Setelah beberapa info berkenaan dengan Google Play Games tertiris ke arena web sebelum ini, hari ini pada Google I/O, pihak Google memperkenalkan perkhidmatan tersebut secara rasmi, sekaligus memudahkan para pembangun menambah fungsi achievement dan beberapa yang lain pada permainan mereka.
Antara fungsi yang menarik melalui Play Games ini adalah termasuk kebolehan untuk menyimpan tahap permainan melalui Cloud Saves, serta kebolehan untuk melihat kedudukan berbanding rakan-rakan yang lain.
Menurut Google, ia bukan hanya terhad kepada Android, tetapi turut sama menyokong platform iOS dan juga web. Beberapa permainan telah pun diterbitkan bermula hari ini yang mana membawakan sokongan untuk Google Play Games.