Beberapa info awal mengenai iOS 8 sedia kedengaran sejak awal bulan lepas, dan hari ini, ia dilaporkan yang mana Apple bakal terus menambah-baik sokongan pemetaan Apple Maps melalui kemaskini iOS 8 kelak.
Apple Maps boleh dikatakan menerima kritikan ramai sejak ia diperkenalkan pada iOS 6 sebelum ini. Melalui kemaskini iOS 8 kelak, Apple dilihat akan terus menambah-baik data-data pemetaan mereka. Perkara ini mungkin merupakan salah satu hasil daripada pengambil-alihan beberapa syarikat memfokuskan pemetaan oleh Apple sebelum ini.
Disamping itu, pihak Apple juga dikatakan akan menyertakan sokongan transit pada kemaskini iOS 8 kelak, membolehkan pengguna untuk menggunakan aplikasi Apple Maps dalam mengetahui jadual perjalanan pengangkutan awam dan sebagainya.
Apa pun, seperti biasa, ia tidak diketahui sama ada sokongan tersebut kelak akan hadir untuk pengguna Malaysia ketika pengenalannya ataupun sebaliknya. Apple sering memperkenalkan sesuatu fungsi itu untuk pengguna Amerika Syarikat sahaja, dan mengambil masa yang agak lama untuk hadir digunakan oleh pengguna tempatan.
Selain fokus pada pemetaan, mengikut laporan sebelum ini, Apple turut dikatakan akan menyertakan sokongan aplikasi Healthbook bersama-sama dengan kemaskini iOS 8 kelak.