Quantcast
Channel: Amanz
Viewing all articles
Browse latest Browse all 51640

Ulasan Vivo V40 Pro – Sistem Kamera Mantap Dengan Teknologi ZEISS

$
0
0

Kerjasama diantara Vivo dan ZEISS dilihat membuahkan hasil yang baik dalam teknologi pengimejan mudah alih. Itulah yang pernah dikatakan oleh kami dalam salah satu artikel sebelum ini. Bahkan perkakasan dalaman yang dipertingkatkan turut diberikan dalam telefon baharu Vivo V40 Pro. Diikuti dengan rekaan yang tampil ringkas namun cukup elegan dalam kelasnya. Untuk ketahui lebih lanjut mengenai prestasi menyeluruh pada peranti teruskan membaca artikel ini.

Vivo V40 Pro 5G
Skrin6.78″ OLED 120Hz, 1B colors, HDR10+
2400 X 1080 piksel, 4,500nits
~453 PPI
PemprosesMediatek Dimensity 9200+ (4 nm)
Cip1 x 3.35 GHz Cortex-X3
3 x 3.0 GHz Cortex-A715
4 x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikImmortalis-G715 MC11
RAM12GB RAM
(+12GB RAM Maya)
Muatan Dalaman512 ROM
Kamera Utama50 MP (lebar), 1/1.56″ PDAF, OIS
50 MP (telefoto), PDAF, OIS
50 MP (ultra-lebar)
ZEISS Optic & HDR
4K@30fps, 1080p@30fps
Aura Light 3.0
Kamera Depan50 MP HD f/2.0 HDR
4K@30fps, 1080p@30fps
Bateri5,500mAh
80W FlashCharge
SIM/Telefoni2 SIM Nano/5G
NFCAda
Infra MerahTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap Jari Bawah Skrin
Imbasan Wajah
Harga JualanRM3,299 (12/256GB)

Spesifikasi Ringkas

Skrin adalah sebesar 6.78″ daripada keluarga OLED beresolusi 1.5K dan kadar segar semula 120Hz. Ini boleh dianggap sebagai saiz standard untuk kebanyakan telefon di pasaran yang sepatutnya mampu menyajikan pengalaman visual yang memadai. Melalui panel OLED pula membolehkan penghasilan semula warna, kontras dan sudut tontonan yang baik pada skrin boleh dihasilkan. Saiz bezel yang nipis di hampir kesemua sisi pula membolehkan peranti menawarkan nisbah skrin-ke-badan mencapai 89.9%.

Butang kuasa dan laras audio diletakkan di sebelah sisi kanan dengan binaan yang selesa untuk ditekan. Ruang slot SIM, port USB-C dan pembesar suara pula boleh ditemui di bahagian bawah. Dua SIM berbeza boleh digunakan sepenuhnya tanpa ruangan untuk kad mikro SD.

Sistem audio disokong dari jenis stereo dengan sistem audio Hi-Res. Selain itu mempunyai penarafan IP68 yang bermakna telefon ini dilindungi sepenuhnya daripada habuk dan boleh direndam dalam air sehingga 1.5 meter. Saya turut menyambut baik sistem pengimbas cap jari terbina yang berfungsi dengan amat responsif.

Pemproses lapan teras Mediatek Dimensity 9200+ digunakan pada unit yang diterima. Diikuti gabungan memori 12GB RAM dan storan 512GB yang bermakna prestasi cukup baik boleh diharapkan melaluinya. Dari sisi lain menampakkan kombinasi yang memadai namun masih diberikan juga fungsi penambahan RAM secara maya hingga 12GB RAM secara maksimum sekiranya perlu. Perisian terkini FuntouchOS 14 berasaskan Android 14 dengan keupayaan papan antaramuka mesra pengguna turut digunakan.

V40 Pro dilengkapi tri-sensor utama dengan kegunaan yang berbeza. Ianya terdiri dengan 50MP untuk utama dengan sensor SONY IMX921 dan OIS. Ini dipadankan dengan 50MP untuk ultra lebar dan 50MP telefoto yang menawarkan pilihan zum sehingga 2X optikal serta 50X digital.

