapat berkongsi gambar dan fail pada bila-bila masa sahaja tanpa menganggu kualiti gambar yang asli.

Ia tidak berhenti di situ sahaja, selain berkongsi gambar, anda juga boleh berkongsi fail penting seperti fail berkaitan kerja terus ke peranti Samsung Galaxy yang lain seperti tablet  mereka. Anda juga tidak perlu bimbang tentang privasi gambar atau fail yang telah dikongsikan kerana anda boleh memilih untuk memadamkan  fail  secara automatik menerusi tetapan. Kini, proses berkongsi fail dan gambar berjalan lancar tanpa sebarang masalah bersama Samsung Galaxy A54 5G.

Cara berkongsi gambar atau dokumen menggunakan Quick Share

Pertama sekali, anda perlu memilih terlebih dahulu gambar atau fail yang ingin dikongsikan dan kemudian tekan pada ikon ‘kongsi’. Seterusnya, tunggu beberapa saat untuk mengesan nama peranti Samsung rakan anda yang berdekatan dan tekan nama mereka. Setelah itu, anda boleh terus kongsikan gambar bersama rakan terdekat tanpa sebarang gangguan dan kualiti gambar juga kekal terjamin dalam resolusi asal. Bagi penerima pula, anda perlu tekan butang ‘terima’ dan gambar akan terus masuk ke dalam folder Quick Share yang telah disediakan di dalam galeri anda.

Lebih mudah membayar, tanpa rasa gundah dengan Samsung Wallet

Bagi anda yang masih belum tahu, Samsung Wallet merupakan sistem pembayaran melalui telefon pintar dimana ia membenarkan anda untuk membuat pembayaran dengan hanya menyentuhkan telefon pintar di terminal pembayaran tanpa mengeluarkan kad fizikal anda. 

Apa relevannya Samsung Wallet jika dibandingkan dengan pembayaran menggunakan kad biasa? Samsung Wallet lebih mudah digunakan kerana anda tidak perlu mengeluarkan kad dari dompet anda dan paling penting pembayaran boleh dilakukan dengan lebih pantas. Membawa kad kemana-mana sahaja mungkin mudah bagi sesetengah orang namun ia berpotensi untuk terdedah kepada risiko kehilangan. Anda juga perlu mengeluarkan kad dari dompet dan nombor kad anda akan terdedah kepada umum.  Berbeza dengan Samsung Wallet, data penting anda akan dilindungi dengan baik oleh Samsung Knox sebagai lapisan keselamatan terbina. 

Selain itu, pembayaran menggunakan kad agak renyah kerana anda perlu mencari dan mengeluarkannya daripada dompet. Berbanding dengan Samsung Wallet, anda cuma perlu leret skrin ke atas dan ia juga menjimatkan masa anda kerana anda hanya memerlukan peranti untuk membuat pembayaran. Untuk menggunakan aplikasi ini, anda boleh menambatkan kad bank kedalam Samsung Wallet dan anda boleh memulakan pembayaran selepas melengkapkan semua maklumat yang diperlukan oleh sistem tersebut.

Apa yang lebih menarik lagi adalah selain dari menyimpan kad fizikal anda didalam Samsung Wallet, anda juga boleh menambah kad keahlian, pas kesihatan dan pas penerbangan. Ia juga diintegrasikan dengan Samsung Pass yang boleh menyimpan segala kata kunci anda di dalamnya. Untuk pas kesihatan, anda boleh menyimpan sijil vaksinasi dari MySejahtera terus ke dalam Samsung Wallet. Dengan hanya menggunakan peranti Samsung Galaxy A54 5G anda, semuanya berganda kali lebih mudah dengan Samsung Wallet.

Cara menggunakan Samsung Wallet

Buat anda yang pertama kali ingin mencuba menggunakan Samsung Wallet. Berikut merupakan cara untuk menetapkan Samsung Wallet anda di Samsung Galaxy A54 5G atau di peranti Samsung Galaxy yang lain.

