Microsoft secara rasminya telah menamatkan sokongan bagi Windows XP bermula 8 April 2014. Selepas 13 tahun diperkenalkan, Windows XP masih lagi digunakan secara meluas di seluruh dunia dan penamatan ini menjadikan XP sebagai sistem operasi paling lama yang pernah disokong oleh Microsoft. Salah satu sebab ia terus disokong adalah disebabkan populariti Windows XP yang masih berada di tahap paling popular antara pengguna. Perkara ini berlaku mungkin atas kerana kelewatan Microsoft dalam menghadirkan sistem operasi baru sehinggalah pada tahun 2007, Microsoft memperkenalkan Windows Vista.
Windows Vista gagal menarik minat pengguna PC atas faktor keperluan sistem yang tinggi dan tidak bersesuaian dengan persekitaran PC pada ketika waktu itu. Pada tahun 2007, kebanyakan PC baru sahaja menjengah fasa spesifikasi dengan 512MB-1GB RAM dan ini menyebabkan kebanyakan PC pada ketika itu tidak dapat menjalankan Windows Vista dengan baik. Mujur pada tahun 2009, Microsoft dengan segera menghadirkan Windows 7 yang hadir dengan penambahbaikan dari segala aspek sekaligus mengurangkan tekanan Microsoft ketika melancarkan Vista.
Kejayaan Windows 7 didorong dengan penambahbaikan prestasi keseluruhan sistem operasi yang lebih pantas dan juga tidak mustahil dibantu hasil daripada desakan keperluan sistem daripada Windows Vista. Perkara ini menyebabkan kebanyakan perkakasan PC pada sekitar 2009 telah sedia dengan spesifikasi yang lebih tinggi.
Namun sehingga tahun 2014, laporan Net Application mengatakan Windows XP masih lagi memegang saham pasaran sebanyak 29.23% dan angka ini menunjukkan Windows XP masih lagi aktif digunakan sekaligus meletakkan XP sebagai sistem operasi kedua popular selepas Windows 7. Pada Ogos 2012, Windows 7 telah mengambil kedudukan pertama daripada XP sebagai sistem operasi paling popular di dunia sehingga kini.
Dunia teknologi telah berubah secara drastik sejak sedekad lalu dan kini dilihat PC menghadapi tekanan dengan saingan antara peranti telefon pintar dan tablet. Windows 8 adalah jawapan bagi mengurangkan saingan ini dengan menghadirkan sebuah sistem operasi hibrid untuk PC dan juga tablet. Namun sistem operasi selepas Windows Vista telah mengenakan keperluan sistem minima dengan sekurang-kurangnya 512MB RAM untuk menjalankan sistem operasi moden daripada Microsoft ini.
Jadi, apakah nasib bagi PC lama dengan penggunaan RAM di bawah 512MB RAM? Kebanyakannya masih lagi menggunakan Windows XP. Di Malaysia, kita sendiri tidak lari dengan melihat PC dengan sistem operasi Windows XP terutamanya di sesetengah institusi pendidikan dan pejabat awam.
Kami di Amanz berbesar hati untuk membawakan semula ulasan Windows XP sebagai mengenang sistem operasi yang telah ditamatkan sokongannya oleh Microsoft ini. Ia sebuah sistem operasi legasi terulung daripada Microsoft sehinggakan selepas 13 tahun pengenalannya, Windows XP masih lagi digunakan secara meluas pada hari ini.
Fungsi Utama
Antaramuka
Windows XP telah membawakan antaramuka serba baru yang jauh meninggalkan antaramuka Windows sebelumnya. Pada era Windows 2000 dan sebelumnya, sistem operasi daripada Microsoft menggunakan antaramuka klasik yang telah dibawa sejak Windows 95 lagi. Windows XP telah membuka sinar baru dengan mendatangkan kombinasi antaramuka Luna dan latar belakang Bliss sebagai elemen utama sistem operasi ini. Ia turut didatangkan dengan tiga pilihan warna tema Luna secara terbina seperti Blue, Silver, dan Olive Green.
Selain hadir dengan antaramuka Luna secara terbina, Windows XP juga dibekalkan dengan beberapa antaramuka tambahan yang boleh dipasang oleh pengguna.