Selain itu dilengkapi gabungan teknologi daripada ZEISS yang bantu meningkat kualiti dan butiran pada imej. Misalnya seperti  lima panjang fokus turut ditawarkan iaitu 24mm, 35mm, 50mm, 85mm dan 100mm dengan pilihan tangkapan gambar bernisbah 1:1, 4:3, 16:9 serta penuh.

Kemudian terdapat sehingga tujuh kesan bokeh ZEISS untuk dipilih yang terdiri dengan Biotar, B-speed, Sonnar, Plannar, Distagon, Cine-flare dan Cinematic. Menariknya lagi apabila pengguna boleh memilih kesan bokeh dengan panjang fokus yang telah dilaraskan secara langsung melalui ciri Portrait Lens Kit. Di samping beberapa profil warna seperti Vivid, Textured dan ZEISS bagi tujuan memperhalusi warna untuk hasil imej yang lebih bermaya.

Akhir sekali ialah bateri 5,500mAh yang digunakan boleh dicas semula pada kuasa maksimum 80W. Ia adalah sejenis silikon-karbon yang dinaik taraf dengan kemampuan lebih baik dalam pelbagai keadaan.


Pengalaman Penggunaan

Sebagai permulaan saya perlu akui yang V40 Pro kelihatan tidak jauh berbeza dengan generasi sebelum untuk sebahagian besar aspek rekaan. Ia termasuklah bahan binaan berkualiti, skrin yang melengkung dan kemasan minimalis yang bagus untuk dijadikan promosi produk. Meskipun persamaan itu bukanlah tanda ia benar-benar serupa sepenuhnya tanpa sebarang perubahan.

Namun, masih terdapat perbezaan yang jelas untuk bonggol kamera belakang yang direka semula menjadi lebih membulat berbanding segi empat sama pada V30 Pro sebelum ini. Ia menggunakan persediaan tiga kamera dalam susunan menegak dengan penjenamaan ZEISS disertakan bersama.

Ciri Aura Light masih dikekalkan bagi bantu mendapatkan imej portrait yang jelas dan semula jadi dalam pencahayaan malap. Menariknya lagi apabila Aura Light berkenaan kini lebih kecil tetapi mampu memancarkan cahaya 30% lebih terang berbanding sebelum ini.

Dengan ketebalan hanya 7.5mm dan berat 192 gram, tiada masalah yang terlalu sulit untuk mengendalinya bahkan telefon ini terasa premium di tangan dan binaan melengkung pula menawarkan cengkaman yang baik. Memasukkan dan mengeluarkan telefon ini daripada poket seluar juga tiada sebarang masalah, cumanya didapati sedikit terkeluar disebabkan oleh binaannya yang memanjang.

Saya juga tidak mempunyai masalah dengan penawaran skrinnya yang besar, di mana sangat bagus untuk kegunaan melayari web dan media sosial. Sesetengah pengguna mungkin mendapati skrin dwi-lengkung sebegini lebih banyak mendatangkan masalah berbanding ciri tambahan yang menarik. Misalnya seperti imej atau video melimpah keluar sehingga kadang kala elemen antaramuka yang ingin ditekan tersorok ke sisi lalu sukar diakses.

Semuanya masih berbalik pada pendapat masing-masing. Walaupun mungkin saya bukanlah peminat setia rekaan skrin melengkung tetapi yakinlah bahawa telefon ini masih selesa sahaja digunakan seperti biasa. Prestasi skrin adalah seperti yang dijangka daripada panel OLED dengan kemampuan melihat teks dan imej sebaiknya.

Ia cukup tajam dan jelas dengan penghasilan semula warna yang sesuai untuk menonton rancangan kegemaran di pelbagai platform. Bahkan dilengkapi juga dengan sokongan Widevine L1 DRM, dan penstriman FHD dengan sokongan HDR10 termasuk Netflix. Saya sendiri sempat menghabiskan beberapa episod My Demon di Netflix dan benar-benar menyukai pengalaman itu. Perasaan yang sama turut boleh dirasai sewaktu pengalaman menatal yang lancar secara konsisten dengan fungsi kadar segar semula 120Hz yang diaktifkan sepanjang masa.