Pertama sekali, anda perlu membuka aplikasi Samsung Wallet di peranti anda dan pilih untuk log masuk sekiranya anda sudah mempunyai akaun. Sekiranya belum, anda boleh memilih untuk mendaftar akaun baru dengan memasukkan maklumat yang diperlukan oleh aplikasi untuk sesi pendaftaran. Seterusnya, anda akan diminta untuk menetapkan sendiri kaedah pengesahan mengikut kesesuaian anda. Antara kaedah pengesahan yang boleh digunakan adalah menggunakan cap jari atau nombor PIN. Akhir sekali, anda boleh mengakhiri proses dengan menambahkan kad kredit atau debit anda menggunakan NFC atau isi secara manual ke dalam Samsung Wallet dan ia sedia digunakan untuk membuat pembayaran.


Kesimpulannya, kedua-dua aplikasi ini bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian kita malah ia juga membantu dari segi menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti pengguna. Kini anda tidak perlu lagi menggunakan aplikasi berasingan hanya untuk menghantar gambar atau fail penting kepada rakan terdekat. Ia juga menjamin keselamatan fail-fail yang dihantar kepada pihak lain. Seiring dengan zaman yang mempratikkan bayaran nirtunai, kini anda tidak perlu lagi ke mesin ATM untuk mengeluarkan wang tunai demi membuat pembayaran di kaunter. 

Buat anda yang berminat, anda boleh mendapatkan Samsung Galaxy A54 5G dengan harga RM1,899 melalui pengedar yang sah mereka di seluruh Malaysia. Jika anda sudah memilikinya, pastikan anda optimasikan sepenuhnya Samsung Galaxy A54 5G anda hari ini melalui penggunaan Quick Share dan Samsung Wallet untuk pengalaman penggunaan yang lebih memuaskan.

Penafian: Advertorial dari Samsung Malaysia

Hackathon ImpactHack 2023 Tawar Hadiah Keseluruhan Lebih RM100,000

$
0
0

Selepas kejayaan beberapa hackaton sebelum ini, JomHack akan meneruskan lagi usaha untuk membangunkan ekosistem syarikat pemula (startup) negara. Pada kali ini Hackathon ImpactHack 2023 dilancarkan bertujuan melipat gandakan usaha pendigitalan perniagaan, sekaligus membuka ruang lebih positif dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Ia dibuka kepada mana-mana individu sama ada bekerja atau belajar menerusi anjuran bersama Standard Chartared, MDEC, MyStartup, Cradle dan Microsoft. Pemohonan yang dibuat perlu terdiri dengan 3-5 orang ahli sepasukan termasuk sekurang-kurangnya seorang pengekod. Menariknya lagi apabila saingan acara ini menawarkan hadiah keseluruhan cukup lumayan melebihi RM100,000 termasuk anugerah khas untuk penyertaan terbaik.

Mana-mana peserta terpilih akan dibimbing dengan teliri bermula dari peringkat idea, seterusnya dilatih oleh mentor yang pakar bagi mengetengahkan projek menarik untuk menatik pelabur. Projek tersebut perlu diselesaikan secara berterusan dalam masa dua hari yang bakal berlangsung bermula pada 16 hingga 18 Jun 2023 secara maya.

Hanya sepuluh pasukan terbaik yang akan disenarai pendek bagi membentangkan proejk dalam acara penutup yang diadakan secara fizikal pada 24 Jun 2023 di Kuala Lumpur. Anda yang berminat boleh membuat pendaftaran bermula sekarang tanpa sebarang yuran diperlukan. Maklumat lanjut, sila layari JomHack Malaysia.

Acer Swift Edge 16 Dikuasakan Cip Pemprosesan AMD Terbaru

$
0
0

Acara COMPUTEX Taipei akan berlangsung pada minggu hadapan, dan Acer dijangka akan memperlihatkan sejumlah produk-produk baru di acara tersebut. Produk seperti Predator Orion X dan Acer Swift X 16 sudahpun diperlihatkan sebelum ini, dan butiran lanjut mengenai produk-produk ini akan diketahui di acara tersebut.

Satu lagi produk baru yang akan diperlihatkan ialah Acer Swift Edge 16, komputer riba Acer Swift pertama yang dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 7040 yang terbaru. Ia merumahkan sebuah paparan skrin OLED bersaiz 16 inci dengan resolusi 3.2K (3200 x 2000) dan kadar segar semula 120Hz. Ia juga boleh mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan menjanjikan olahan warna yang jitu.