Pada tahun 2004, pihak Microsoft telah memperlihatkan antaramuka konsep yang dinamakan sebagai Royale dan kemudiannya digunakan pada Windows XP Media Center Edition dan juga Windows XP Tablet PC Edition. Ia membawakan antaramuka dengan kesan reflection berwarna biru disamping turut didatangkan dengan latar belakang Energy Bliss yang diinspirasikan oleh latar belakang asal Bliss.
Selang beberapa minggu selepas memperlihatkan antaramuka Royale, pihak Microsoft telah melancarkan tema Zune untuk dimuat-turun oleh semua pengguna Windows XP. Ia membawakan antaramuka hasil olahan daripada tema Royale sebelumnya dengan membawakan kombinasi warna hitam dan oren. Kedua-dua antaramuka ini boleh dimuat-turun secara berasingan dan dibekalkan secara rasmi oleh Microsoft untuk pengguna Windows XP.
Apa yang menarik mengenai kesemua antaramuka Windows XP ini, ia tidak memerlukan sebarang keperluan grafik seperti mana Windows Aero (antaramuka Windows Vista dan 7) yang memerlukan kad grafik berprestasi tinggi bagi menjalankan antaramuka tersebut. Tidak hairanlah Windows XP masih digunakan pada PC lama kerana sokongan sistem yang rendah pun masih boleh menampilkan antaramuka yang masih cantik dilihat sehingga hari ini.
Windows Media Player
Windows XP direka untuk keperluan multimedia dan salah satu perkara yang menarik adalah kehadiran Windows Media Player yang diperbaharui padanya. Windows XP secara amnya merupakan sistem operasi paling banyak menerima kemaskini Windows Media Player.
Pada awal versi Windows XP diperkenalkan, ia telah dibekalkan dengan Windows Media Player for Windows XP (Windows Media Player 8) yang hanya ditawarkan secara eksklusif untuk Windows XP sahaja.
Windows Media Player 9 (WMP 9 Series) pula telah ditawarkan pada 2003 untuk digunakan pada Windows Server 2003. Windows Media Player versi ini turut hadir untuk Windows XP dan juga merupakan Windows Media Player versi terakhir bagi Windows 98, Windows ME, dan Windows 2000.
Pada tahun 2004, Windows XP menerima satu lagi kemaskini Windows Media Player iaitu Windows Media Player 10 yang membawakan antaramuka reflection dengan sedikit sentuhan daripada antamuka Royale. Versi ini ditawarkan secara terbina untuk versi Media Center Edition 2005 dan juga boleh dimuat-turun secara berasingan untuk pengguna Windows XP yang lain.
Selepas pengenalan Windows Vista pada 2006, pihak Microsoft turut tidak ketinggalan melancarkan Windows Media Player 11 yang sedia terdapat pada Vista untuk semua pengguna Windows XP. Windows Media Player versi ini merupakan WMP versi terakhir untuk XP dan Windows Media Player 12 hanya boleh didapati secara ekslusif untuk pengguna Windows 7 dan juga Windows 8/8.1.
Internet Explorer
Salah satu komponen terpenting di dalam sistem operasi Windows adalah pelayar web Internet Explorer. Windows XP telah dibekalkan dengan Internet Explorer 6 secara terbina yang membawakan pelayaran web asas untuk sistem operasi Windows.
Agak malang sehingga bertahun lamanya, Windows XP tidak menerima sebarang kemaskini versi Internet Explorer sehinggalah Windows Vista dilancarkan. Pelayar web IE6 telah menerima pelbagai kritikan daripada pengguna dan ramai yang beralih ke pelayar web lain pada ketika itu seperti Mozilla Firefox.
Internet Explorer 7 telah diedarkan kepada semua pengguna sejurus selepas Windows Vista diperkenalkan pada 2006. Pelayar web ini merupakan pelayar web Internet Explorer pertama yang hadir dengan sokongan tab selain membawakan antaramuka baru.
Pada tahun 2009, Microsoft telah melancarkan Internet Explorer 8 yang telah didatangkan bersama dengan Windows 7. Pihak Microsoft turut memperkenalkannya kepada Windows XP dan sekaligus menjadikan versi pelayar web terakhir untuk sistem operasi ini.
