Apabila Volvo membawa masuk EX30, ia menambahkan persaingan kepada kereta elektrik yang dijual bawah RM 200,000 kerana permintaan dari pembeli tidak menampakkan sebarang kekurangan. Dengan pengecualian cukai jalan, jenama-jenama seperti BYD, Tesla, Smart, MG kini boleh dilihat di segenap jalanraya sekitar Malaysia, lebih-lebih lagi di kawasan bandar.

Dan lebih menarik lagi untuk Volvo, EX30 merupakan kenderaan pertama Volvo yang dijual dibawah RM 200,000 justeru menambahkan lagi peluang untuk pengguna tempatan memilikinya. Ini merupakan model ketiga kereta elektrik sepenuhnya dari Volvo, selepas C40 Recharge dan XC40 Recharge, dan lebih dari itu, ia juga merupakan model yang paling sedikit kesan karbon kepada dunia, membuatkan ia kenderaan yang ideal untuk anda yang inginkan EV, dengan agenda kelestarian di minda.
Rekaan Tidak Terpisah Dengan Elemen Scandinavian
Dari bahagian hadapan Volvo EX 30 terdapatnya lampu nyalaan siang (Day Running Lights) yang popular dipanggil sebagai Thor Hammer, dengan bentuk seakan tukul. Lampu ini juga akan berfungsi sebagai lampu isyarat yang berkelip, tanpa sebarang animasi sequential seperti yang biasanya terdapat pada kereta mahal. Bahagian bonet depan frunk boleh dibuka dan mempunyai kapasiti 7 liter, cukup untuk memuatkan kit kecemasan atau kit tayar mengikut kehendak pengguna. Bagaikan menambah gaya, terdapat juga rekaan flora dan fauna seperti hutan Pine dan Moose menghiasi penutupnya dan ini memberikan sedikit kelainan yang tidak terdapat pada jenama lain.


Seperkara lagi mengenai penampan (fender) di bahagian hadapan, adalah bagaikan bahan yang dikitar semula. Volvo bangga dengan kelestarian yang mereka bawakan, dimana model EX30 ini banyak menggunakan bahan yang dikitar semula, termasuklah fabrik kemasan ruang dalaman, aluminium dan besi. Maka penampan bahagian hadapan ini jika diteliti, bagaikan rekaan fiber karbon tetapi mungkin yang telah dikitar semula.

Di bahagian belakang adalah bahagian yang pada saya terdapat satu kekurangan elemen ikonik. Jika anda lihat pada lampu belakang C40 atau XC40 ia bagaikan mempunyai rekaan sofa, namun ia tidak terdapat pada EX30 ini. Dari segi ruang bagasi, ia mempunyai ruang sebesar 318 liter, dan terdapat lapik boleh ubah dimana ia boleh direndahkan, bagi memuatkan bagasi lebih besar. Terdapat juga gambarajah yang memberikan idea kepada pengguna mengenai barang yang boleh dimuatkan, dan jika tempat duduk penumpang belakang diturunkan, ia boleh memberikan sehingga 910 liter ruang untuk membawa pelbagai barangan.

Di bahagian dalaman dihiasi dengan fabrik dan juga bahan yang dikitar semula. Volvo turut menggunakan kain dari bahan seperti bulu, jeans, dan campuran kain lain untuk menguliti tempat duduk, panel pintu, dan bermacam lagi. Walaupun menggunakan bahan kitar semula, bahan-bahan yang digunakan tidak dirasakan terlalu murah. Malah cara Volvo mencipta ruang storan dilihat bijak dalam memanfaatkan setiap sudut, bagaikan masuk ke ruang pameran Ikea dengan pelbagai fungsi yang praktikal.



Ini jelas dialami dari contoh panel storan bawah yang mempunyai pintu, pengguna boleh meletakkan telefon atau barangan lain, dan menutupnya untuk meletakkan beg atau barangan lain. Laci tengah pula boleh digunakan untuk pelbagai barangan lain, dan jika ingin digunakan untuk meletakkan cawan, terdapat satu lagi dulang yang boleh dikeluarkan diatas laci, menjadikannya lebih praktikal.

Penumpang di bahagian belakang pula dapat menggunakan laci tengah, yang turut dihiasi dengan motif flora dan fauna yang turut terdapat di penutup frunk namun disini ketiadaan saluran pendingin hawa untuk penumpang belakang pasti menimbulkan persoalan dikalangan pembeli memandangkan cuaca panas Malaysia mungkin tidak menyelesakan. Ini ditambah pula dengan bumbung lutcahaya tanpa sebarang lapik, mungkin boleh membuatkan penumpang berasa panas.