Dari segi komponen dalaman, Acer Swift Edge 16 ini dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan AMD Ryzen 7040 yang terbaru, bersama dengan gabungan cip grafik AMD Radeon 780M untuk gaming dan produktiviti kreatif.

Ia juga dimuatkan dengan pilihan memori DDR5 sehingga 32GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 2TB untuk storan hampir tanpa had.

Dari segi pilihan palam, komputer riba ini hadir dengan dua palam USB 3.2 Type-A, dua palam USB4 Type-C, HDMI 2.1 dan juga pembaca kad SD. Ia juga hadir dengan sokongan untuk teknologi internet nirwayar WiFi 7 dan menyokong sambungan internet pantas sehingga 5.8Gbps.

Dengan berat hanya 1.23kg juga, ia juga mengekalkan status siri komputer riba ini sebagai salah satu daripada komputer riba paling ringan di pasaran.

Acer mengatakan bahawa komputer riba ini akan ditawarkan sekitar suku ketiga tahun ini pada harga permulaan $1299.99.

Jenama Jam Pintar Baharu Ini Terus Menendang Huawei Dari Pegangan Pasaran

$
0
0

Jenama pengeluar gajet di India terlampau dahsyat sehinggakan jenama Realme, Xiaomi dan jenama China lain yang identiti mereka dikenali kerana harga jualan yang kompetitif. Dengan di negara sana yang memiliki banyak jenama tempatan seperti penawaran peranti di China.

Sehinggakan jenama produk yang jumlah penggunanya kecil pun boleh tewas dengan kutipan jenama baru ini berjaya lakukan. Selama ini ada tiga sahaja jenama pengeluar jam tangan pintar yang besar iaitu Apple, Samsung dan Huawei.

Huawei Watch Buds

Percaya atau tidak dalam penyelidikan Counterpoint Research kali ini nama Huawei telah tercampak keluar oleh jenama Fire-Boltt. Jenama ini telah merampas Samsung di tempat kedua pasaran jam tangan pintar India dan menendang keluar Huawei terus dari carta.

1.5% adalah nilai tinggi untuk Fire-Boltt yang hanya dikenali di India. Ini adalah kerana pasaran peranti boleh-pakai meningkat ke 121%. Ini adalah kerana Fire-Boltt yang berjaya memikat hati rakyat India dengan menawarkan pelbagai variasi jam dari yang asas sehinggalah yang berkuasa.

Apabila sudah ada ramai orang mula menggunakan sejenis jam pintar pasti akan ada orang lain juga ada rasa ingin memilikinya. Jumlah jualan Fire-Boltt yang dahsyat ini terus menjadikan Samsung di tempat kedua, buang mereka dari carta ketiga, mereka terus rampas tempat kedua dengan Apple kekal menjadi juara.

Ini juga bermakna sudah semakin ramai sudah boleh menerima penggunaan jam tangan pintar asas seperti Xiaomi Band atau Realme Band untuk membiasakan diri dengan terus beralih ke jam seperti Samsung Galaxy Watch atau Apple Watch.

MRANTI Global Accelerator Programme (GAP) 2023 Turut Memfokuskan Sektor Industri Dron

$
0
0

MRANTI akan memperkasakan lagi ekosistem dan komuniti start-up di Malaysia menerusi Global Accelerator Programme (GAP) untuk tahun 2023. Antara tiga industri berpotensi tinggi yang menjadi fokus pada tahun ini termasuklah perubatan dan penjagaan kesihatan, pertanian serta teknologi dron dengan harapan bantu memajukan dan meningkatkan hasil dalam sektor berkenaan.

Program pada tahun ini juga menyasarkan sebanyak 20 syarikat akan sedia didaftarkan, seterusnya akan dilatih oleh penasihat, mentor serta pakar teknikal berpengalaman untuk membantu meningkatkan perniagaan mereka ke peringkat seterusnya. Menariknya lagi apabila MRANTI turut menyertakan ahli korporat dan organisasi ESG sebagai rakan kongsi untuk kali ini bagi tujuan menggabungkan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Sebanyak tiga modul yang disesuaikan dengan industri tertentu disediakan dan kesemuanya telah direka dengan teliti untuk dijadikan bahan pembelajaran yang lebih berkesan. Anda yang berminat boleh membuat pendaftaran sekarang dan program akan berlangsung selama tiga bulan bermula bulan Ogos hingga November akan datang.