Sokongan Fast User Switching
Sistem operasi Windows XP turut memperkenalkan sokongan Fast User Switching yang membolehkan pengguna membuat log masuk atau keluar dengan mudah melalui satu paparan pilihan pengguna. Fungsi ini terus digunakan pada sistem operasi selepasnya seperti Windows Vista, Windows 7, dan pada Windows 8, paparan Fast User Switching telah dipermudahkan dengan hanya membuat klik pada gambar pengguna di Start Screen.
Edisi Windows XP
Home Edition
Windows XP Home Edition membawakan fungsi asas Windows XP seperti sokongan media, pelayar web Internet Explorer, sokongan networking, dan beberapa yang lain lagi. Versi ini boleh dikatakan sebagai versi teras yang mana bersesuaian dengan Windows 8 (versi teras) hari ini.
Professional Edition
Versi Professional Edition pula direka untuk ahli perniagaan dan pakar IT dengan menghadirkan beberapa fungsi tambahan melalui versi ini. Windows XP Professional membolehkan komputer yang menjalankan versi ini sebagai pelayan untuk Remote Desktop selain hadir dengan sokongan Offline Files dan Folders, sokongan Encrypting File System, sokongan Internet Information Services (IIS), dan lain-lain lagi. Melalui Professional Edition, ia juga turut membolehkan dua fizikal CPU untuk dijalankan pada versi ini.
Media Center Edition
Penggunaan komputer dengan kebolehan multimedia telah diperluaskan melalui Windows XP Media Center Edition. Diperkenalkan pada tahun 2002, versi ini membawakan fungsi Windows Media Center selain menaiktaraf pengalaman pengguna melalui fungsi media yang dibekalkan bersama.
Namun selepas tahun 2005, pihak Microsoft telah memutuskan untuk membawa fungsi Media Center ke versi Windows selepasnya seperti Windows Vista Home Edition dan Windows Vista Ultimate. Perkara ini turut diikuti oleh Windows 7 dengan mendatangkan fungsi Media Center melalui versi Home Premium dan Ultimate. Walau bagaimanapun, bermula dari Windows 8, pihak Microsoft tidak lagi memperkenalkan fungsi Media Center secara terbina dan pengguna perlu mendapatkan product key tambahan untuk mengakses fungsi ini.
Tablet PC Edition
Windows XP juga antara menjadi yang terawal memperkenalkan fungsi tablet melalui versi Windows XP Tablet PC Edition. Versi ini mula diperkenalkan pada November 2002 dan versi seterusnya membawakan beberapa fungsi yang mesra stylus seperti fungsi Tablet PC Input Panel, Windows Journal, Sticky Notes dan permainan InkBall. Ia juga turut membawakan antaramuka Royale seperti mana yang terdapat pada Windows XP Media Center Edition 2005.
Starter Edition
Sistem operasi Windows berkos rendah mula ditawarkan oleh Windows XP melalui versi Starter Edition. Sistem operasi versi ini ditujukan untuk pengeluar dalam menghadirkan peranti berkos rendah selain menggalakan lagi penggunaan komputer di negara-negara membangun.
Versi ini boleh dikatakan menyerupai Windows XP Home Edition akan tetapi beberapa fungsi tidak disokong melalui Windows versi ini seperti ketiadaan sokongan antaramuka Luna dan hanya boleh menjalankan tiga aplikasi sahaja dalam satu-satu masa.
Windows XP Starter Edition hanya hadir untuk negara-negara membangun dan ditawarkan dalam pelbagai pilihan bahasa. Di Malaysia, Windows XP Starter Edition turut menawarkan penggunaan Bahasa Malaysia sepenuhnya dalam sistem operasi ini selain membawakan latar belakang Kuala Lumpur secara terbina.
x64 Edition
Windows XP juga turut membawakan sokongan komputer 64-bit melalui x64 Edition. Versi ini membolehkan para pengguna menggunakan sehingga 128GB RAM untuk penggunaan intensif bagi aplikasi yang memerlukan penggunaan memori yang banyak. Namun, beberapa perkara yang menjadi sedikit isu melalui versi ini adalah sokongan driver yang hanya boleh dijalankan untuk versi 64-bit sahaja.