Seperkara lagi yang tampak canggung untuk penumpang belakang adalah ketiadaan poket storan yang biasanya terdapat dibelakang tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan. Ini juga bakal menimbulkan isu storan untuk penumpang belakang, walaupun terdapat storan di panel pintu, ia mungkin tidak mencukupi.


Volvo EX30 hanya membawakan satu paparan dibahagian tengah, dengan bahagian atas memaparkan informasi berkaitan kenderaan. Dibahagian tengah akan bertukar mengikut pilihan pengguna, dan meskipun kereta elektrik ini dioperasikan oleh Google, pengguna Apple CarPlay masih boleh menambat iPhone mereka, dan paparan CarPlay akan tersedia. Melengkapkan paparan adalah sistem audio Harman Kardon. Walaupun ia sekadar ‘soundbar’ dan tidak terdapat sebarang pembesar suara di sudut-sudut lain, runut dan kualiti bunyi dapat memenuhi segenap sudut. Lebih dari itu pengguna juga dapat mengawal dan menghalakan bunyi kepada penumpang belakang menerusi tetapan kereta ini.

Prestasi Pecutan Yang Mengujakan
Untuk ketiga-tiga versi Volvo EX30 yang ditawarkan di Malaysia, ia mempunyai kapasiti bateri yang sama iaitu 69 kWh dengan pengecasan AC 11kW dan pengecasan pantas secara DC 153kW yang membolehkan pengecasan 10-80% dalam masa 28 minit. Versi Plus dan Ultra mempunyai satu motor elektrik di gandar belakang dan boleh pergi sejauh 480KM WLTP, memberikan kuasa 272 PS dan 343Nm tork memberikan pecutan 0-100km/j dalam masa 5.3 saat.

Bagi versi Ultra Twin Performance, ia mempunyai jarak perjalanan sejauh 450KM WLTP kerana ia mempunyai dua motor elektrik di gandar hadapan dan belakang, memberikan kuasa 428 PS dan 543Nm Tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j sepantas 3.6 saat. Malah ini merupakan angka terpantas dalam kesemua model yang Volvo tawarkan sehingga kini. Untuk kesemua model EX30, hadlaju maksimum adalah 180 km/j.

Sewaktu ujian ringkas selama 10 minit, kami berkesempatan menggunakan EX30 Ultra Twin Performance dan dapat melakukan pecutan 0-100 km/j, ujian slalom dan pergerakan kecemasan, serta pecutan sewaktu pemanduan. Boleh dikatakan yang Volvo EX30 memberikan kecepatan yang sangat mengujakan, responsif dan mungkin agak senyap kerana walaupun kami mencubanya di lapangan terbang yang sudah tidak digunakan, hanya bunyi batu yang didengari, tanpa bunyi angin kuat menderu masuk.

Namun memandangkan masa ujian terhad, saya tidak dapat mengetahui akan paparannya sewaktu pemanduan yang lebih lama. Saya masih tidak mengetahui adakah terdapat sebarang pilihan mod pemanduan, seperti mod ekonomi yang menjimatkan bateri, atau mod-mod lain. Juga saya tidak pasti apakah tetapan lain dapat diubah, seperti tahap pembrekan janaan semula. Mungkin perkara ini dapat diketahui sekiranya saya berpeluang menggunakan EX30 untuk masa yang lama.

Volvo EX30 ini ditawarkan dalam tiga versi iaitu versi Plus untuk pilihan asas pada harga RM 188,888, versi Ultra pada harga RM 208,888 dan juga Ultra Twin Performance pada harga RM 228,888. Menariknya Volvo turut menawarkan pelbagai manfaat pemilikan, seperti jaminan selama 5 tahun, jaminan bateri selama 8 tahun, khidmat selenggaraan percuma yang boleh ditukar milik, dan pelbagai lagi.
Dan dengan penawaran ini pastinya memberikan persaingan dalam pasaran kereta elektrik tempatan, atau mungkin akan bersaing dengan kelas jenama premium dengan harga yang lebih murah berbanding yang lain. Jika anda berminat, Volvo Malaysia sedang mempamerkan Volvo EX30 di KL Base dari 26-29 September jadi anda boleh hadir untuk melihat dan mencubanya.