Huawei Band 8 Bakal Tersedia Di Malaysia Dengan Harga Jualan RM219

$
0
0

Media sosial rasmi Huawei hari ini mengacah kehadiran peranti boleh-pakai baharu menerusi Band 8. Ia menjadi kesinambungan untuk Band 7 sebelum ini dengan perubahan kecil pada rekaan yang kini rata.

Anda yang berminat boleh mendapatkannya dengan harga RM219 seutas dengan pilihan warna Sakura Pink, Emerald Green dan Midnight Black. Harga promosi lebih rendah turut ditawarkan pada RM159 untuk pembelian yang dibuat di antara tarikh 6 hingga 8 Jun 2023.

Huawei Band 8 didatangkan dengan kerangka sebesar 1.47-inci AMOLED yang juga menyokong kepadatan piksel 282 PPI. Ia juga mempunyai sehingga 1000 pilihan muka tangan yang boleh dimuat-turun, dalam masa sama turut menyokong muka jam tersesuai berdasaekan pakaian semasa pengguna.

Selanjutnya penarafan kalis air 5ATM disertakan sebagai pelindungan tambahan. Di samping turut menyokong lebih banyak mod sukan sehingga 100 pilihan berbanding 96 jenis pada generasi Bateri diberikan pula boleh digunakan sehingga 14 hari.

HP Memperkenalkan Perkhidmatan Langganan Katrij

$
0
0

HP adalah Apple dalam dunia pencetakan. Ini kerana pada pencetak mereka, jika selepas satu katrij habis digunakan anda besar kemungkinan perlu beli semula katrij penuh berisi atau beli yang baharu. HP tidak menyokong katrij yang telah diubahsuai.

Sesetengah orang lebih-lebih lagi pelajar akan nampak ini adalah kekurangan pada satu pencetak. Kenapa perlu beli pencetak HP kalau boleh beli Canon yang lagi jimat? Terbaru HP memperkenalkan HP+.

HP+ adalah perkhidmatan langganan dakwat secara bulanan dengan katrij diberikan percuma pada 6 bulan pertama beli. Mereka dengan jelas menyatakan kepada pelanggan yang mereka tidak menghabiskan wang setiap membeli katrij. Pertama pelanggan ada masa 6 hari untuk menuntut pelan langganan ini.

Video Promosi Moto Razr Baharu Tertiris Mendedahkan Rekaan Sepenuhnya

$
0
0

Peranti boleh-lipat clamshell daripada motorola menjadi antara peranti yang sering dinanti-nantikan dalam kalangan pengguna. Sebanyak dua variasi model dipercayai bakal diumumkan pada tahun ini dan salah satu daripadanya telah ditemui tertiris menerusi video promosi tular.

Skrin sekunder lebih besar dan luas digunakan pada tahun ini yang dijangka saiznya boleh melebihi 3.26-inci pada Oppo N2 Flip. Dengan skrin yang besar ini sudah semestinya boleh digunakan untuk menyemak pelbagai perkara sama ada pemberitahuan, waktu, cuaca, menavigasi peta, main balik muzik dan lain-lain. Sebagai tambahannya lagi ia juga boleh digunakan sebagai skrin kedua bagi tujuan rakaman gambar dan video.

Ini dipadankan pula dengan sistem dwi-kamera utama yang masih dikekalkan pada posisi yang sama seperti model sebelum ini. Turut disertakan ialah LED Flash yang boleh menjadi pelengkap pada panel berkenaan. Skrin dalaman pula menunjukkan gabungan bezel agak nipis bersama lubang kecil kamera yang disertakan bersama.

Sokongan panel sejenis OLED dan kadar segar semula yang tinggi juga besar kemungkinan dikekalkan pada peranti ini memandangkan iklan video jelas menunjukkan hal berkenaan. Tidak ketinggalan port sambungan USB-C turut boleh dilihat pada peranti yang sudah semestinya digunakan bagi tujuan pengecasan atau pemindahan data.