Pek Perkhidmatan
Service Pack 1 (SP1)
Service Pack 1 (SP1) telah dilancarkan pada September 2002 untuk pengguna Windows XP dengan menyertakan lebih kurang 300 penambahbaikan melalui pek perkhidmatan ini. Ia turut membawakan sokongan USB 2.0, Microsoft Java Virtual Machine, dan juga NET Framework serta beberapa teknologi asas untuk digunakan pada versi Media Center dan Tablet PC Edition. Salah satu fungsi terbesar yang telah hadir bersama SP1 adalah fungsi Set Program Access and Defaults yang membolehkan pengguna mengubah aplikasi default bagi setiap fail.
Service Pack 2 (SP2)
Pada Ogos 2004, Service Pack 2 (SP2) pula menjengah pengguna Windows XP dengan mendatangkan fungsi WPA untuk sokongan WiFi selain turut hadir dengan fungsi pop-up blocker. Melalui SP2, ia turut membawakan perubahan yang besar pada Windows XP seperti menyertakan fungsi Windows Firewall dan Windows Security Center.
Service Pack 3 (SP3)
Pek perkhidmatan terakhir untuk Windows XP telah diperkenalkan pada April 2008 melalui Service Pack 3 (SP3). Sebanyak 1,174 penambahbaikan telah dibuat seperti membawakan sokongan WPA2 untuk sokongan WiFi dan juga fungsi Remote Desktop 6.1 hasil kemaskini daripada versi Windows Vista. Walau bagaimanapun, pek perkhidmatan ini tidak disokong oleh Windows XP x64 Edition.
Soalan Yang Kerap Ditanya (Q&A)
Apa akan terjadi dengan Windows XP pada 8 April 2014?
Microsoft telah menghentikan sokongan ke atas Windows XP.
Windows XP telah diperkenalkan pada 2001 dan telah dihentikan jualannya kepada pengguna akhir pada 2008. Walau bagaimanapun, para pengeluar masih lagi dibenarkan untuk menjual PC dengan Windows XP selama dua tahun selepas jualan kepada pengguna akhir ditamatkan.
Selepas sokongan daripada Microsoft ditamatkan, pengguna Windows XP tidak akan menerima sebarang kemaskini dan sekiranya terdapat kecacatan sekuriti seperti serangan sekuriti besar-besaran, ia tidak akan diperbaiki oleh pihak Microsoft.
Para pengguna masih lagi boleh menjalankan Windows XP dan memasang kemaskini yang telah diperkenalkan sebelum ini. Setiap pemasangan baru Windows XP juga masih lagi dibenarkan cuma sebarang kemaskini dan kecacatan sekuriti tidak akan diambil tindakan daripada Microsoft.
Sekiranya saya menjalankan Windows XP, perlu ke saya menaik-taraf ke Windows lain?
Salah satu sebab mengapa pihak Microsoft sangat mengesyorkan penaiktarafan ke versi Windows yang lebih terkini adalah untuk mengelakkan daripada pengguna Windows XP terkena serangan sekuriti. Para penggodam sedia mengetahui yang mana pihak Microsoft tidak lagi mengambil tindakan selepas ini sekiranya ada serangan sekuriti berlaku. Jadi, inilah masanya para penggodam melancarkan serangan sekuriti untuk menggodam komputer pengguna.
Menggunakan Windows XP secara berterusan secara tidak langsung akan menyebabkan beberapa keluaran peranti baru seperti mesin pencetak dan pengimbas tidak menyokong sistem operasi ini 100%. Selain itu, juga turut terkesan adalah perisian yang mana kebanyakan perisian kini sudah mula tidak menyokong Windows XP seperti Microsoft Office 2013.
Apa akan jadi dengan mesin ATM yang menggunakan Windows XP?
Kebanyakan mesin ATM menjalankan Windows XP yang telah direka khusus iaitu Windows XP for Embedded Systems yang mana sistem operasinya akan disokong sehingga Januari 2016.
Kenapa Microsoft menghentikan sokongan ke atas Windows XP?
Seiring dengan arus pemodenan teknologi, menyokong sesebuah sistem operasi yang telah digunakan lebih satu dekad lamanya akan menyumbang kepada beberapa masalah. Salah satunya adalah sumber tenaga kerja untuk menyokong dan membuat kemaskini untuk sesebuah sistem operasi. Selepas penamatan sokongan XP ini, pihak Microsoft dapat menjimatkan lagi sumber dengan memfokuskan hanya satu atau dua sistem operasi sahaja untuk diberi pemantauan dan kemaskini.