Terdapat juga keupayaan bertukar di antara skrin 60Hz dan mod pintar bagi tujuan jangka hayat bateri yang lebih panjang. Sokongan kecerahan puncak juga meningkat kepada 4500nits yang sepatutnya mampu menjadikan skrin lebih terang di luar bangunan dan ia benar-benar boleh dinikmati tanpa masalah. Cumanya plastik pelindung yang digunakan terasa murah dengan ia mudah calar.


Penanda Aras

Seterusnya cip Mediatek Dimensity 9200+ yang menguasai peranti dilihat memberi pengalaman prestasi keseluruhan yang baik dalam segenap kegunaan termasuk permainan. Saya merasakan situasi ini turut dibantu oleh gabungan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB ROM yang digunakan.

Terdapat juga ciri RAM Plus yang boleh menambah memori sehingga 12GB RAM secara automatik tanpa kebolehan mengubah saiz memori yang ingin digunakan. Ia tidaklah mengejutkan kerana kesemua peranti terkini Vivo sememangnya dilengkapi sokongan sebegitu.

Perubahan dan penambahbaikan rasanya perlu dibuat pada masa akan datang dengan menyediakan pilihan untuk mengaktifkan serta dimatikan ciri tersebut secara manual. Seterusnya memberi kelebihan kepada pengguna yang tidak mahu storan diambil untuk menambah RAM seperti yang ditawarkan oleh beberapa pengeluar peranti Android lain.

Beberapa permainan seperti MLBB, HOK dan Asphalt 9 turut boleh dimainkan pada tetapan grafik tertinggi dengan kelancaran yang konsisten. Cumanya telefon ini menjadi agak panas selepas sesi permainan yang panjang. Berikut disertakan kutipan markah peranti dalam beberapa ujian penanda aras utama :

Antutu 3D

  • Vivo V40 Pro -1,524,100
  • Poco X6 Pro – 1,199,162
  • Nothing Phone (2a) Plus – 774,822

Geekbench 6

  • Vivo V40 Pro – 1798/5177
  • Poco X6 Pro – 1311/4033
  • Nothing Phone (2a) Plus – 1175/2604

3DMark Wild Life Extreme

  • Vivo V40 Pro – 3,824
  • Poco X6 Pro – 2,053
  • Nothing Phone (2a) Plus – 1172

Perisian terkini FunTouchOS 14 berasaskan Android 14 yang digunakan tidak memberi perubahan drastik dengan beberapa telefon Vivo yang sedia ada. Malahan saya difahamkan perubahan hanyalah pada ciri AI Erase baharu yang terbina di dalam galeri gambar. Itulah satu-satunya ciri berasaskan AI yang ditawarkan pada telefon ini. Sekaligus dilihat agak ketinggalan dalam ciri AI berbanding pesaing lain yang rata-rata menyediakan lebih banyak pilihan yang menarik.

Masalah aplikasi gendut yang sedia dimuat-turun juga masih boleh ditemui. Begitu juga dengan masalah iklan khususnya pada gedung aplikasi Vivo yang sentiasa cuba menjadikannya lalai dengan pemberitahuan yang mengganggu penggunaan. Pun begitu kebanyakan daripadanya masih boleh sahaja disenyapkan atau dimatikan sepenuhnya melalui tetapan khusus. V

ivo turut menjanjikan 3 tahun kemaskini sistem Android dan 4 tahun untuk sekuriti pada telefon yang dilihat serupa dengan apa ditawarkan oleh kebanyakan pengeluar lain dalam segmen peranti ini.


Kualiti Kamera

Kualiti gambar keseluruhannya boleh diambil dengan baik dalam kebanyakan situasi. Dalam pencahayaan terang kamera telefon mampu menghasilkan imej yang benar-benar sedap dipandang mata dengan penghasilan semula warna nampak hidup dan terang.