Peranti ini akan dilancarkan secara rasmi pada 1 Jun hadapan dan penawaran lebih lanjut sudah semesti akan didedahkan melaluinya.

Ulasan Lenovo Yoga 7i Gen 8 – Seperti Gimnas Ianya Tangkas

$
0
0

Komputer riba 2-dalam-1 membolehkan ia digunakan sebagai tablet. Secara lazimnya terdapat beberapa kompromi dilakukan seperti rekaan lebih tebal, kurangnya ciri tambahan dan tidak mempunyai kuasa yang mencukupi. Lenovo Yoga 7i 14″ Gen 8 yang kami ulas hari ini melawan arus kerana bukan sahaja ia sebuah komputer riba 2-dalam-1 yang berkuasa tetapi masih hadir dengan pelbagai ciri yang kini semakin pupus pada komputer riba kerja biasa.

Lenovo Yoga 7i 14″ Gen 8
Skrin14″ WUXGA (1920×1200) OLED, 400nits, 60Hz, DisplayHDR True Black 500, Dolby Vision, Sesentuh
CPUIntel Core i7-1360P
GPUIntel Iris Xe
RAM16GB LPDDR5-5200 
Muatan Dalamansehingga 1TB M.2 2242 PCIe Gen4 
Kamera Utama1080p + IR ThinkShutter
I/O1x USB-A 3.2 Gen 1
2x Thunderbolt 4 USB-C
1x HDMI 1.4b
1x Pembaca kad MicroSD
Bateri71 Wh (4 Sel)
Pengecasan 65W
SIM/TelefoniTiada
WiFi802.11a/b/g/n/ac/6e
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanImbasan wajah Windows Hello
Harga JualanBermula RM4599 (Intel Core-i5)

SKRIN

Skrin besar 14″ OLED menyokong resolusi WUXGA dengan kadar segar semula sehingga 60Hz serta menyokong sentuhan. Panel OLED yang digunakan adalah terang serta menawarkan sudut pandangan yang sangat baik. Ini amat penting bagi sebuah peranti Yoga yang dengan skrin yang boleh diputarkan sehingga 360 darjah untuk menikmati mod tablet. Terdapat sokongan Dolby Vision untuk kandungan HDR daripada platform seperti YouTube, Prime Video dan Netflix.

Resolusi 1920 x 1200 pixel bukanlah yang tertinggi tetapi untuk skrin hanya sebesar 14″ kami rasakan ia adalah mencukupi. Nisbah 16:10 juga memastikan ia amat sesuai untuk digunakan pada perisian seperti Photoshop dan untuk kerja seperti Microsoft Words. Harus kami akui sejak kebelakangan ini skrin 16:19 lebih kami gemari kerana memberikan ruang menegak yang lebih berbanding 16:9 yang lebih mesra untuk kandungan multimedia.

Sentuhan dikesan dengan baik kerana skrin boleh menjejak sehingga 10 jari. Isu yang ada hanyalah skrin ini mudah kotor dan perlu kerap dibersihkan kerana memerangkap minyak pada jari dengan cukup mudah.

Sebuah Lenovo Digital Pen disertakan dengan setiap pembelian membolehkan lakaran terus pada skrin dilakukan menerusi stylus ini. Stylus adalah dari jenis yang memerlukan bateri. Kami tidak begitu berbakat menghasilkan karya digital, tetapi selepas menguji stylus ini pada skrin ia beroperasi dengan lancar. Garisan dikesan dengan lancar serta terdapat sokongan mengesan sehingga 4096 tahap tekanan.

REKABENTUK

Sebagai sebuah komputer riba Yoga, ia boleh digunakan dalam empat mod iaitu komputer riba, tablet, “Tent” dan “Stand”. Dalam mod komputer riba biasa tiada isu untuk menggunakannya di atas meja ataupun di atas riba. Skrin dengan mudah diubah untuk mendapatkan sudut pandangan yang terbaik untuk penggunanya.

Engsel skrin cukup teguh untuk memastikan ia tidak bergoyang-goyang ketika menaip. Sebagai manusia yang menaip degan “kasar” skrin Yoga 7i tidak bergoyang dengan amplitud yang tidak menyenangkan. Ini adalah isu yang normal bagi sebuah komputer 2-dalam-1 dan bukannya hanya pada Yoga 7i. Dengan teknik menaip yang lebih berhemah, isu skrin bergoyang ini boleh dielakkan.

