Motorola memiliki pelbagai rangkaian telefon pinta yang termasuk ThinkPhone yang direka khusus untuk perniagaan. Terbaharu ThinkPhone 25 telah dilancarkan dengan kemasan yang menyerupai ThinkPhone asal melalui panel belakang gentian aramid ringan yang lebih kuat daripada keluli. Selain itu mempunyai kaca Corning Gorilla Glass 7i dan kalis air IP68 untuk ketahanan jangka masa panjang.

Skrin sejenis pOLED digunakan dengan saiz 6.36-inci dan kadar segar semula 120Hz. Cip Mediatek Dimensity 7300 digunakan untuk tunjang utama dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Kamera utama terdiri dengan 50MP yang menggunakan sensor Sony LYTIA 700C dengan OIS. Diikuti dengan telefoto 10MP dan ultralebar 13MP. Bateri pula sebesar 4310mAh yang menyokong pengecasan berwayar 68W dan nirwayar 15W.

Motorola melengkapkan telefon ini dengan perisian berorientasikan perniagaan, termasuk ThinkShield Motorola, Smart Connect dan Moto AI dengan pengesanan perisian hasad dan pancingan data. Di samping menjalankan Android 14 dengan kemaskini sehingga lima tahun lebih lama berbanding sebelum ini.