Apakah alternatif yang saya boleh buat untuk elak daripada menggunakan Windows XP?
Menaik-taraf ke versi Windows yang lebih terkini
Salah satu cara paling menjimatkan adalah dengan menaik-taraf PC yang sedia ada ke sistem operasi Windows yang lebih baru seperti Windows 7 dan Windows 8.1. Akan tetapi, kedua-dua sistem operasi ini memerlukan keperluan sistem minimum yang agak tinggi dengan sekurang-kurangnya 1GB RAM untuk menjalankannya.
Kebanyakan institusi dan pejabat awam masih lagi dilihat menjalankan Windows XP adalah kerana tidak mencapai keperluan sistem untuk menjalankan Windows yang lebih terkini. Kebanyakannya masih lagi menggunakan perkakasan lama seperti RAM dengan DDR1 yang menyebabkan kos penaiktarafan menjadi semakin mahal. Jadi, solusi yang terbaik untuk komputer di kedua-dua institusi ini mungkin berada pada solusi di bawah.
Bagi pengguna yang sedia mempunyai komputer dengan memori atas 1GB RAM dan masih menjalankan Windows XP, inilah masanya untuk anda menaiktaraf ke Windows 7 atau Windows 8.1. Kedua-dua Windows ini mampu memberikan pengalaman pengguna dan prestasi yang lebih baik disamping mendapat manfaat daripada kemaskini yang diberikan oleh pihak Microsoft.
Beli PC baru
Sekiranya komputer anda tidak dapat menjalankan sistem operasi Windows moden dan ingin terus meninggalkan Windows XP, membeli sebuah PC baru adalah satu cadangan yang sangat baik. Selain mendapat kebaikan menjalankan sistem operasi terkini, ia juga boleh menjimatkan anda untuk menaiktaraf perkakasan seperti RAM dan cakera keras dengan harga lebih murah. Bayangkan anda mempunyai komputer dengan RAM DDR1, sudah pasti lebih banyak yang anda akan belanja untuk menaiktaraf komputer tersebut.
Gunakan sistem operasi alternatif
Sekiranya anda masih mahu terus kekal menggunakan komputer yang sedia ada, tidak salah untuk mencuba pelbagai sistem operasi alternatif yang sedia ada di pasaran hari ini. Terdapat pelbagai distro Linux yang menyokong peranti berspesifikasi rendah seperti Ubuntu, Fedora, Linux Mint, Arc Linux, dan lain-lain lagi yang boleh dipasangkan pada komputer anda.
Kekal dengan Windows XP
Sekiranya solusi di atas masih tidak dapat membantu anda untuk mengelakkan diri dari menggunakan XP, tidak menjadi masalah sekiranya anda terus menggunakan sistem operasi ini.
Pihak Microsoft masih lagi meneruskan sokongan kemaskini kepada sistem sekuriti asas untuk XP melalui Security Essentials dan Malicious Software Removal Tool yang mana kedua-duanya bakal terus disokong sehingga 14 Julai 2015.
Akan tetapi dari segi isu asas seperti serangan sekuriti besar-besaran sehingga menyebabkan pencerobohan data peribadi pada komputer anda, tidak akan diambil tindakan daripada Microsoft. Sekiranya anda mempunyai data peribadi yang begitu sulit di dalam komputer anda, anda sangat disarankan untuk menggunakan mana-mana alternatif yang telah dibincangkan di atas.
Sekiranya anda menggunakan Windows XP hanya sekadar melakukan kerja-kerja Microsoft Word, PowerPoint, dan Excel (yang mana kerap dilakukan di institusi pendidikan dan pejabat awam), ia tidak menerima sebarang kesan lebih-lebih lagi komputer tersebut tidak disambungkan ke sambungan internet.
Jadi, sekiranya komputer di tempat belajar atau tempat kerja anda masih lagi menggunakan Windows XP, ia juga bergantung kepada penggunaan komputer di tempat tersebut. Sekiranya terdapat data dan perkara-perkara sulit di dalam komputer tersebut, hubungi pegawai pentadbir yang menjaga dan mengawal akses komputer di tempat anda untuk mengemaskini ke komputer yang lebih baru.