Tubuh Yoga 7i adalah nipis bagi sebuah komputer riba 2-dalam-1. Sungguhpun begitu tubuhnya masih terasa kukuh serta melepasi piawaian tahan lasak MIL-STD 810H. Ini bermakna ia tahan hentakan sekiranya terjatuh.

Tubuh nipis bukan alasan Lenovo untuk tidak menyertakan pelbagai I/O yang penting. Pada sisi kiri terdapat HDMI 1.4 bersaiz penuh, 2x Thunderbolt 4 USB-C dan bicu audio 3.5mm. Kemudiannya pada sisi kanan pula terdapat 1x USB-A 3.2 Gen 1, pembaca kad mikro SD dan butang kuasa. Cukup lengkap untuk mereka yang benci membawa penyesuai. Kesemua port ini ditawarkan dengan tubuh yang hanya 5mm lebih tebal berbanding sebuah MacBook Air M2.

Tiada pengimbas cap jari fizikal diberikan. Sebaliknya ia bergantung sepenuhnya kepada pengimbas wajah Windows Hello menerusi kamera web 1080p dengan infra merah. Kami lebih sukakan pengimbas cap jari kerana lebih pantas. Dalam ujian selama dua minggu sistem imbasan wajah ini tidak konsisten dan agak perlahan.

Bercakap mengenai kamera, ia mempunyai penghalang kamera fizikal secara terbina. Sebuah titik merah boleh dilihat dengan jelas pada kamera web supaya pengguna menyedari lensa kamera telah dihalang.

Lubang udara untuk penyejukan diletakkan di bahagian belakang dan bawah. Saiz lubang udara yang menghembuskan udara panas di belakang adalah agak besar. Kedudukannya memastikan udara panas tidak diarahkan ke wajah ataupun tangan pengguna.

Terdapat sepasang speaker 2W di bahagian atas menghimpit papan kekunci. Speaker ini turut menyokong audio Dolby Atmos bagai memberikan kombinasi yang serasi dengan skrin yang menyokong Dolby Vision. Kesemua ini dimasukkan ke dalam kerangka yang kompak sehingga boleh dimasukkan ke dalam semua beg galas, dan beg komputer riba bersaiz biasa. Membawanya juga tidak membebankan kerana hanya seberat sekitar 1.5 kilogram.

PAPAN KEKUNCI

Papan kekunci adalah dari jenis Smiley yang lazim ditemukan pada produk keluaran Lenovo. Ianya selesa digunakan tetapi dari jenis membran yang membuatkan ia terasa sedikit lembut apabila ditekan dengan jari. Bukannya dosa besar memandangkan kekunci membran adalah standard pada komputer riba lain di pasaran.

Sangat selesa menggunakannya untuk menaip kerana kekunci sangat ergonomik. Setanding dengan pengalaman kami menggunakan sebuah MacBook Air. Sebagai penulis keselesaan ketika menaip amat penting kerana ribuan patah perkataan perlu dikarang setiap hari bekerja. Sistem lampu yang diberikan pula adalah berwarna putih dengan ia boleh dimatikan jika diperlukan. Lampu juga boleh ditukar keterangannya ke dua tahap dengan menekan butang Fn+Space Bar secara serentak.

Tempat meletakkan telapak tangan juga cukup besar menawarkan platform yang memuaskan untuk menaip sama ada di atas meja atau di atas riba. Papan kekunci ini akan secara automatik dinyahaktifkan apabila Yoga 7i dilipat ke mod tablet. Jadi tidak akan timbul isu kekunci tersalah tekan apabila Yoga 7i diletakkan di atas meja dalam mod tablet.

Kekunci akan terdedah dan bukan dari jenis Lift ‘n Lock yang pernah kami gunakan pada ThinkPad X1 Yoga. Mungkin untuk menjimatkan kos tetapi jika sistem Lift ‘n Lock digunakan kerosakan pada kekunci boleh dielakkan dengan lebih baik.

