Pada kemaskini Windows 8.1, pihak Microsoft bakal menyertakan beberapa fungsi baru, dan salah satu daripadanya adalah sokongan Readling List, membolehkan pengguna membaca sesuatu artikel dengan lebih mudah, dan menyimpannya untuk bacaan lanjut pada masa akan datang.
Seperti semua sedia maklum, beberapa aplikasi pada hari ini sedia membawakan sokongan tersebut, seperti Read-It-Later, Pocket dan sebagainya. Namun, penyertaan secara terbina pada Windows 8.1 ini semestinya diminati ramai pengguna yang sering melakukan pembacaan artikel panjang pada skrin komputer atau tablet mereka.
Daripada apa yang diperlihatkan, ia menunjukkan pengguna boleh menyimpan artikel pada Reading List dengan menggunakan butang Share pada CharmBar, ataupun menggunakan sokongan bookmark.
Microsoft dijangka akan memperkenalkan versi percubaan awal Windows 8.1 pada minggu hadapan, dan pada masa yang sama berkongsi pelbagai fungsi yang disertakan bersama-sama dengannya.