NVIDIA dijangka akan memperkenalkan siri kad grafik gaming terbaru mereka, NVIDIA GeForce RTX 5000 tidak lama lagi, dan penjualannya dijangka akan bermula sekitar awal tahun hadapan. Dikuasakan oleh cip pemprosesan grafik NVIDIA Blackwell, ia dilihat akan tampil dengan prestasi gaming jauh lebih hebat berbanding apa yang ditawarkan sekarang untuk para peminat PC.
Terkini, nampaknya beberapa butiran lanjut telah tertiris ke arena web mengenai dua daripada kad grafik ini, iaitu NVIDIA GeForce RTX 5090 dan juga NVIDIA GeForce RTX 5080. Bermula dengan kad grafik yang lebih berkuasa, Kopite7Kimi, seorang peniris maklumat berkenaan komponen PC telah mengatakan bahawa RTX 5090 akan menggunakan cip pemprosesan GB202-300-A1 yang hadir dengan 21,760 teras CUDA dan 32GB memori GDDR7.
Untuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5080 pula, kad grafik ini akan menggunakan cip pemprosesan grafik GB203-400-A1 yang mempunyai 10,752 teras CUDA dan akan tampil dengan 16GB memori GDDR7. Kedua-dua kad grafik ini akan memperlihatkan penambahan teras CUDA yang agak tinggi. GeForce RTX 4090 sebelum ini menggunakan 16,384 teras CUDA, manakala GeForce RTX 4080 pula mempunyai 9728 teras CUDA.
Dalam pada itu, beliau juga nampaknya mengesahkan ura-ura bahawa kad grafik GeForce RTX 5090 akan tampil dengan TDP setinggi 600W, manakala GeForce RTX 4080 pula akan hadir dengan TDP setinggi 400W.
Setakat ini, ia tidak diketahui lagi bilakah NVIDIA akan mengumumkan ketibaan kedua-dua kad grafik ini.