Kerana papan kekunci dinyahaktifkan sepenuhnya dalam mod tablet, pemilik tidak boleh menggunakannya sungguhpun dengan sebuah monitor luaran dipasang. Alangkah baiknya jika ciri menggunakan papan kekunci sahaja ini diberikan sebagai pilihan oleh Lenovo pada iterasi Yoga yang seterusnya.

PAD SESENTUH

Pad sesentuh bersaiz standard untuk sebuah komputer riba Windows 11. Ia agak lembut tetapi mengesan pergerakan jari, sentuhan dan klik dengan baik. Gestur-gestur utama Windows 11 disokong sepenuhnya dengan ia menggunakan Windows Precision Driver. Harus kami katakan bagi sebuah komputer riba Windows kejituan pad sesentuh Yoga 7i adalah memuaskan tetapi tidak sebaik MacBook yang kami gunakan sebagai komputer riba kerja harian. Kami masih menantikan saat dan masanya sebuah komputer riba Windows mampu menawarkan pengalaman yang setanding.

PRESTASI Dan PENGGUNAAN

Model yang diulas dilengkapi CPU Intel Core i7-1360P ditawarkan dengan ia dipadankan dengan memori sehingga 16GB LPDDR5-5200  dan storan sehingga 1TB M.2 2242 PCIe Gen4. Terdapat pilihan CPU Intel Core™ i5-1340P bagi yang mungkin mencari sistem yang lebih mampu milik. Kami tidak boleh membuka panel belakang untuk melihat komponen dalaman tetapi difahamkan RAM dipateri terus pada papan induk. Maka pilihan RAM semasa membeli adalah penting. Untuk SSD terdapat slot untuk M.2 tetapi dari jenis 2242 yang lebih pendek saiznya.

Storan yang digunakan mencapai kelajuan membaca 4.495 GBps dan menulis pula sehingga 4.36 GBps. Kelajuan yang memuaskan walaupun bukan yang paling pantas pernah kami temukan dalam makmal Amanz. Namun begitu ia lebih pantas berbanding storan MacBook M2 yang mencapai kelajuan sekitar 3 GBps sahaja untuk membaca dan menulis.

Dalam ujian PCMark 10, Night Raid Fire Strike dan Time Spy, markah yang dicatatkan adalah setanding dengan purata komputer riba pejabat dalam kelas yang sama. Sepanjang tempoh ulasan tiada isu kami hadapan. Dengan jumlah RAM yang besar dan storan yang pantas, pelbagai perisian dapat dilancarkan dengan pantas. Tiada isu tersekat-sekat atau kekurangan memori semasa menggunakan perisian seperti Adobe Photoshop. Sebagai komputer kerja harian kami rasakan Yoga 7i beroperasi cemerlang.

Komputer hanya menjadi panas apabila memproses video menggunakan Adobe Premiere. Ia tidaklah memanas sehingga membakar paha tetapi ia masih boleh menyebabkan sedikit ketidakselesaan kepada kami. Kami masih menanti saat dan ketika sebuah komputer riba Windows dengan cip Intel menawarkan pengalaman penggunaan tanpa pemanasan seperti MacBook dengan Apple Silicon. Ini sahaja rungutan kami kerana umum diketahui pemanasan menyebabkan prestasi berkurangan dan hayat bateri seperti disedut kuntilanak.

AUDIO

Pembesar suara stereo 2W menembak ke ke atas dengan sistem audio Dolby Atmos. Kelantangan speaker adalah amat memuaskan kerana audio dihalakan terus ke telinga pemilik ketika digunakan dalam mod komputer riba. Apabila dalam mod Tent dan tablet audio di lontar ke belakang membuatkan mod Atmos sedikit tidak berguna. Secara keseluruhan audio lantang, jelas, mempunyai dimensi dan sedap digunakan untuk menonton filem.

Bateri

Bateri 71 Wh diiklankan boleh bertahan sehingga 12.5 jam pada model dengan skrin OLED ini. Realitinya dengan penggunaan harian selama lima hari purata bateri adalah hampir 11 jam. Hayat bateri yang mencukupi untuk tugasan seharian di pejabat. Maka kami boleh katakan hayat bateri Yoga 7i adalah memuaskan. Pengecasan semula adalah menerusi port UBS-C dengan pengecas 65W. Dengan pengecasan selama 15 minit komputer boleh beroperasi sehingga 3 jam. Tempoh pengecasan semula bateri mengambil masa sekitar dua jam.

