Di Malaysia kita ada Bantuan Rakyat 1 Malaysia serta Kedai Rakyat 1 Malaysia bagi membantu meringankan bebanan perbelanjaan rakyat yang berpendapatan rendah. Ini adalah inisiatif yang bagus walaupun ada pelbagai pihak yang merasakan ianya membazir (Dr Mahathir) dan ada juga yang berkata jumlah bantuan terlalu sedikit (Ustaz Azhar Idrus). Kami tidak mahu mengomen tentang dua perkara di atas kerana pada pengalaman kami nilai bantuan itu mungkin kecil dan tidak signifikan kepada sesetengah orang tetapi kepada penerima yang kesesakan hidup ianya jumlah yang sangat besar. Kami bersyukur dengan rezeki yang diberikan Allah kerana kami tak layak menerima BR1M.
Di Amerika Syarikat tidak ada BR1M ataupun KR1M. Yang ada ialah sistem setem makanan Social Welfare dan pasaraya Wallmart yang menjual barangan pada harga runtuh. Mereka juga mempunyai Intenet Essential, perkhidmatan internet yang di subsidi dengan harga langganan internet sepantas 5 Megabit sesaat serendah $9.99 ( RM 32 ) sebulan. Bayaran tanpa subsidi perkhidmatan yang sama ialah $50 (RM164) sebulan. Ianya sebuah inisiatif khidmat masyarakat yang diberikan oleh syarikat Comcast. Untuk layak menerima perkhidmatan Internet Essential anda harus mempunyai isi rumah sebanyak 4 orang dengan pendapatan terkumpul kurang dari $43 568 setahun.
Perkhidmatan ini kini dilanggan lebih dari 300 000 keluarga di seluruh Amerika Syarikat. Ini menunjukkan Amerika Syarikat menyedari internet berkelajuan tinggi adalah salah satu kepentingan hidup. Adakah anda merasakan syarikat pembekal perkhidmatan internet Malaysia harus mewujudkan sesuatu yang serupa sebagai salah satu tanggungjawab sosial mereka? Kami merasakan ya kerana ini adalah lebih baik dari melihat kanak-kanak melepak di kedai mamak semata-mata mahukan WiFi percuma. Ibu bapa dapat melihat apa yang dilayari anak mereka dengan lebih sempurna.
Sumber Oregonian