Kusyen dengan sistem haptik HD terawal di dunia, begitulah apa yang didakwa oleh Razer sewaktu memperkenalkan Freyja pada acara tahunan RazerCon 2024. Kusyen ini direka untuk diletakkan pada kerusi gaming seterusnya membolehkan pengguna merasai perngalaman bermain seolah-olah yang digambarkan dalam dunia nyata. Ia juga boleh dipasangkan pada kebanyakan saiz kerusi gaming, di samping mempunyai tali boleh laras yang memudahkan lagi proses pemasangan.


Razer Freyja mempunyai enam motor haptik berkualiti tinggi yang disusun sebaiknya untuk sokongan maklum balas pelbagai arah yang tepat. Kesemuanya juga diletakkan secara strategik untuk mensimulasikan interaksi dengan perincian yang jelas. Kemudian menawarkan pengalaman permainan yang lebih realistik serta menyakinkan – baik dari segi larian, tembakan mahupun letupan bom. Ia juga sesuai digunakan untuk semua keperluan hiburan lain sama ada menonton filem atau mendengar muzik.


Kusyen ini turut serasi dengan kedua-dua Razer HyperSpeed Wireless pada PC dan sambungan Bluetooth untuk peranti Android melalui aplikasi Razer Nexus. Selain itu mempunyai ruang untuk pengurusan kabel terbina bagi mengelakkan wayar berselirat. Razer Freyja dijual pada $299.99 (~RM1,232) dengan pilihan warna hitam. Produk juga didapati mula tersenarai melalui laman web Razer Asia tanpa harga rasmi untuk Malaysia diketahui buat masa ini.