KESIMPULAN

Lenvo Yoga 7i Gen 8 ialah komputer riba kerjaya yang tangkas dan pantas kerana spesifikasi yang ditawarkan pada model yang diulas cukup berkuasa untuk pelbagai tugasan harian di pejabat. Jika anda sekadar memerlukan mesin untuk menghasilkan kertas kerja dan menyunting video pendek Yoga 7i Gen 8 boleh melakukannya dengan cemerlang.

Tidak berakhir di situ, ia adalah komputer yang sangat fleksibel kerana boleh digunakan dalam pelbagai mod bergantung kepada keperluan. Pilihan I/O juga sangat mewah untuk sebuah komputer riba yang bersaiz kompak.

Di Malaysia harga jualan Lenovo Yoga 7i Gen 8 bermula daripada RM4,599 sebuah dengan Intel Core-i5. Model yang kami ulas dijual pada harga RM4,953 yang kami rasakan berbaloi untuk pelbagai ciri yang ditawarkan. Lenovo Yoga 7i Gen 8 adalah seperti seorang gimnas yang tangkas kerana segala tugasan boleh disiapkan dengan pantas.

PRO dan Kelebihan
  • Prestasi yang amat memuaskan komputer riba kerja.
  • Boleh digunakan dalam pelbagai mod.
  • Pilihan I/O yang amat memuaskan.
  • Papan kekunci yang sedap untuk menaip.
  • Skrin dengan Dolby Vision.
  • Audio Dolby Atmos.
KONTRA dan Kekurangan
  • Pad sesentuh agak lembik.
  • Hayat bateri sederhana.
  • RAM dipaterikan terus pada papan induk.
  • Imbasan Windows Hello tidak konsisten.

Predator Triton 16 Menawarkan Pengalaman Gaming Premium Dalam Rekaan Nipis dan Menawan

$
0
0

Diantara produk yang akan diperkenalkan oleh Acer sewaktu acara COMPUTEX Taipei yang akan berlangsung pada minggu hadapan ialah salah sebuah komputer riba gaming kelas premium mereka, iaitu Predator Triton 16.

Komputer riba gaming ini hadir dengan paparan skrin IPS berbingkai bersaiz 16 inci pada resolusi 2560×1600 dengan kadar segar semula 240Hz dan nilai kecerahan 500 nit. Ia juga mampu mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan menyokong teknologi paparan NVIDIA G-SYNC yang menjanjikan pengalaman gaming yang lancar dan tiada isu carikan skrin.

Dari segi komponen pula, Predator Triton 16 hadir dengan pilihan cip pemprosesan Intel generasi ke-13 sehingga pilihan Intel Core i9 yang boleh dilewahjam ke 5.4GHz, dengan memori DDR5 sebanyak 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 2TB dalam konfigurasi RAID-0.

Predator Triton 16 juga hadir dengan pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 4070 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan apa sahaja permainan moden pada resolusi 1440p pada kadar segar semula dan juga tetapan yang tinggi.

Jika anda memerlukan sebuah komputer riba dengan palam yang banyak, Predator Triton 16 ini juga tampil dengan pilihan seperti dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam Thunderbolt 4 yang boleh digunakan untuk mengecas bateri komputer riba ini, satu palam HDMI 2.1 yang menyokong output ke paparan skrin beresolusi 4K dan pembaca kad MicroSD. Ia juga mempunyai sokongan untuk sambungan internet nirwayar WiFi 6E yang pantas.

Didalam rangka bersaiz 19.9mm ini ialah sistem penyejukan Vortex Flow yang menggunakan kipas penyejukan Aeroblade 3D generasi ke-5 dan juga cecair logam yang membantu dalam mengalirkan haba daripada bahagian komponen ke sistem penyejukan dengan lebih cekap.

Predator Triton 16 akan diperlihatkan terlebih dahulu di acara COMPUTEX Taipei pada minggu hadapan, dan akan dilancarkan di pasaran-pasaran terpilih pada bulan September kelak pada tanda harga permulaan $1799.99.

Viewing all 51640 articles
Browse latest View live