Apabila berbincang mengenai samada seseorang patut membeli sebuah komputer desktop ataupun komputer riba, isu berkenaan prestasi pastinya akan dinaikkan kerana pada dasarnya, walaupun sebuah komputer riba adalah sebuah sistem yang lebih mudah untuk dibawa kemana-mana, pokoknya prestasi peranti tersebut tidak akan dapat menandingi sebuah desktop, walaupun ia mungkin hadir dengan tanda harga yang lebih kurang sama.
Terkini, seorang modder yang bernama “A Newbie Who Likes Overclocking” di China telah memperlihatkan ciptaan beliau, iaitu sebuah “komputer riba” yang dipenuhi dengan komponen-komponen sebuah komputer desktop kedalam sebuah rangka komputer riba.

Apa yang menarik mengenai rangka komputer riba ini ialah ia memang hadir dengan saiz yang agak besar, kerana ia merumahkan sebuah papan induk Mini-ITX yang dilengkapi dengan sebuah cip pemprosesan AMD Ryzen 9 7950 X3D bersama penyejuknya. Mendampingi komponen ini ialah 32GB memori DDR5 dan juga storan SSD Intel Optane P5800X yang cukup pantas.

Akan tetapi, apa yang membuatkan komputer riba ini benar-benar unik ialah ia dicantumkan dengan sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 kelas desktop, untuk memberikan komputer riba ini prestasi yang setanding dengan sebuah komputer desktop.
Ia tidak diketahui model manakah yang digunakan, tetapi berdasarkan video Bilibli yang diperlihatkan, ia menggunakan kad grafik dengan satu kipas peniup yang mungkin adalah rekaan kad grafik tersebut paling padat yang boleh dibeli.
Apabila beratnya diukur, komputer riba ini memperlihatkan berat sekitar 6.7kg, dan apabila digabungkan dengan bongkah pengecasan kuasa yang digunakan, beratnya dianggarkan sekitar 8kg.
Perlu diingatkan juga bahawa ini adalah sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 yang dijual secara global, dan bukan GeForce RTX 4090D yang hanya diperlihatkan untuk pasaran China.