Ia menghasilkan warna yang tidak terlalu tepu dan sesuai dikongsikan ke media sosial tanpa suntingan tambahan. Sistem autofokus berfungsi dengan baik namun saya mendapati proses tangkapan akan mengambil masa beberapa saat sebelum imej akhir dihasilkan.

Tangkapan imej dalam kawasan tertutup juga menawarkan hasil cukup baik namun tidaklah sebaik penghasilan imej dalam keadaan terang. Meskipun saiz Aura Light telah dikecilkan namun pancaran lampu didapati amat terang sehingga mengakibatkan tidak keselesaan pada mata. Tangkapan mod potret juga dilihat menarik dengan lebih banyak pilihan penuras ZEISS yang boleh digunakan.

Kualiti kelihatan memuaskan dengan kebolehan sensor membezakan objek utama dan latar belakang dengan sebaiknya. Seterusnya menghasilkan imej yang jelas bersama kabur latar belakang yang ke arah semula jadi. Turut boleh dipuji adalah edge detection yang kini semakin baik kualitinya berbanding beberapa generasi sebelum ini.

Dalam masa sama kamera ini juga menawarkan fungsi makro yang boleh diaktifkan secara manual. Kualiti kelihatan memuaskan dengan pasca-proses agak keterlaluan. Perlu juga dinyatakan bahawa sebahagian besar gambar yang dilampirkan diambil dengan ciri AI dan HDR yang diaktifkan sepanjang masa.


Ketahanan Bateri

Ketahanan bateri di tahap yang baik dengan kemampuan bertahan sepanjang hari untuk kegunaan biasa. Berkongsi secara khusus pula saya boleh mendapatkan bacaan SOT sekurang-kurangnya 14 jam melalui kiraan secara manual dengan baki bateri sebanyak 30%. Kiraan ini bagaimanapun berkurang sedikit untuk kegunaan yang berat seperti melayari media sosial, bermain permua dan menavigasi peta dalam masa yang sama secara berterusan.

Turut boleh dikongsikan sebenarnya kapasiti 5500mAh adalah paling besar pernah ditawarkan oleh Vivo dalam rangkaian peranti siri V mereka setakat ini. Sistem pengecasan bagaimanapun masih sama seperti generasi sebelum dengan kuasa output 80W. Bermakna telefon boleh dicas penuh sekurang-kurangnya dalam masa satu jam. Masih tiada pengecasan nirwayar disediakan di sini.


Apa Di Dalam Kotak

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak Vivo V40 Pro:

  • 1 x Vivo V40 Pro.
  • 1 x Kepala Pengecas 80W.
  • 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
  • 1 x Kerangka Silikon.
  • 1 x Manual Pengguna.
  • 1 x Pencungkil SIM.

Kesimpulan

Secara keseluruhan V40 Pro menawarkan perkakasan dalaman yang kukuh dengan cip pemprosesan berkuasa, bateri berkapasiti besar dan sistem kamera serba boleh. Kelebihan lain turut boleh ditemui apabila telefon ini mempunyai penarafan kalis air IP68 dan sistem audio stereo. Perkara ini secara tidak langsung memberi impak positif dalam kalangan pengguna kerana sebelum ini dua faktor inilah yang sering menjadi komen negatif.

Kekurangan masih terletak pada perisian FunTouch OS 14 yang masih mengakibatkan isu aplikasi gendut dan iklan yang ketara. Begitu juga dengan ciri berasaskan AI yang terhad menjadikan ia agak ketinggalan berbanding kebanyakan pengeluar yang memberi keutamaan pada fungsi itu untuk peranti tahun 2024. 


Pro

  • Spesifikasi dengan pemproses kelas pertengahan berkuasa.
  • Sistem kuad-kamera 50MP dengan lensa Zeiss.
  • Kalis air IP68.
  • Saiz bateri besar dengan pengecasan 80W pantas.
  • Speaker stereo.

Kontra

  • Tiada pengecasan berwayar.
  • Tiada lagi bicu audio.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 51640